ANAK-KANAK kemungkinan tinggi menghidap asma jika terdedah kepada asap tembakau sewaktu membesar.
Menurut penyelidik, mereka juga berisiko berdepan masalah paru-paru jika bapa mereka adalah perokok.
Penemuan kajian itu diterbitkan dalam European Respiratory Journal yang memberikan bukti tentang kemungkinan wujud kesan trans generasi, yang mana merokok boleh merosakkan kesihatan orang yang dilahirkan dua generasi kemudian.
“Kami dapati risiko asma kanak-kanak meningkat 59 peratus jika terdedah kepada asap rokok bapa pada zaman kanak-kanak, berbanding kanak-kanak yang bapanya tidak merokok.
“Risiko juga lebih tinggi hingga 72 peratus jika bapa terdedah kepada perokok pasif lain dan pada masa sama aktif merokok,” kata salah seorang pengarang jurnal dari Universiti Melbourne, Jiangcheng Li.
Kajian itu dijalankan sekumpulan penyelidik dari Australia, Britain dan Sri Lanka.
Pengarang bersama jurnal, Dr. Dinh Bui berkata, berdasarkan penyelidikan itu, mereka menemui bagaimana kerosakan disebabkan oleh tabiat merokok boleh memberi kesan bukan sahaja kepada perokok, tetapi juga terhadap anak cucu mereka.
“Kesimpulannya, lelaki harus cuba mengelak daripada merokok untuk mengurangkan risiko yang boleh menjejaskan kesihatan anak atau keturunan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Dasar Kesihatan di Asthma+Lung United Kingdom, Jon Foster berkata, penyelidikan itu benar-benar mengejutkan kerana menunjukkan kesan negatif merokok boleh bertahan untuk beberapa generasi.
Penemuan itu berdasarkan analisis penyelidik data terperinci tentang kesihatan 1,689 pasangan bapa dan anak mereka yang dikumpulkan sebagai sebahagian daripada Kajian Kesihatan Longitudinal Tasmania yang telah dijalankan di Australia.














