SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memulakan fasa pertama projek melebar serta mendalamkan Sungai Klang, sebagai salah satu langkah bagi mengelak berulangnya kejadian banjir di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek tersebut adalah sebahagian daripada Projek Mitigasi Banjir Jangka Panjang Selangor yang direncanakan sebelum ini.
“Projek ini melibatkan kos berjumlah RM700 juta dan merangkumi empat blok utama di sepanjang 56 kilometer (km) Sungai Klang dengan mendalamkan sehingga 300 meter.
“Bagi fasa pertama melibatkan kerja melebar dan mendalamkan sungai di 10 km sungai, iaitu berdekatan Sri Muda, Seksyen 25,” katanya selepas melawat tapak projek melebar dan mendalamkan Sungai Klang di Kota Kemuning, di sini hari ini.
Menurutnya, projek tersebut diuruskan oleh dua buah anak syarikat kerajaan negeri, Menteri Besar Incoprated (MBI) dan Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (Landasan Lumayan).
Kata Amirudin, keseluruhan projek melebar dan mendalamkan Sungai Klang dijangka siap dalam jangka masa lima tahun akan datang.
“Projek ini mengambil sedikit masa kerana beberapa perkara teknikal yang perlu dilakukan bagi memastikan kerja melebar dan mendalamkan sungai berjalan lancar.
“Usaha ini dibuat supaya Sungai Klang dapat menampung air dengan lebih banyak sekiranya berlakunya taburan hujan yang tinggi,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE