fbpx
TIDAK kisah dengan jumlah angka tontonan yang akan diterima untuk lagu Ada Cara, perkara paling penting dinilai Ismail adalah keikhlasan peminat yang menyokong karyanya.

Transisi Ismail Izzani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJENAK menonton video muzik rasmi lagu baharu penyanyi muda Ismail Izzani berjudul Ada Cara sewaktu dilancarkan baru-baru ini, ada bermacam rasa bergaul dalam fikiran.

Tolak ke tepi soal kualiti karya yang boleh dibincangkan menerusi perenggan berikutnya, ada perkara lain yang barangkali mungkin menjadi pencetus banyak persoalan untuk diajukan buat anak muda itu tempoh hari.

Menerusi video muzik yang diluncurkan secara rasmi pada 30 September lalu, penyanyi berusia 20 tahun itu kelihatan cukup berkeyakinan menonjolkan bentuk tubuh sasa, sama seperti yang kerap didedahkan menerusi Instagram kebelakangan ini sehingga mengundang pandangan sinis netizen.

Ditunjal dengan soalan nakal berhubung keterampilannya yang dilihat berani menayang badan walhal sebenarnya itu bukanlah isu besar memandangkan Ismail hanya mengenakan baju tanpa lengan, namun jawapannya masih ditagih bagi menjelaskan situasi.

 

ISMAIL mengakui sukar untuk mendapatkan penghayatan sebelum memulakan penggambaran video muzik lagu terbaharunya, Ada Cara.

 

“Sepatutnya saya menyarung jaket tetapi diubah dengan hanya memakai baju tanpa lengan.

“Boleh dikatakan, ini adalah cara untuk menonjolkan kelainan pada diri saya selepas beberapa tahun dalam industri.

“Dalam hidup, mana ada manusia mahu kekal di takuk lama. Jadi saya mahu penonton ada perasaan apabila melihat perubahan pada diri saya, mereka akan kata, dia sudah membesar dan berbeza daripada dahulu, bukan sahaja fizikal tetapi termasuk juga muzik,” ujarnya bijak mengatur jawapan.

Sambung penyanyi yang mula terkenal menerusi lagu Sabar itu lagi, ini adalah waktu yang tepat untuk dia menebarkan satu persepsi baharu pada mata peminat. Nyata, Ismail kini melangkaui transformasi.

Jelas Ismail memaknakan kata-kata, Ada Cara menjadi medium untuk menonjolkan sisi baharu dalam diri yang kini sudah semakin matang dan segar.
Semua itu sebahagian daripada usaha menjadikan karya-karyanya lebih berkualiti.

“Saya mahu orang nampak, ini merupakan introduksi kepada Ismail Izzani yang baharu. Sebab saya sentiasa percaya, setiap manusia ada menyimpan kemas personaliti dominan atau alpha dalam diri mereka daripada terlihat pada mata umum.

 

BUKAN niat mahu tayang badan, tetapi Ismail mahu penonton menilai sendiri perubahan yang berlaku pada dirinya sebagai sandaran motivasi.

 

“Kalau saya memilih untuk tunjukkan personaliti ini kepada ramai, ini bukan sesuatu yang salah. Sebabnya, ini adalah cara saya memotivasikan dan bina keyakinan diri. Sekali gus mencurah inspirasi kepada peminat,” ujarnya optimis.

Gereja

Sejak dilancarkan sembilan hari lalu, video muzik lagu ciptaan sendiri bersama Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat menyaksikan pelbagai reaksi daripada pelayar YouTube pada ruangan komen.

Mana tidaknya, latar belakang video berkenaan memaparkan sebuah gereja sebagai lokasi pilihan penggambaran, sekali gus mengundang persoalan bahkan kritikan terhadap penyanyi itu.

Apa benar, tiada lokasi lain yang lebih sesuai dijadikan tempat penggambaran atau sengaja tindakan itu dibuat semata-mata mahu meraih perhatian netizen yang sentiasa dahaga isu panas.

