fbpx
TUANKU SYED FAIZUDDIN (depan) berkenan bergambar kenangan bersama warga Sekolah Agama Wittaya Phuket yang menyertai program Semarak Bahasa Melayu.

Kerjasama pintar untungkan umat Islam Malaysia, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

THAILAND merupakan sebuah negara berpopulasi 70.18 juta penduduk dengan kira-kira tiga juta daripadanya penganut agama Islam yang kebanyakan tertumpu di sebelah selatan negara Gajah Putih itu.

Selain wilayah Yala, Narathiwat, Pattani dan Songkhla, terdapat enam wilayah lain yang mempunyai taburan penduduk Muslim yang agak ramai.

Antara wilayah tersebut ialah Satun, Trang, Krabi, Phang Nga, Phuket dan Ranong yang digelar ‘Enam Wilayah Andaman’ terletak di bahagian pantai barat di selatan Thailand.

Bagi melancarkan urus tadbir hal-hal berkaitan umat Islam di enam wilayah itu terutama melibatkan pembayaran zakat, dakwah dan sebagainya, setiap satu wilayah tersebut mempunyai Majlis Agama Islam (MAI) sendiri.

Keenam-enam MAI wilayah Andaman tersebut mempunyai hubungan erat dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs).

Ia diperkukuh dengan menjalankan kerjasama pintar menerusi Resolusi Multaqa Ummatan Wahidah (Pertemuan Satu Umat) pada 15 Mac 2015 yang diadakan di wilayah Krabi.

Resolusi berkenaan yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu turut menyarankan mewujudkan perkongsian kepakaran termasuk berkaitan hal ehwal halal.

Rentetan resolusi yang telah terjalin sejak tujuh tahun lalu itu, pada 5 hingga 7 Ogos lalu, program Ziarah Mahabbah 2022 ke Phuket diketuai Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama 35 delegasi lain telah diadakan. Delegasi tersebut merangkumi tenaga pakar daripada pelbagai bidang.

Edisi kali ini turut melibatkan kolaborasi MAIPs bersama kerajaan negeri Perlis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta agensi kerajaan dan swasta bagi melestari perkongsian pintar dalam bidang kemajuan Islam, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan dengan umat Islam di Andaman khususnya di Phuket.


RAJA Muda Perlis (tengah) mendengar penjelasan daripada Dr. Paras (kanan) mengenai teknologi perubatan ultrabunyi kepada pegawai kesihatan wilayah Phuket.

Delegasi bertolak dari pekarangan Istana Arau, sebelum singgah di Masjid Ban Huailuk, Krabi bagi bertemu pemimpin agama di sana dan menyampaikan sumbangan Fi Sabilillah daripada MAIPs kepada pihak pengurusan masjid.

Setelah rombongan menaiki bas itu tiba di Hotel Grand Mercure, Phuket, satu perbincangan pengembangan amalan perubatan maju dan akut (AAIM) antara wakil Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan pegawai tinggi Jabatan Kesihatan Phuket diadakan.

Pakar Perunding Perubatan Maju dan Akut HTF, Datuk Seri Dr. Paras Joshi berkata, program itu membuka peluang untuk memperluas amalan perubatan menggunakan teknologi ultrabunyi di wilayah Phuket.

“Wakil kesihatan wilayah Phuket menunjukkan minat untuk mendapatkan kepakaran Persatuan Perubatan Dalaman Akut Tahap Lanjut (MAAIMUSS) dan HTF yang merupakan satu-satunya hospital perintis menggunakan kaedah perubatan ultrabunyi serta yang pertama di Malaysia.

“Mereka teruja mendengar kejayaan HTF yang bukan sahaja menjimatkan kos jutaan ringgit, malahan masa dan juga nyawa pesakit,” katanya kepada Panorama.

Hari kedua program padat dengan pelbagai program melibatkan pemerkasaan bahasa Melayu di peringkat serantau, perkongsian kepakaran dalam bidang pelancongan, dakwah kepada penduduk setempat selain acara kemuncak iaitu perasmian Ziarah Mahabbah 2022.

Program Bengkel Penulisan Jawi yang diadakan kepada guru-guru sekolah agama setempat telah dikelolakan oleh Munshi Jawi DBP, Sabri Azit yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerai.

Program itu bertujuan melatih dan menyelaras tulisan jawi yang diajar di sekolah-sekolah Malaysia mengikut standard DBP untuk dikembangkan di sekolah-sekolah sekitar Phuket serta wilayah-wilayah Andaman.

RAJA Muda Perlis (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Imam Masjid Ban Huailuk, Krabi.

Selain itu, program Semarak Bahasa Melayu turut diadakan di Sekolah Agama Phuket Wittaya yang menggunakan teknologi dan aplikasi terkini bagi menarik minat pelajar sekolah menggunakan bahasa Melayu yang dilaksanakan tenaga pengajar dari Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran melihat program itu memberi impak positif untuk mengembangkan bahasa Melayu serta tulisan jawi di peringkat serantau.

“Jika dilihat, pendidikan di wilayah Andaman ini banyak menggunakan kitab agama bertulisan Jawi selain terdapat penduduk asal menggunakan bahasa Melayu sejak dahulu lagi, namun ia tidak meluas dan dilihat semakin terbatas.

“Pada masa hadapan, DBP mempunyai perancangan untuk menjadikan Phuket sebagai lokasi pengembangan bahasa Melayu dan mungkin akan ada Munshi Jawi dilantik dalam kalangan penduduk setempat sekali gus menyebar luas bahasa Melayu di wilayah Andaman,” katanya.

Turut diadakan adalah perkongsian pintar dalam bidang pelancongan menerusi beberapa perbincangan antara kerajaan negeri Perlis dan pemimpin serta agensi pelancongan wilayah Phuket.

Perbincangan diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam dan pegawai-pegawai kanan kerajaan bersama Datuk Bandar Phuket, Rewat Arirob.


MOHD. NAZIM (depan) bersama Abang Sallehuddin (belakang sembilan dari kanan) dan sebahagian guru sekolah agama sekitar Phuket yang menyertai bengkel penulisan jawi.

Menurut Hasnol, banyak perkara dipelajari hasil perbincangan serta pertemuan tersebut oleh pihak kerajaan negeri untuk dilaksanakan sekali gus merealisasikan hasrat Perlis untuk menjadi destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Selain itu, tempoh lawatan selama tiga hari dua malam itu turut diisi dengan aktiviti pembangunan sosial masyarakat setempat melibatkan golongan asnaf sekitar perkampungan Kamala serta Pulau Kelapa atau dikenali sebagai Coconut Island.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN