fbpx
IBU bapa boleh mengambil semula wang yang diberikan kepada anak-anak untuk kegunaan lain. – Gambar hiasan

Hukum ambil semula wang yang diberikan kepada anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika saya memberikan kepada anak sejumlah wang untuk tujuan tertentu seperti pendidikan, kemudian ada lebihan atau tidak diperlukan lagi, bolehkah saya mengambil kembali? Bagaimana jika sudah masuk akaun? Bolehkah saya menggunakan wang berkenaan untuk tujuan lain?

Jawapan:
Berdasarkan soalan, secara umumnya, ibu bapa boleh menggunakan atau mengambil kembali wang yang telah diberikan kepada anak-anak.

Alasannya, pertama, wang tersebut adalah peruntukan yang dikhususkan untuk tujuan tertentu seperti pelajaran.

Ertinya, pemberian itu berkait dengan hal tersebut, jadi apabila mereka tidak memerlukannya lagi atau ada lebihan, maka ibu bapa boleh menggunakannya untuk kemaslahatan lain. Penempatan di akaun mereka dalam keadaan itu hanya soal pengurusan ibu bapa sahaja.

Kedua, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal seseorang yang memberikan satu pemberian kemudian mengambilnya kembali kecuali bapa pada apa yang dia berikan kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dll. Sahih).

Hadis tersebut menunjukkan bahawa seseorang itu tidak boleh mengambil kembali apa yang dia telah berikan kepada orang lain kecuali bapa.

Demikian juga ibu, hukumnya dalam perkara ini sama seperti bapa di sisi majoriti para ulama.

Kata al-Son’ani (meninggal 1182): “Pada ungkapan ‘kecuali bapa’ dalil bahawa bapa boleh menarik balik apa yang diberikan kepada anaknya sama ada anaknya telah besar atau masih kecil. Hukum bagi ibu sama dengan bapa pada kebanyakan ulama”. (al-Son’ani, Subul al-Salam, 3/174. Beirut: Muassasah Fuad)

Dengan itu ibu bapa boleh mengambil kembali pemberian kepada anak-anaknya terutamanya jika ada keperluan.

Sementara pada masa sama, perlu kita ingat bahawa membekalkan anak-anak simpanan masa depan untuk kemaslahatan mereka adalah satu perbuatan baik yang disukai di sisi agama.

Inilah nasihat Nabi Muhammad yang wajar kita lakukan. Sabda Nabi:

“Engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya, itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin meminta-minta kepada manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN