JAKARTA – Nama Presiden Joko Widodo (Jokowi) berada di tempat pertama sebagai calon presiden 2024 berdasarkan hasil Musyawarah Rakyat (Musra) di Bandung, lapor laman berita Merdeka.com kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Musra, Andi Gani berkata, Jokowi menerima 29.79 peratus sokongan melalui sistem undian elektronik, E-Voting yang dilakukan oleh semua penduduk di Jawa Barat.
“Berdasarkan keputusan sebenar, tempat pertama adalah Jokowi dengan 29.79 peratus,” kata Andi.
Sistem undian dalam talian digunakan kerana mudah dan sebahagian besar masyarakat Indonesia dikatakan memiliki telefon bimbit.
Senarai calon presiden itu mengemukakan 10 nama yang disokong rakyat. Jokowi dengan 29.79 peratus sokongan mendapat tempat pertama dengan 1,704 undian manakala Sandiaga Uno di tempat kedua dengan 968 undian iaitu 16.92 peratus.
Calon ketiga dengan undian terbanyak ialah Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dengan 16.19 peratus atau 921 undian.
Sementara itu, nama Menteri Pertahanan (Menhan) Prabowo Subianto berada di kedudukan keempat dengan hanya mendapat kira-kira 11.10 peratus dengan 635 undian .
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan muncul di tempat kelima dengan 9.02 peratus dan mendapat 516 undian manakala kedudukan keenam ialah Ridwan Kamil yang merupakan Gabenor Jawa Barat mendapat 5.17 peratus dengan 296 undian.
Ketua Dewan perwakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani muncul di tempat ketujuh dengan 4.16 peratus atau 238 undian. Kemudian, Anggota DPR, Dedi Mulyadi berada di tempat kelapan dengan 2.87 peratus dan 164 undi.
Ketua Staf Presiden, Moeldoko tersenarai di kedudukan kesembilan dengan 1.42 peratus dan 147 undian dan yang kesepuluh dari Tentera Nasional Indonesia (TNI) iaitu Andika Perkasa dengan 0.89 peratus dan 81 undian. – Agensi














