JOHOR BAHRU – Setiap kali hujan lebat penduduk di Kampung Laut, Batu 10, Skudai di sini, pastinya akan berdepan dengan banjir kilat yang memusnahkan harta benda dan menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Letih dengan situasi berkenaan, penduduk memohon kerajaan negeri menyelesaikan masalah berkenaan dengan mendalamkan dan melebarkan Sungai Skudai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk.
Seorang penduduk, Zulkifli Mat Ahwan, 43, berkata, kali terakhir kerja-kerja mendalamkan sungai berkenaan dilakukan kira-kira 20 tahun lalu.
“Setiap kali banjir kilat, penduduk akan mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit, saya sendiri rugi lebih RM1,000.

“Kami gesa kerajaan mendalamkan Sungai Skudai bagi mengelak kejadian banjir terus berulang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Wahid, 73, memberitahu, sebahagian penduduk kampung sudah pasrah dengan insiden banjir kilat yang berlaku setiap tahun sejak tahun 1970.
“Jika diikutkan hati, memang mahu berpindah ke tempat lain, namun kerana kekangan kewangan, majoriti penduduk kampung ini terus menetap di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Ibrahim Sujiman, 27, berkata, empat buah kenderaannya ditenggelami banjir kilat kelmarin selain pelbagai dokumen dan barangan rumah turut musnah.
“Kami ada membina stor ditempat tinggi bagi menyimpan barangan rumah, namun paras air yang naik setinggi dua meter kelmarin turut menenggelamkan kawasan stor.
Hujan lebat sejak pukul 3 petang kelmarin menyebabkan ratusan rumah dinaiki air dengan 86 individu ditempatkan di pusat pemindahan sementara.














