PETALING JAYA – Seramai 21,000 individu di seluruh negara telah mendapatkan rawatan sokongan mental daripada Malaysian Mental Care Association (MeCare) dengan majoritinya adalah golongan wanita muda.
Berdasarkan data sehingga Januari 2022, 74 peratus atau 15,540 wanita daripada jumlah keseluruhan itu adalah mereka yang berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Pengasas bersama MeCare, Nur Areefah Che Ahmad Tantowi berkata, antara faktor yang menyebabkan golongan berkenaan menghidap masalah mental adalah masalah rumah tangga, perhubungan, konflik keluarga, kewangan dan pengurusan stres di tempat kerja.
Katanya, faktor-faktor yang dikenal pasti termasuklah tempat belajar, trauma melampau, stigma orang sekeliling dan pengurusan marah.
“Melihat dari segi taburan, kawasan tertinggi individu meminta bantuan sokongan mental adalah di Lembah Klang.
“Ia meliputi Kuala Lumpur (3,036 kes), Shah Alam (1,300), Kajang (608), Petaling Jaya (562), dan Klang (517), manakala negeri-negeri lain yang terlibat adalah Johor, Terengganu dan Perak.
“Inisiatif kami adalah sebagai pelengkap rawatan dan bukan pengganti rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Areefah, ramai individu yang terlibat kurang mendapatkkan rawatan susulan di klinik kerajaan kerana kapasiti premis berkenaan yang terlalu ramai sehingga memerlukan masa yang lama untuk menunggu.
“Kadang kala, jangkaan mereka tidak seperti diharapkan, memang isu ini penting, namun rakan saya di hospital kerajaan menyatakan ada kes yang lebih banyak dan penting untuk diselesaikan membuatkan mereka ini perlu menunggu lebih lama bagi mendapatkan rawatan.
“Mereka datang untuk meluahkan perasaan dan bukan perlukan ubat, ini yang mematikan semangat mereka. Jadi kami di MeCare mewujudkan ruangan khas untuk perkongsian secara beramai-ramai, ia sangat membantu,” katanya.
Sementara itu, satu kajian pada tahun 2020 mendedahkan 9 daripada 295 pesakit mental menolak untuk melakukan rawatan susulan bersama pakar di sebuah hospital pakar mental.
Jika mengikut anggaran statistik tersebut, dalam 10,000 pesakit yang menerima rawatan psikiatri di hospital kerajaan, kira-kira 300 enggan meneruskan rawatan susulan.
Sementara itu, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) turut berkongsi jumlah mereka yang memerlukan sokongan mental bagi tempoh Ogos 2020 sehingga Mei tahun ini iaitu 113,000 kes.
Presidennya, Anita Abu Bakar menjelaskan, pentingnya rawatan susulan buat pesakit yang menerima gangguan mental atau psikosis seperti berhalusinasi, delusi dan paranoid kerana mampu mencegah seseorang itu terpisah daripada dunia nyata.
“Mendengar ‘suara’ setiap hari dan berterusan adalah tidak elok. Ia boleh menyebabkan mereka tidak sedarkan diri dan mampu mencederakan atau membunuh orang lain.
“Psikosis yang tidak ikut rawatan susulan mampu melihat perkara yang tidak ada dan akan diganggu suara bisikan. Pada mereka, ia sebenarnya bukanlah bisikan, tetapi satu jeritan yang mengganggu,” ujarnya.
Bagi Anita, rawatan kepada pesakit mental juga harus dilakukan secara menyeluruh dan holistik dan tidak hanya bergantung kepada ubat semata-mata.
“Selain ubat, ada yang memerlukan terapi secara berkala dan melakukan aktiviti serta pemakanan yang sihat,” katanya.