“Saya sebenarnya sangat bersedia berdepan kecaman dan kritikan ramai selepas video muzik lagu ini keluar.

“Saya faham ramai yang bertanya, mengapa gereja?

“Saya akui lokasi itu agak sensitif sebab itu rumah ibadat agama lain.

“Cuma mesej yang mahu disampaikan kepada penonton ialah saya tidak bersikap bias terhadap mana-mana agama.

“Konsep lagu ini berkisarkan percintaan dua jiwa berlainan agama. Jadi saya buka ruang kepada penonton untuk menilai sendiri mengapa lelaki dalam lagu itu tidak boleh bersama kekasihnya.

“Babak itu dilakukan di gereja supaya khalayak mudah memahami jalan cerita. Kalau sekadar saya duduk termangu di ruang tamu, mesej tidak sampai dengan jelas.

“Lagipun lagu ini ada unsur keagamaan, jadi saya tidak rasa ada yang salah di situ,” jelasnya memohon pengertian.

Tambah penyanyi yang turut menceburkan diri dalam dunia lakonan menerusi beberapa buah telefilem dan drama seperti Kebaya Kasut Kanvas itu lagi, paling penting ialah cinta dan agama yang cuba disampaikan menerusi lagu.

Biarpun awalnya, ada perasaan janggal terbit dalam diri, namun Ismail segera menepis emosi kurang senang demi menjadikan penggambaran yang dilakukan di sebuah gereja di Damansara, Petaling Jaya, Selangor berlangsung dengan sukses.

“Memanglah rasa pelik sebab tidak biasa dan sedikit kekok. Mulanya saya berdepan kesukaran untuk mendapatkan mood sehingga terpaksa menunggu selama setengah jam sebelum betul-betul bersedia memulakan penggambaran.

“Kalau lihat keseluruhan jalan cerita, mesej yang cuba disampaikan cukup baik kerana pada akhirnya lelaki itu berpegang teguh kepada agama dan memilih Tuhannya. Tuhan itu satu, hanya kita manusia yang berbeza-beza,” tuturnya mendalam.

 

SEDANG dalam perancangan untuk mengeluarkan lagu duet bersama kekasihnya Shalma Eliana, namun menurut Ismail projek tersebut tidak akan diusahakan dalam masa terdekat memandangkan dia dia mahu wanita itu fokus membina karier sendiri terlebih dahulu.

 

Melangkah jauh

Di sebalik introduksi sisi matang, penyanyi dengan nama lengkap Ismail Izzani Zainal Nazeri itu meletakkan sasaran Ada Cara sebagai batu loncatan untuk melangkah jauh dalam bidang seni.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Seiring dengan transformasi segar yang dibawakan menerusi lagu, Ismail mahu jalan yang dilaluinya sekarang berpaksi atas pendekatan terbaik.

“Kalau mahu buat perkara baharu dan alang-alang mahu fokus kepada pasaran luar negara, sangat rugi kalau saya tidak buat sehabis baik. Pemilihan gereja menjadi salah satu cara supaya peminat nampak format berbeza dalam profil karier saya.

“Penampilan model yang melakonkan watak kekasih saya dalam video ini, Helen Gorkava juga satu perkara baharu buat diri saya.

“Asalkan orang nampak perubahan besar pada diri saya dan mesej dalam lagu, itu sudah cukup untuk buat saya puas hati,” jelas Ismail.
Berkongsi sedikit perancangan akan datang, anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam itu akan muncul dengan album perdana yang mengandungi 10 buah lagu baharu termasuk Ada Cara tidak lama lagi.

“Lagu-lagu dalam album itu nanti mendapat sentuhan daripada ramai komposer muda berbakat besar seperti Firdaus Rahmat, SonaOne, Mas Dewangga dan kemungkinan ada kerjasama bersama penyanyi kelahiran Singapura, Alif,” ujarnya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN