fbpx
Ketika ini penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaan CRS masih dijalankan secara advokasi. – GAMBAR HIASAN

Ramai tak pasang kerusi kanak-kanak sebab tiada duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ramai ibu bapa terutamanya daripada kumpulan B40 dilihat masih gagal memasang kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), sekali gus berisiko mengundang kecederaan serius kepada anak-anak jika terlibat kemalangan.

BerdasarkanBagi  tinjauan Kosmo!, kebanyakan ibu bapa memberi alasan masih tidak mampu membeli kerusi itu selain ketidakselesaan anak-anak ketika menggunakan CRS dan juga ruangan kenderaan yang tidak luas menyebabkan ia tidak digunakan.

Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Neabillah, 36, berkata, dia dan suami mempunyai tujuh orang anak yang kebanyakannya masih kecil dan mereka tidak mampu membeli kerusi itu secara serentak.

“Sejujurnya, saya akui kepen­tingan kerusi keselamatan teru­tamanya untuk bayi kerana mereka golongan berisiko jika berlaku kemalangan. Bagaimanapun, saya masih tidak mampu dan ruangan di dalam kenderaan pula terhad.

“Cuba bayangkan, saya ada tujuh anak dan hanya menaiki Pe­rodua Alza, ruangan sangat terhad jika menggunakan CRS untuk tiga anak berusia bawah enam tahun serta ada empat penumpang lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, dia dan suami hanya mampu menggunakan kerusi keselamatan itu untuk anak ketujuh yang baru berusia dua bulan selepas mende­ngar banyak kes kemalangan maut melibatkan golongan bayi.

“Sebelum ini mungkin kese­daran itu kurang, tetapi selepas melihat banyak berita bayi tercampak keluar, perasaan takut mula timbul dan kami usahakan juga untuk membeli kerusi ber­kenaan dengan harga RM399,” ujarnya.

Seorang lagi suri rumah, Adah Amin, 30, memberitahu, masih ramai ibu bapa gagal menggunakan CRS di dalam kenderaan ketika membawa anak-anak terutamanya bagi yang tinggal di kawasan luar bandar.

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mampu mengurangkan risiko kecederaan kepada golongan itu sekiranya berlaku kemalangan. – GAMBAR HIASAN

“Mungkin kerana tinggal di luar bandar, jadi kami menangguhkan hasrat untuk membeli kerusi keselamatan kerana merasakan keadaan jalan raya di sini tidak terlalu bahaya seperti di ibu kota.

“Seperti saya, perjalanan dari rumah di Tanah Merah ke Kota Bharu, Kelantan hanya 40 minit, rasanya mungkin masih selamat untuk membawa dua anak berusia setahun dan enam tahun tanpa kerusi kanak-kanak,” ujarnya.

Adah berkata, harga CRS antara RM200 hingga RM600 menyebabkan ramai ibu bapa berdepan kesukaran membeli produk itu terutama mereka yang mempunyai ramai anak.

“Mungkin yang mempunyai anak satu atau dua orang sahaja, perkara itu tidak menjadi masalah, tetapi bagi mereka yang mempunyai anak ramai dan masih kecil, kos dikeluarkan mungkin sangat tinggi.

“Memandangkan kos sara hidup semakin meningkat ketika ini, ramai ibu bapa mungkin akan memberi fokus kepada keutamaan lain terlebih dahulu sebelum perkara ini (pembelian CRS) walaupun ia juga penting,” katanya.

Berdepan situasi sama, seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Nur Arif, 30, mengakui tentang kepentingan penggunaan CRS, namun gagal menggunakannya ekoran kea­daan tidak mengizinkan yang dihadapinya.

“Kalau boleh, saya memang mahu guna CRS setiap kali membawa empat orang anak berusia antara dua bulan hingga sembilan tahun, tetapi ruangan kereta Perodua Myvi sempit.

“Jadi, kalau keluar beramai-ramai, memang sukar untuk guna CRS. Kalau keluar bersama bayi sahaja, saya akan gunakannya kerana memang sudah menyediakan kerusi keselamatan itu,” jelasnya.

Bermula 1 Januari 2020, kerajaan telah menguatkuasakan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian yang mana kanak-kanak ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan kerusi berkenaan.

Selain itu, kerajaan memper­kenalkan Program Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia dengan menawarkan rebat pembelian sebanyak 50 peratus atau sehingga RM150 bagi membantu golongan B40 mendapatkan alat keselamatan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN