SOALAN: Bolehkah terangkan mengenai kaedah sebenar menunaikan solat secara duduk di atas kerusi?
JAWAPAN:
Solat fardu wajib ditunaikan secara berdiri. Namun, bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri kerana sakit, tua atau seumpamanya, mereka dibenarkan solat secara duduk. Asas pensyariatan solat secara duduk ini berdasarkan hadis Imran bin Husain RA yang berbunyi:
“Aku terkena penyakit buasir, lalu aku bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang solat. Baginda bersabda: “Solatlah dalam keadaan berdiri, sekiranya tidak mampu dalam keadaan duduk. Sekiranya tidak mampu juga, solatlah di atas lambung.”
Bagi yang tidak mampu solat secara berdiri, seseorang itu boleh duduk sama ada secara iftirasy, bersila atau duduk di atas sesuatu seperti kerusi. Tatacara solat di atas kerusi adalah berbeza berdasarkan tahap keuzuran dialami:-
A) Jika tidak mampu berdiri, rukuk dan sujud dalam bentuk asal
Lakukan takbiratul ihram serta isyarat rukuk dan sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi. Kedudukan sujud mestilah lebih rendah daripada rukuk. Sekiranya mampu, kedua-dua tangan diletakkan di atas lantai ketika sujud.
B) Mampu berdiri seketika, mampu rukuk dan sujud seperti bentuk asal
Lakukan takbiratul ihram dan membaca al-Fatihah dalam keadaan berdiri. Berdirilah ketika ada kemampuan dan duduk di atas kerusi sekiranya tidak mampu. Rukuk dan sujud dalam bentuk asal.
C) Jika mampu berdiri tetapi dikhuatiri terjatuh
Lakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdiri. Teruskan berdiri dengan kadar yang mampu dan duduk sehingga selesai bacaan al-Fatihah dan surah. Rukuk dan iktidal dalam bentuk asal sekiranya mampu. Sujud dalam bentuk asal sekiranya mampu. Sekiranya tidak mampu rukuk dan sujud dalam bentuk asal, maka boleh melakukan isyarat bagi kedua-dua rukun itu.
Jika alami kesukaran untuk bangun pada rakaat berikutnya, pegang sesuatu seperti tongkat atau berpaut pada dinding.
D) Mampu berdiri tetapi tidak mampu rukuk seperti bentuk asal
Lakukan takbiratul ihram dan membaca al-Fatihah dalam keadaan berdiri. Lakukan rukuk mengikut kemampuan dengan merendahkan sedikit badan dalam keadaan berdiri. Lakukan sujud seperti bentuk asal sekiranya mampu. Sekiranya tidak mampu, boleh duduk dan melakukan isyarat sujud di atas kerusi.
E) Mampu berdiri tetapi tidak mampu sujud seperti bentuk asal
Lakukan takbiratul ihram dan membaca al-fatihah dalam keadaan berdiri. Lakukan rukuk dan iktidal seperti bentuk asal.
Melakukan isyarat sujud lebih rendah daripada rukuk dalam keadaan duduk di atas kerusi. Sekiranya mampu, kedua-dua tangan diletakkan di atas lantai.
Bagi perihal berjemaah di masjid atau surau, kedudukan kerusi yang digunakan para jemaah uzur atau tidak mampu berdiri hendaklah diletakkan di hujung saf.
Bahagian belakang kaki kerusi pula perlu selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.






