SINGAPURA – Seorang lelaki warganegara Malaysia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun empat bulan oleh mahkamah Singapura selepas didapati bersalah menyamar sebagai pakar sakit puan di laman Facebook untuk mendapatkan gambar lucah wanita, lapor laman berita Wion News semalam.
Tertuduh, Ooi Chuen Wei, 37, didapati bersalah kerana menipu identiti dengan tujuan mendapatkan maklumat mengenai alat sulit dan aktiviti seksual mangsa.
Dia menggunakan gambar seorang wanita Malaysia secara rawak sebagai imej profilnya. Chuen Wei juga menambah rakan Facebook lelaki dan wanita dan mencipta profil Instagram dan LinkedIn menggunakan nama sama supaya akaunnya kelihatan tulen.
Dia menyasarkan mangsa dan menghantar mesej memperkenalkan diri sebagai Dr Lee sebelum menawarkan untuk berkongsi pelan perubatan untuk perundingan bulanan.
Dia kemudian akan meminta mangsa menghantar video untuk membolehkannya membuat diagnosis mengenai sebarang masalah kesihatan dengan alasan rujukan sebelum memberikan pelan rawatan kepada mereka.
Dalam tempoh empat tahun, tertuduh memperdaya 38 wanita dan menerima hampir 1,000 gambar serta video lucah sebagai balasan.
Kesalahan itu terbongkar Julai lalu apabila seorang wanita yang semakin curiga terhadap tingkah laku Chuen Wei, membuat aduan kepada polis.
Polis kemudian menyerbu rumah suspek dan merampas perantinya. Semasa siasatan dan soal siasat oleh polis, dia mengaku melakukan jenayah tersebut. – Agensi