fbpx

Parlimen sah bubar, berkuat kuasa hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika sesi perutusan khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Ismail Sabri menerusi satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen dan semua platform media sosial.

Ismail Sabri berkata, pembubaran tersebut adalah susulan daripada sesi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

“Tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan
menyembah warkah permintaan kepada baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Al-Sultan Abdullah telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya ketika berucap secara langsung dalam perutusan khas Perdana Menteri sebentar tadi.

Menurut beliau, ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor disyorkan agar membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

“Penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, dengan pengumuman tersebut, mandat akan dipulangkan kepada rakyat dan mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik selain mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Malaysia diharapkan dapat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan sekali dalam setiap lima tahun dan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI