JERANTUT – Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun didakwa hilang pertimbangan sebelum bertindak menembak isterinya dipercayai selepas tidak berpuas hati mengenai agihan wang jual tanah dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Labu di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, suspek yang tinggal berdua bersama isterinya berusia 67 tahun di rumah berkenaan turut membunuh diri dengan menembak lehernya menggunakan senapang patah.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 pagi dari ketua kampung yang memaklumkan mengenai satu kejadian bunuh diri menggunakan senjata api.
“Berdasarkan maklumat awal, jiran berdekatan ada terdengar tembakan dari arah rumah pasangan itu sebelum pergi ke lokasi dan mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saksi nampak lelaki berkenaan dalam keadaan terduduk dengan kesan kecederaan di bahagian leher sebelah kiri dan terdapat selaras senapang patah berhampirannya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata, mangsa wanita pula ditemui di bahagian dapur di belakang rumah berkenaan dalam keadaan masih sedarkan diri sebelum dihantar oleh penduduk kampung ke Hospital Jerantut di sini.
Bagaimanapun, ujar beliau, wanita itu yang mengalami kecederaan parah di belakang rusuk sebelah kiri disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Berdasarkan siasatan awal, punca pergaduhan adalah disebabkan si isteri tidak memberikan agihan wang hasil jualan tanah sehingga menyebabkan suaminya tidak berpuas hati,” katanya.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, sumber memaklumkan mangsa dan suaminya merupakan pesara Pejabat Perhutanan Jerantut dan tinggal berdua di rumah berkenaan.
Menurut sumber itu lagi, berdasarkan keterangan awal wanita itu, dia memberitahu bahawa suaminya telah bertindak menembaknya menggunakan senapang.
Dalam pada itu, seorang penyewa pusat inap desa di kawasan berhampiran, Che Ahmad Yassin Abd. Rahman, 52, berkata, dia terdengar tembakan pertama kira-kira pukul 7 pagi disusuli suara wanita menjerit dari arah dapur rumah berkenaan.
Katanya, tidak berapa lama kemudian, dia terdengar pula bunyi tembakan kedua sebelum suasana menjadi senyap.
“Saya cuma melihat dari jauh dan tidak berani mendekati kawasan kejadian kerana saya hanya menyewa di sini,” ujarnya.
Seorang saksi yang juga jiran mangsa, Roshanizam Mohd. Normala, 35, pula berkata, dia ada terdengar wanita berkenaan meminta tolong sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Saya melihat mangsa dalam keadaan sakit dan berlumuran darah sebelum mengangkat dan membawanya ke hospital menggunakan kereta milik mangsa,” ujarnya.














