GELARAN pelakon air mata nampaknya tidak pernah tercapai dalam fikiran bahkan langsung tidak cocok disandang Shiqin Kamal, dahulu, kini mahupun akan datang.
Tidak pernah berkongsi ‘rahsia’ ini kepada umum, pemilik nama penuh Nur Ashiqin Mohd. Kamal mengakui, dia paling sukar untuk mengalirkan air mata dalam lakonan.
Kedengaran pelik tetapi itulah realiti yang dilalui pelakon drama Jodoh-Jodoh Annisa itu.
Biarpun diperkenalkan dengan watak beremosi sebagai Emilia dan Syu dalam Legenda Budak Setan di samping Lisa Surihani dan Farid Kamil, Shiqin masih berusaha menutup kelemahan menitiskan air mata.
Untuk itu juga, dia perlu menjadi selektif dalam menerima sebarang watak.

Sukar menangis
Katanya, sekiranya tersalah langkah menerima watak, tindakan tersebut akan merosakkan reputasinya sebagai seorang pelakon.
“Sebenarnya bukan nak memilih sebab saya sedar tidaklah hebat mana untuk jadi pelakon yang selektif.
“Namun, rasanya perlu ada prinsip tersebut kerana saya enggan mempamerkan kekurangan diri. Jika saya pelakon hebat, semua benda saya boleh buat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Terbuka bercerita tentang kekurangan diri, anak kelahiran Kuala Lumpur itu enggan reputasinya sebagai pelakon merudum hanya kerana terlalu ingin mencabar diri.
“Sebagai pelakon, memang kena cabar diri dengan pelbagai karakter tetapi adakalanya boleh memakan diri sendiri.
“Sebaik-baiknya saya memang nak pamerkan benda berkualiti, jadi apabila tersalah pilih watak, semua itu akan menurunkan kualiti sendiri,” tuturnya.
Bercerita mengenai kesukarannya menangis dalam lakonan, pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari itu memberitahu, jiwanya terlalu keras untuk berasa hancur jauh sekali bersedih meratapi nasib diri.
Bukan egoistik tetapi pengalaman sejak kecil terdidik dengan kesukaran menguatkan hati kecilnya menjadi wanita yang tidak mengalah dek situasi.

“Saya tangani dan simpan semua masalah, secara tidak langsung, perkara itu jadikan saya seorang wanita yang kental serta sukar menangis.
“Walaupun ada masalah besar, dada rasa berat dan kulit wajah sudah menegang, tetap sukar untuk mengalirkan air mata.
“Itulah ketakutan nombor satu saya sebab tak mampu paksa diri lakukannya,” jelasnya.
Kesukaran tersebut turut membuatkan dirinya berusaha melawan ‘perasan kental’ tersebut sehingga perlu menolak beberapa tawaran watak sedih.
“Jadi, apabila dapat watak yang memerlukan babak menangis teresak-esak, memang susah untuk jayakan sebab masalah sendiri pun sukar untuk air mata menitis.
“Saya tetap memandang perkara ini dari sudut positif. Cari peluang untuk jayakan watak lasak dan antagonis.
“Watak antagonis, orang pula benci. Tiga bulan drama bersiaran, selama itulah saya dibenci sebab penonton mudah terbawa-bawa,” ujarnya.
Dia pernah menerima beberapa mesej daripada netizen yang memarahinya kerana lakonan watak antagonis.
“Ramai yang mesej dalam Instagram marah-marah sebab watak jahat lakonan saya. Sampaikan gigi saya pun jadi mangsa tempat mereka lepaskan kemarahan.
“Sebab terlalu marah, mereka menyampah lihat gigi saya. Mereka ambil serius sangat. Kelakar tetapi membuktikan lakonan saya berjaya.
“Saya okey pegang watak antagonis tetapi penerimaan orang pula jadi isu,” katanya lagi.

Perempuan gedik
Rezeki orang berbeza. Lambat dikenali merupakan antara soalan yang diajukan kepada pelakon berusia 31 tahun itu.
Mengakui momentum kariernya agak perlahan, pelakon Risik Pada Hati itu tidak menjadikan tahap populariti sebagai isu yang meracau dalam mindanya.
“Mengenai isu lambat mengecap glamor, adakalanya saya okey dan sebaliknya.
“Tipulah kalau tidak terasa tetapi saya bersyukur kerana syarikat pengurusan sentiasa mengingatkan saya bahawa soal populariti ini mengambil masa,” tuturnya optimis.
Ditebak strategi acah-acah kontroversi yang sering menjadi ‘permainan’ selebriti demi secarik perhatian, Shiqin bertegas itu bukan pendekatan dirinya.
“Ada orang kata kontroversi perlu dan boleh menaikkan nama tetapi bukan untuk saya. Saya bukan jenis perempuan gedik-gedik termasuklah dalam lakonan.
“Saya memang elak karakter gedik sebab saya bukan wanita sebegitu.
“Kalau boleh hanya terima karakter yang memaparkan betapa tinggi maruah dan darjat seorang wanita,” kongsinya.
















