fbpx
Pameran Synthesis berlangsung sehingga 18 September ini di Galeri Prima, Balai Berita The New Straits Times Press, Bangsar, Kuala Lumpur.

Synthesis pamer lukisan batik, karya eksklusif Raja Permaisuri Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PULUHAN lukisan yang tergantung dapat dilihat tatkala langkah kaki dihala masuk ke ruang pameran Synthesis yang berlangsung di Galeri Prima, Balai Berita The New Straits Times Press, Bangsar, Kuala Lumpur.

Kaya dengan unsur-unsur seni dan kebudayaan negara, selain tersirat dengan mesej tersendiri, paduan warna yang bergabung dalam galeri tersebut menyerlahkan sisi eksklusif setiap karya bertemakan batik yang dipersembahkan para artis.

Antara karya yang berjaya menarik perhatian pengunjung ialah lukisan sebuah perahu hasil sentuhan tangan Zaim Durulaman yang mempertaruhkan karya berjudul Pisang Emas Dibawa Belayar-Revisited.

Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pelukis sepenuh masa, lukisan Zaim merupakan salah satu daripada 37 karya artis tempatan dipamerkan dalam pameran yang berlangsung pada 1 Ogos lalu hingga 18 September ini.

Bukan calang-calang, beliau bahkan telah beberapa kali memenangi anugerah dalam pertandingan lukisan dan pernah mengadakan pameran di dalam dan luar negara.

PAMERAN Synthesis mempamerkan lebih 40 rekaan batik yang dihasilkan sendiri Tunku Azizah Aminah Maimunah.

Biarpun begitu, akui pensyarah di Jabatan Seni Visual, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Uniesel) ini, berbeza pada pameran kali ini apabila dia bertuah kerana berpeluang menyertai pameran bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mana tidaknya, selain menampilkan 37 karya artis tempatan, pameran itu turut mempamerkan lebih 40 rekaan batik dihasilkan sendiri Raja Permaisuri Agong dengan sebahagiannya koleksi seni persendirian baginda dan tidak pernah dipamerkan kepada umum.

Galeri Prima bahkan adalah galeri persendirian pertama mendapat perkenan Raja Permaisuri Agong untuk mempamerkan karya eksklusif baginda, batik cetakan blok iaitu antara teknik pembuatan batik tradisional tertua di negara ini.

Kata Zaim, dia sebenarnya menerapkan beberapa motif dalam berkarya, antaranya motif perahu yang telah melonjakkan namanya hingga dikenali di dalam dan luar negara.

“Selain motif perahu, saya juga dikenali dengan teknik media bitumen.

“Bagaimanapun, saya juga gemar melukis berpandukan tema, contohnya seperti komentar sosial, politik, isu semasa, kenangan zaman kanak-kanak, travel journal, alam dan sekarang mencabar diri dengan karya-karya abstrak,” katanya kepada K2.

TUNKU AZIZAH AMINAH MAIMUNAH berkenan melihat karya yang dihasilkan Zaim yang tergantung dalam ruang pameran tersebut.

Memilih untuk melukis dengan kain batik (kolaj) di atas kanvas bagi mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh generasi lama demi memastikan kelangsungan hidup, kongsi Zaim lagi, dia mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan karya bagi pameran tersebut.

Ujarnya, kain batik sememangnya sinonim dengan tradisi Melayu lama.

Berkongsi simbolik karya yang dipertaruhkannya itu, katanya, perahu merupakan metafora kehidupan umpama perjalanan memancing harian nelayan ke laut.

Tambahan pula, ia bersesuaian dengan tema diberi iaitu batik.

“Imej perahu yang diketengahkan merupakan imej warisan, manakala batik dan Melayu pula memang tidak dapat dipisahkan.

“Justeru, karya ini seolah-olah mengangkat budaya Melayu agar kekal sebagai warisan bangsa dan negara.

“Ia umpama memulakan dan mengharungi cabaran yang ditawarkan oleh kehidupan, yang mana keberanian, kemahiran, persediaan, masa dan nasib semuanya memainkan peranan dalam menentukan keputusan akhir.

“Dibebani dengan tanggungjawab, seseorang mesti terus berusaha, meluncur ke arah lautan kehidupan yang tidak diketahui,” terangnya.

BADRULZAMAN berharap pameran seperti itu kerap diadakan dan menjadi acara tahunan agar dapat melahirkan lebih ramai pencinta seni.

Menurutnya lagi, pisang yang ada di dalam lukisan itu pula dianggap sebagai penyangga kehidupan di bahagian dunia ini yang mewakili keluarga.

“Sekumpulan pisang yang dilakar pada kanvas lukisannya itu pula menceritakan tentang sebuah keluarga yang rapat bersama-sama berusaha melalui suka dan duka.

“Ia adalah ungkapan yang mudah dan semula jadi bagi saya tentang apa itu kehidupan dan apa yang sebenarnya melibatkan manusia. Ia adalah tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat, negara dan Tuhan,” ujarnya.

Bergabung menjayakan pameran bertemakan batik itu bersama beberapa pelukis lain, sentuhan tangan Muhammad Badrulzaman Abu, 27, merupakan antara karya yang menonjol.

“Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang seni, ini adalah satu penghormatan bagi artis muda kerana dapat bersama-sama meraikan karya- karya seni dengan Raja Permaisuri Agong dan artis senior lain seperti Yusof Ghani, Datuk Chuah Thean Teng, Fauzin Mustafa dan ramai lagi.

“Saya rasakan perlu untuk kita rakyat memartabatkan seni negara kita.

“Pameran sebegini harus kerap diadakan agar menjadi acara tahunan bagi melahirkan lebih ramai pencinta seni. Golongan muda harus lebih kreatif dan berinovasi tinggi dalam mengangkat budaya sendiri agar tidak ketinggalan pada masa depan,” katanya.

Menurut pemilik studio Batu Belah Art Community ini lagi, pembacaan isu semasa, sejarah dan isu-isu yang mengusik perasaannya sebagai artis banyak membantunya dalam berkarya.

Mempertaruhkan karya berjudul Mekar Cempaka, bingkisan itu mengangkat simbol motif nusantara, yang mana motif unsur alam adalah subjek utama dalam karyanya.

Sementara dua kuntum bunga cempaka pula melambangkan keakraban persahabatan yang mekar dan subur mewangi dikelilingi tumbuhan subur menghijau.

“Jika melihat lukisan saya, anda melihat sekeping landskap ajaib yang mempunyai tasik biru yang indah menenangkan, dikelilingi tanah bunga yang subur, misteri dan tersembunyi oleh dahan pokok,” ujarnya.

Menghasilkan lukisan bermotifkan setem, karya asli pemuda Hirzaq Harris turut miliki tarikan yang tersendiri.

Mengambil masa dua minggu untuk disiapkan kerana prosesnya halus dan rumit, dia gembira apabila hasilnya sangat memberangsangkan.

“Karya saya lebih kepada seni kontemporari dan sering menggunakan konsep setem sebagai identiti sejak melibatkan diri dalam dunia pameran.

“Bagi pameran ini, tema batik diketengahkan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN