MELUPAKAN bidang seni? Persoalan sebegitu pernah terdetik dalam benak fikiran, namun berat di hati untuk direalisasikan wanita berniqab itu.
Bagi pemilik nama penuh Norwahidah Abdul Wahab itu, seni merupakan satu perkara yang sukar dilempar jauh dari kehidupannya. Lebih payah, disiplin itulah yang dipelajarinya sejak berusia lima tahun.
Pemilik nama pentas Waheeda itu memberitahu, dia kini lebih aktif sebagai pemuzik di belakang tabir, menghasilkan karya untuk penyanyi lain.
Menyapanya ketika hadir menemani suami tercinta, Ustaz Akhil Hayy pada sidang akhbar Konsert Nasyid Legenda baru-baru ini, sikap mesranya masih tidak berganjak seperti dahulu, jauh sekali menolak daripada ditemu bual pihak media.
Anggun dengan imej berpurdah sejak beberapa tahun lalu, Waheeda mengakui pernah mencari kekuatan untuk menjauh dari dunia seni selepas mendirikan rumah tangga.

“Sebenarnya memang saya mahu meletakkan noktah terhadap dunia nyanyian dan seni tetapi sangat sukar.
“Semua ini kerja Allah SWT. Walau sekuat mana saya menolak, rasa itu tetap kembali, lebih-lebih lagi apabila suami sendiri masih aktif dalam industri seni,” katanya kepada HibGlam.
Tutur Waheeda juga, naluri seorang pemuzik sangat menebal dalam dirinya dan agak janggal tatkala mula menjauhkan diri dari dunia tersebut.
Kendatipun membawa imej seorang muslimah, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu berpendapat, bukan satu kesalahan untuk seseorang terus terlibat dengan muzik asalkan tidak tersasar dari landasan sepatutnya.
“Bagi saya, walaupun dengan imej sebegini, muzik tidak salah kerana sebahagian daripada fitrah manusia dan elak daripada tersasar.
“Saya kini meletakkan diri sebagai pemuzik, bukan penyanyi.
“Jadi, apabila anda pemuzik, anda tidak akan pernah berhenti berkarya,” ujarnya yang juga pemilik syarikat rakaman, Clef Empire yang ditubuhkan bersama adiknya sejak Januari lalu.
Sekembalinya ke gelanggang industri seni, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Wassini itu tidak berlenggang tangan kosong. Dia sebaliknya hadir bersama ilmu agama yang dipelajari selama ini.

“Sebelum ini saya mahu berhenti sebab ingin mendalami Islam. Saya ambil masa belajar dan fahami al-Quran untuk lebih mendalami agama.
“Walaupun sudah 10 tahun, proses pembelajaran tidak pernah berhenti.
“Apabila saya kembali, saya bawa semua itu,” tuturnya seraya bersyukur.
Lebih manis, perjuangan kali ini mendapat izin suami tercinta.
“Suami tak kongkong dan tak halang minat ini asalkan tahu di mana tempat saya.
“Pada masa sama, walaupun minat terhadap seni itu mendalam, saya tetap berpegang dengan prinsip kekal di jalan Allah, iaitu mahu datang dengan-Nya dan balik kepada-Nya semula,” ujarnya.
Hakimi orang lain
Pemilik trofi juara kategori irama Malaysia Anugerah Juara Lagu ke-18 itu aktif menghasilkan lagu buat pendatang baharu.
“Ini adalah platform untuk bakat baharu menghasilkan lagu.
“Antara lagu baharu yang diterbitkan adalah single duet Ustaz Akhil Hayy dan Mawi. Insya-Allah saya akan keluarkan pula lagu-lagu yang sudah dirakamkan sebelum ini,” ujarnya.

Tamat cerita seninya, wanita berusia 44 tahun itu diajukan pula pertanyaan mengenai trend individu terutama selebriti dunia hiburan yang sudah berhijrah, namun gemar menghakimi kehidupan orang lain.
Tidak menolak untuk menjawab, katanya, apa sahaja yang dilakukan setiap Muslim haruslah berlandaskan al-Quran dan ilmu yang dicari.
“Saya sedar tentang situasi ini. Bagi saya, carilah ilmu sebanyak mungkin sebelum menghakimi orang lain. Kepada yang berhijrah, ambil masa cari ilmu dan belajar.
“Jika ada ruang untuk bercakap, berhati-hatilah dan renung semula mengapa Allah beri peluang itu.
“Mungkin untuk beri pengajaran kepada orang lain atau diri sendiri supaya belajar lebih merendah diri.
“Sekiranya lebih membuatkan diri berasa gah, tanpa sedar dakwah itu sudah gagal. Inilah pandangan saya,” tutupnya.















