Pakaian merupakan ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri seseorang individu.
Adalah amat penting berpakaian bertujuan sebagai suatu ekspresi gaya tersendiri, atau sekadar untuk menyampaikan mesej tertentu kepada sesiapa yang melihat.
Walau apapun gaya anda, seharusnya ia nampak bersahaja, tidak keterlaluan dan trying too hard.
Kini, tiada lagi manual undang-undang dalam berfesyen serta gaya yang terlalu mengikut aliran.
Paling penting adalah gaya individu. Anda hanya perlu bijak bereksperimentasi dan yakin dengan penampilan sendiri.
Praktikan konsep less is more. Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang trendy dan popular dalam satu masa.
Ia akan nampak amat pelik dan janggal. Cuba jangan membazir dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.
Di sini, saya titipkan beberapa definisi gaya yang dirasakan perlu ada pada lelaki yang cukup mementingkan keterampilan diri dalam menyerlahkan keperibadian terpuji serta disegani.
1. Ikut etika berpakaian
Sebanyak 80 peratus daripada gaya adalah dengan mempunyai pakaian yang sesuai untuk pelbagai acara dan majlis.
Sejak kebelakangan ini, kod berpakaian lebih terbuka dan fleksibel, tetapi perlu diingat bahawa masih ada etika berpakaian yang perlu diikuti oleh kita semua.
Contohnya, apabila anda kurang pasti tentang etika pakaian formal, sama ada anda menghadiri mesyuarat perniagaan atau parti koktel, jalan paling selamat untuk anda ialah memakai tali leher ke majlis tersebut.
2. Gaya individu tersendiri
Gaya adalah sesuatu yang peribadi. Jika anda rasa cukup yakin untuk menggayakan sesuatu rekaan, teruskan niat anda itu dan bereksperimentasilah dengan fesyen.
Tiada siapa yang sepatutnya memberitahu anda tentang bagaimana untuk berpakaian.
Setiap kita punya gaya individu yang tersendiri.
Sememangnya untuk kelihatan menarik, kadangkala kita perlu membuat sedikit perubahan pada gaya kita.
Paling penting kita harus bijak memilih dan bereksperimentasi dengan feysen.

ANDA perlu melihat gaya secara keseluruhan untuk memastikan tiada kejanggalan.
3. Pakaian sesuai potongan badan
Bukan mahal atau murah sesuatu pakaian yang menjadi aspek utama dalam penampilan seharian.
Perlu diingat, sebenarnya untuk kelihatan hebat dalam apa sahaja yang kita gayakan, pakaian perlu sesuai dengan potongan badan kita, gaya, imej serta personaliti secara keseluruhan.
Kita memang kadangkala amat teruja untuk memakai segala yang menjadi look of the moment.
Namun, pastikan jangan kesemuanya dipakai dalam satu masa. Ini kerana ia akan kelihatan agak keterlaluan dan mungkin menjadi umpatan mereka yang melihat.
4. Pilih sut bersesuaian
Apabila memilih sut, seseorang lelaki harus mencari sut yang paling sesuai dan selesa digayakan olehnya.
Bukan memilih sut yang hebat dari segi rekaan, tetapi nampak janggal apabila dipakai.
Dalam lingkungan konservatif, lelaki seharusnya berpakaian mengikut gaya klasik dan rasmi (formal).
Pemilihan warna untuk business suit lebih ditumpukan pada rona hitam dan kelabu. Lelaki perlu mengelakkan pemakaian aksesori yang pelik dan agak berat serta keterlaluan untuk dipakai ke ofis.
Ia hanya sesuai digayakan selepas waktu bekerja.
5. Gaya cerminan diri
Setiap kali menggayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat secara keseluruhan (total look).
Jaket, kemeja, tali leher, seluar dan kasut anda mungkin berkualiti daripada jenama hebat, tetapi paling penting adakah ia sesuai dipadankan antara satu sama lain?
Berpakaian penuh gaya dapat dicapai jika kita tahu menata gaya secara keseluruhan.
Perlu diingat, setiap gaya seharusnya mencerminkan gaya individu yang tersendiri.
———————————————————————————————————————————–
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.














