“Dadah yang sial ke kau yang sial?” getus hati seorang ibu apabila mengenangkan perbualan dengan anaknya yang pernah mengungkapkan ‘dadah ini macam sial, mak’ setelah terjebak dengan dadah sejak lebih 15 tahun lalu.
Si ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Imah, 64, mengimbas kesulitan yang pernah dilalui oleh dia dan suami apabila terpaksa menanggung sepenuhnya empat orang cucu yang masih bersekolah rendah lantaran anak lelaki dan menantunya dipenjarakan kerana dadah.
Dengan bergantung harap kepada hasil kebun yang tidak menentu, Imah dan suaminya yang sudah tua berkorban menyara cucu-cucu mereka apabila ibu bapa mereka ‘tiada’.
“Menantu perempuan saya kena lama sikit, masuk penjara lima tahun dari tahun 2018 hingga 2023 sebab bukan hanya kesalahan dadah tetapi ada juga jenayah.
“Anak saya selepas menjalani hukuman penjara kerana memiliki dadah ditangkap semula menagih dan keluar masuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) pula selepas itu.
“Cucu-cucu semua, saya dan suami jaga… entahlah, saya pun tak tahu nak cakap apa bila mengenangkan nasib empat cucu saya.Mereka lihat sendiri ibu bapa mereka keluar masuk penjara, manakala Puspen dah lebih tiga kali dah,” katanya yang menetap di sebuah tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di salah satu negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Imah dan suaminya telah menyara sepenuhnya keempat-empat cucu mereka selama kira-kira empat tahun sejak anak dan menantunya dipenjarakan pada 2018.
Baru-baru ini, anak lelakinya yang berusia 35 tahun sudah tinggal bersama setelah tamat menjalani segala hukuman, namun tidak banyak berbeza apabila beban menjaga cucu-cucu masih perlu digalas bersama oleh Imah, suami dan anaknya yang mengalami kesukaran mendapat kerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kecil menoreh getah.
Imah berkata, apa yang dibimbanginya ialah bekalan dadah di kawasan Felda seolah-olah sentiasa ada dan tak pernah putus.
“Saya sendiri sentiasa curiga apabila lihat cucu berkawan-kawan. Bukan curiga membuta tuli tapi curiga dengan perlakuan, takut cucu rosak akibat dadah,” dakwanya.

Bahkan menurut wanita berusia emas itu, dia juga terlalu kasihankan cucunya serta masa depan cucunya disebabkan sering dipandang rendah oleh rakan-rakan seusia.
“Bayangkan, kanak-kanak ini masih mentah lagi. Perasaan mereka juga masih rapuh lagi. Bila ada yang pandang rendah kerana ibu bapa mereka penagih, sedikit demi sedikit pasti akan memberi kesan emosi kepada mereka.
“Saya juga banyak kali berfikir sama ada terus membesarkan cucu-cucu ini di Felda atau menghantar sahaja mereka ke asrama sebaik sekolah menengah,” luahnya.
Menurut Imah, pengalaman membesarkan anak yang terjebak dengan najis dadah sudah cukup memilukan hati.
“Sekali terjebak, terikut-ikut dengan kawan yang katanya nak bebas, nak keseronokan sementara, selamanya hidup sengsara.
“Keluar masuk Puspen itu pun sudah teruk, apatah lagi terpaksa menjalani hukuman di penjara bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Menurutnya, apa yang lebih dibimbanginya ialah ‘sial’ dadah itu seolah-olah tidak putus-putus terpaksa dihadapinya.
Menurut Imah, dia serta suami sentiasa memikirkan usaha mencari rezeki walaupun sudah dimamah usia untuk membesarkan cucu-cucunya.
Imah berkata, dia tidak putus berdoa agar cucu-cucunya membesar sebagai orang yang berbakti kepada masyarakat serta negara.
“Saya harap dengan kesusahan dilalui mereka hari ini dapat mematangkan dan mendidik mereka untuk tidak sesekali menjadi seperti ibu bapa mereka yang hidup dicengkam dadah,” katanya.














