LUAR biasa. Dua patah perkataan tersebut cukup menggambarkan kehebatan kumpulan legenda dari seberang yang berjaya mencandu emosi penonton sepanjang Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-30 Dewa 19 selama dua hari berturut-turut pada 9 dan 10 September lalu.
Pada malam pertama, pembeli tiket sudah membanjir pekarangan Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur seawal pukul tiga petang meskipun pintu masuk dibuka dua jam kemudian.
Sanggup berhujan dan berpanas, itulah kegigihan yang harus diberikan pujian kepada peminat setia Dewa 19.

Babak pertama
Kerinduan peminat Malaysia untuk menyaksikan Dewa 19 terubat tepat pukul 8.30 malam pentas mula bersimbah suluhan cahaya laser. Usai pertunjukan cahaya dan gendang ‘perang’ memacu adrenalin sekalian Baladewa dan Baladewi (gelaran peminat tegar Dewa 19), tirai persembahan dibuka dengan persembahan duo Virzha dan Ello menerusi lagu Restoe Boemi terbitan sekitar 1995 dalam album Terbaik Terbaik.
Persembahan hebat mereka disusuli dengan dua buah lagu bahasa Inggeris I Want To Break Free dan Still I Am Sure We’ll Love Again.
Seperti menang sorak, kemunculan Ahmad Dhani di atas pentas sememangnya dinanti-nanti ramai.
Mendendangkan lagu Cinta Gila, ampuh vokal suami kepada Mulan Jameela itu disahut nyanyian bersama ribuan penonton.

Vokalis terbaharu Dewa 19, Ello atau nama penuhnya Marcello Tahitoe mengambil alih pentas dengan mendedangkan tiga buah lagu, Aspirasi Putih, Tak Akan Ada Cinta Yang Lain dan Bayang-Bayang.
Biarpun masih baru bersama Dewa 19, Ello menerusi nyanyiannya berjaya membuktikan sesungguhnya dia layak berdiri sebaris dengan vokalis-vokalis terdahulu kumpulan ternama itu.
Merampas semula pentas, Virzha yang menjadi penyanyi ganti selepas Once Mekel meninggalkan Dewa 19 sejak tahun 2011 menghiburkan penonton dengan lagu Selatan Jakarta, Bunga dan Aku Milikmu.
Menerusi lirik berbunyi ‘kuakui aku telah larut dalam kamu’ barangkali memadai untuk menggambarkan emosi ribuan penonton dalam stadium terbuai dengan alunan lagu sinonim Dewa 19, berjudul Larut sebagai penutup persembahan Virzha.

Sebelum menutup babak pertama persembahan, Ahmad Dhani sekali lagi membuai jiwa penonton dengan nyanyian Hadapi Dengan Senyuman.
Ketika itu, seluruh stadium bersimbah cahaya flash light telefon bimbit setiap penonton.
“Saya doakan semua yang buka flash light meninggal dunia dalam husnul khatimah, amin.
“Kita doakan orang-orang zalim akan selalu musnah,” ungkapnya penuh makna sebelum mendendangkan lagu ‘berhantu’ itu.
Tanpa sedar, lagu berentak balada itu berjaya melahirkan senyuman pada wajah setiap hadirin. Persembahan yang bersahaja tetapi cukup meleraikan setiap lelah dalam diri, sebuah terapi di celah ribuan manusia.

Babak kedua
Membuka semula gelanggang selepas berehat sekitar 10 minit, Axiata Arena kembali bergegar sorakan saat Once melangkah ke pentas utama.
Tidak dapat dinafikan, vokalis bersuara serak basah itu antara figura Dewa 19 yang paling ikonik.
Memulakan babak kedua, Once berjaya membuatkan penonton menyanyi bersama menerusi lagu popularnya bersama Dewa 19 iaitu Roman Picisan dan Arjuna.
“Sudah lama tidak bertandang ke Malaysia, terlalu rindu.
“Ini malam terbaik, tanpa anda semua, kami bukan sesiapa,” katanya disahut dengan tepukan gemuruh.
Tidak terhenti di situ, energi penyanyi berusia 52 tahun itu disalurkan menerusi persembahan Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia dan Dewi.
Merinding, demikian yang dirasai penonton tatkala Dewi mula membelah kehangatan konsert sebelum disambung dengan Lagu Cinta dan Mistikus Cinta mengalirkan rasa.
Sekali lagi muncul dalam selingan berhantu, Dhani membuat penonton bergelegak dengan lagu wajibnya, Sedang Ingin Bercinta.
Selain Once, kemunculan Ari Lasso juga antara yang ditunggu ramai.

Ari mempesonakan ramai dengan lagu balada melankolik, Cintakan Membawamu Kembali ditambah dengan alunan piano petikan Dhani.
Meskipun baru sembuh daripada kanser limfoma, Ari membuktikan sakit bukan perosak vokal menerusi lagu wajibnya, Satu Hati dan Elang yang menerbangkan banyak jiwa.
Momentum persembahan bersahutan saat Once kembali dengan Pangeran Cinta duet bersama Ahmad Dhani, Risalah Hati, Satu dan Pupus yang sekali lagi, membuat stadium bergema dengan ‘sing a along’ penonton.
Mengakhiri persembahanya, Ari memberikan persembahan bertenaga menerusi Kirana, Kangen dan Kamulah Satu-Satunya.
Ketika ramai yang menjerit masih belum puas dengan persembahan hebat selama tiga jam, kesemua penyanyi muncul mendendangkan lagu penutup mereka, Separuh Nafas.
“Anda semua sangat mengagumkan, Kuala Lumpur sangat menakjubkan,” jerit Ello usai persembahan penutup.
Ternyata, tiga jam dengan 35 lagu belum cukup namun memadai untuk membasuh rindu selepas lebih tiga tahun tidak melepaskan mata telinga menadah Dewa 19 dalam sebuah konsert.
Konsert mega itu juga membuktikan Dewa 19 masih memiliki magis tersendiri dan tiada tara meskipun banyak band baharu sedang tumbuh. Sukses!















