fbpx
AZRI mula resah apabila bayinya menangis tidak berhenti selepas terdengar bunyi seakan cakaran dari luar bilik. –ILUSTRASI SHAH HASAN

Bayi disampuk hantu hutan menangis tak berhenti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERCUTIAN di kawasan pergunungan yang sunyi dapat menenangkan jiwa daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kota pastinya menjadi pilihan bagi mereka yang sukakan kehijauan alam.

Itu yang menjadi kriteria utama buat pasangan suami isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Azri, 28 dan Intan, 25.

Mereka memilih untuk menghabiskan masa di sebuah lokasi berhampiran kawasan pergunungan yang menyajikan pemandangan memukau di Negeri di Bawah Bayu selepas Intan baru habis berpantang atas kelahiran bayi sulung mereka.

Percutian pasangan yang tinggal di Kuala Lumpur itu pada mulanya mendapat tentangan ibu Azri yang bimbang cucunya disampuk makhluk halus memandangkan mereka menempah penginapan di tepi hutan.

“Saya tidak mengendahkan pesan ibu dan menganggap ia hanyalah mitos semata-mata.

“Ketika mahu berangkat, ibu sempat memberikan kain lampin yang diikat dengan biji lada hitam di penjurunya, selain membekalkan kami dengan bawang putih.

“Katanya, itu merupakan petua orang-orang dahulu apabila berjalan jauh bersama bayi dan ia mampu menghalang si kecil daripada ‘diganggu’. Oleh kerana tidak mahu percaya dengan petua itu, saya hanya mendengarnya sekadar sambil lewa.

“Lampin dan bawang itu disimpan di dalam beg dan tidak terbalut rapat pada tubuh kecil bayi kami seperti dipesan ibu,” katanya.

Semuanya berjalan lancar dari lapangan terbang hingga tiba di pusat peranginan.

Kata pemuda yang bekerja sebagai jurutera itu lagi, anaknya langsung tidak menangis langsung sepanjang perjalanan.

Melihatkan reaksi positif itu, tidak semena-mena hatinya berbunga riang dan mempersoalkan kepercayaan serta pantang larang yang diperkatakan ibunya.

Bagaimanapun semuanya berubah apabila mereka mula memasuki bilik penginapan. Bayi yang pada awalnya lena, tiba-tiba menangis sehingga wajahnya hampir menjadi kebiruan.

Pada waktu itu, Azri dan Intan hanya menganggap ia disebabkan oleh keletihan kerana tempoh perjalanan yang panjang.

“Kami cuba memandikannya dengan air suam bagi membuatkan dirinya selesa, tetapi tetap menangis dan hanya berhenti beberapa jam kemudian.

“Saya perasan ketika tidur, bayi saya kadangkala merengek dan adakalanya tertawa kecil biarpun pada waktu itu baru berusia tiga bulan,” ujarnya.

Menurut Azri, dia dan isterinya beranggapan situasi tersebut disebabkan oleh peralihan fasa umur bayi. Tambahan pula sebelum ini, bayinya pernah menangis seperti itu.

PERCUTIAN di tepi hutan sememangny menjadi idaman banyak orang yang sukakan alam semula jadi. -GAMBAR HIASAN

Bagaimanapun telahan tersebut mula meleset selepas Azri pula diganggu oleh bunyi tangisan bayi, selain ketukan dan cakaran pada dinding luar ketika tengah malam.

“Kawasan hutan di pergunungan tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan terutamanya pada malam hari. Kami semua masuk tidur awal kerana keletihan.

“Sedang lena, saya terdengar bunyi tangisan bayi sayup-sayup. Melihatkan si anak lena, saya pasti ia mungkin milik jiran di bilik lain.

“Semakin lama tangisan tersebut semakin kuat, diikuti bunyi seakan cakaran dari luar bilik sehingga bayi saya terjaga dan meraung,” kongsinya.

Biarpun telah melakukan pelbagai usaha untuk menenangkan bayinya, namun tangisan si kecil tetap tidak berhenti sehingga membuatkan mereka mula buntu.

“Saya mati akal dan terpaksa menelefon ibu. Tidak sempat bercerita panjang, ibu terus meleteri saya kerana enggan mendengar cakapnya.

“Ibu menyuruh kami meletakkan bawang putih dan menyelimuti anak dengan kain lampin yang diikat lada hitam, selain membaca ayat-ayat suci al-Quran. Walaupun tidak pasti kebenaran petua lada hitam dan bawang putih itu, namun saya tetap menurutinya.

“Lega rasanya apabila selang beberapa minit kemudian, bayi saya mula lena,” katanya.

Kongsinya lanjut, episod gangguan yang dialami tidak terhenti di situ apabila isterinya mendakwa, mendengar bunyi suara wanita mengilai di luar bilik penginapan.

Meskipun tidak mendengar, namun Azri mengakui bulu romanya meremang hingga sukar untuk melelapkan mata sehingga pagi.

Lebih menyeramkan kata Azri, hanya mereka sahaja dimaklumkan oleh pengurusan penginapan itu yang bermalam di situ.

“Walaupun saya sudah membayar untuk menginap selama dua malam, namun saya terpaksa keluar dan mencari penginapan lain di kawasan yang lebih baik dan tiada gangguan.

Lebih-lebih lagi apabila mendapati hanya kami sahaja yang bermalam di situ ketika itu.
Sehingga ke hari ini, Azri berhati-hati dalam memilih lokasi percutian mahupun ketika ingin membawa anak-anak keluar. Mujur tiada perkara serius yang berlaku kepada keluarganya.

“Mungkin ada juga benarnya pantang-larang yang dipercayai orang tua-tua kita dahulu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN