BAU haruman kek yang dibakar di dalam ketuhar memenuhi rongga hidung kami, tatkala langkah kaki masuk ke dalam studio BakeBe MY, di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Perasaan teruja semakin membuak-buak tatkala melihatkan deretan ketuhar pembakar, pengadun dan bahan-bahan membuat kek yang diletakkan di satu sudut studio.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, pemandangan itu mampu membuatkan setiap individu yang memandangnya, terutamanya wanita tersenyum lebar.
Jika dilihat dari luar, studio ini kelihatan tidak ubah seperti kafeteria yang menghidangkan manisan enak dengan dekorasi eksklusif.
Bagaimanapun, studio berkeluasan kira-kira 222.9 meter persegi itu sebenarnya sebuah kafe gaya hidup, yang mana individu berpeluang mempelajari dan menghasilkan sendiri kek atau manisan yang mereka mahukan.
Umpama kelas membuat kuih, namun konsep diketengahkan ternyata berbeza apabila kunjungan anda di sana tidak ditemani guru sepanjang sesi pembelajaran.
Sebaliknya, studio kek ini menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan pengalaman membakar konvensional, yang mana individu dibekalkan dengan gajet dan hanya perlu mengikuti arahan membuat kek berpandukan aplikasi di tablet pintar tersebut.

Ternyata, konsep diketengahkan itu unik dan mampu memberi suasana serta pengalaman baharu membuat kek yang lebih menyeronokkan buat warga kota, selain sesuai dijadikan lokasi buat mereka yang mahukan aktiviti me-time (masa untuk diri sendiri).
Tertarik untuk mencuba sendiri pengalaman menghasilkan kek, membuatkan Farahin Ghazali, 38, terpanggil mengunjungi premis itu.
Menurut pegawai pemasaran itu, dia mengetahui kewujudan kafe gaya hidup itu kira-kira pertengahan tahun lalu ketika membeli-belah.
“Ini pengalaman baharu apabila akhirnya saya dapat merasai sendiri pengalaman menghasilkan kek dari awal hingga akhir.
“Sebenarnya sudah lama saya teringin menghasilkan kek sendiri. Bagaimanapun, kekangan waktu kerana kesibukan bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu di rumah seringkali menghalang saya berbuat demikian.
“Tambahan pula, saya tidak mempunyai pengalaman langsung untuk membuat kek dan menggunakan perkakas membakar.
“Kewujudan studio seperti ini secara tidak langsung mampu merealisasikan impian saya dan membuka minda bahawa untuk menghasilkan kek tidaklah sesukar disangka,” katanya yang mengambil masa tiga jam untuk menghasilkan sebiji kek.

Menurutnya, bukan sahaja mempunyai pengalaman baharu, dia bahkan berjaya menjadikan aktiviti itu sebagai satu terapi untuk diri sendiri selepas penat bekerja.
Mengadaptasikan studio membakar kek dari Hong Kong, menurut pengasas bersama BakeBe MY, Yew Keng Sing, konsep itu membolehkan individu melakukan aktiviti menarik dan bermanfaat bersama teman dan keluarga.
Tidak seperti kebanyakan kafe, BakeBe MY memberi suasana baharu yang bukan sahaja menambahkan kemahiran dan keyakinan individu ketika di dapur, bahkan sesuai buat mereka yang mahu menenangkan fikiran.
“Studio ini dibuka pada 2019 selepas kunjungan saya ke Hong Kong. Pada waktu itu, saya berpeluang untuk menghasilkan sendiri kek menggunakan konsep yang diaplikasikan pada BakeBe.
“Disebabkan tertarik dengan konsep diketengahkan, saya mencuba menghasilkan kek sebanyak dua kali, sebelum mengambil keputusan untuk membawa masuk konsep ini ke Malaysia,” katanya.
Tidak dinafikan, setengah individu beranggapan, membakar kek adalah satu perkara sukar lebih-lebih lagi apabila mereka tidak biasa ke dapur.
Mahu mengenali perkakas pun sudah rumit, apatah lagi perlu mengenali bahan-bahan dan sukatan. Ternyata proses tersebut seringkali dianggap renyah dan memenatkan sehingga mereka akhirnya membeli sahaja kek-kek yang telah siap di kedai.
Menyedari masalah itu, Keng Sing nekad menyediakan setiap keperluan individu untuk membakar dari awal sehingga akhir dari perkakas, bahan-bahan, dekorasi dan pembungkusan.
Inisiatif tersebut membolehkan individu menghasilkan manisan berkualiti tinggi daripada air tangan mereka sendiri, tetapi mempunyai rasa hampir sama oleh kek yang dihasilkan chef pastri profesional.
Lebih menarik apabila manisan itu kemudian dibungkus indah di dalam kotak khas sama seperti dibeli di mana-mana kedai kek.
Menurut seorang lagi pengasas bersama studio itu, Yujia Chan, konsep yang diketengahkan begitu mudah apabila individu hanya perlu hadir ke studio tersebut, memilih jenis kek yang ingin dihasilkan dan memulakan sesi pembuatan kek berpandukan arahan menerusi gajet yang dibekalkan sepanjang tempoh itu.

Pun begitu, jika terdapat sebarang kekeliruan sepanjang proses tersebut, mereka akan dibantu oleh chef bertugas di studio tersebut.
“Matlamat kami mahu melihat semua orang boleh membakar, walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman.
“Walaupun individu boleh menghasilkan sendiri kek tersebut, namun ia juga dapat dibuat bersama rakan-rakan mahupun ahli keluarga.
“Proses ini secara tidak langsung, menerapkan unsur kerjasama memandangkan beberapa resipi memerlukan sehingga tujuh orang untuk menghasilkannya.
“Disebabkan itu, selain individu perseorangan, ada juga antara mereka yang datang ke sini untuk menganjurkan teambuilding mahupun meluangkan masa bersama keluarga. Jadi, ia merupakan salah satu platform yang membolehkan mereka meluangkan masa bersama dengan lebih menarik,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi studio berkenaan, Hendrick Leow berkata, biarpun mereka yang mahu mencuba membakar kek tidak mempunyai pengalaman, namun mereka mampu menghasilkan kek dengan mudah, cantik dan enak seperti seorang chef.
Mana tidaknya, setiap perkakas telah disusun dan dilabel dengan kemas, manakala bahan-bahan basah seperti mentega, krim keju dan putih serta kuning telur juga telah diasingkan bagi memudahkan individu.
“Di sini, kami mempunyai 73 menu untuk diterokai oleh individu, yang mana ia dibahagikan kepada lima peringkat mengikut tahap kesukaran pembuatan kek itu sendiri.
“Di peringkat pertama dan kedua lebih dikhususkan bagi mereka yang mahu mencuba. Antara menu yang boleh dihasilkan ialah kek cawan.
“Pada peringkat ketiga pula, mereka berpeluang menghasilkan macaroon dan kek sifon dan peringkat empat dan lima, kek yang agak sukar dan mencabar seperti sebiji kek hari jadi.
“Setiap kek mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk disiapkan bergantung kepada tahap kesukarannya. Semakin sukar kek dihasilkan, semakin panjang tempoh yang diperlukan,” tambahnya.
Ceritanya, harga bagi setiap projek membuat kek pula adalah berpatutan, yang mana mereka perlu membayar serendah RM150 mengikut jenis manisan yang dipilih.
Menjadikan sebuah lot kedai di aras bawah pusat beli-belah Publika sebagai lokasi pilihan, pemilihan tersebut sengaja dibuat memandangkan ia strategik dan membolehkan individu dari Kuala Lumpur dan Selangor datang ke situ.
Katanya lagi, studio tersebut mampu memuatkan 38 hingga 40 orang pada satu-satu masa.














