Kisah gangguan di rumah sewa bukanlah sesuatu yang asing, lebih-lebih lagi membabitkan kediaman yang sudah ditinggalkan untuk satu tempoh yang lama.
Itu yang berlaku kepada Alia, 36, (bukan nana sebenar) yang sama sekali tidak menyangka boleh menjadi mangsa gangguan menyeramkan di rumah sewa baharunya
Menurutnya, dia yang sebelum ini menetap di sebuah negeri di Utara tanah air terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur selepas suaminya, Zairi, 37, diterima bekerja di sebuah syarikat swasta baharu di ibu kota.
Alia cukup teruja memandangkan dia sudah lama mahu kembali menetap di Kuala Lumpur selepas menghabiskan masa selama lapan tahun di negeri sebelah utara selepas mendirikan rumah tangga.
Rumah itu terletak di kawasan kejiranan yang cantik, selain harga sewanya yang agak murah, Zairi mengambil keputusan untuk terus membayar deposit tanpa melihat keadaannya terlebih dahulu.
“Silap kami juga kerana terlalu tergesa-gesa dan terus membuat bayaran untuk rumah tersebut tanpa melihatnya terlebih dahulu.
“Kami berurusan dengan tuan rumah menerusi aplikasi WhatsApp sahaja selepas melihat gambar-gambar yang dikirimkan pemilik,” tutur Alia.
Menurutnya, pada awal berpindah masuk, tiada sebarang gangguan menakutkan dialami mereka.
Bagaimanapun, Alia mengalami gangguan ketika bermalam seorang diri disebabkan suaminya mempunyai tugasan di luar kawasan beberapa hari kemudian.
Ketika itu, dia diganggu dengan bunyi ketukan pintu dapur yang cukup kuat, seperti mahu runtuh rumah itu dibuatnya.
“Bayangkan saya sedang duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen, tiba-tiba mendengar bunyi ketukan di pintu dapur yang amat kuat.

TANPA berfikir panjang, Zairi bersetuju untuk menyewa sebuab rumah yang agak murah kadar sewanya tanpa memikirkan apa yang bakal menantinya selepas itu. – GAMBAR HIASAN
“Saya amat terkejut dan terus menghubungi suami. Sebaik sahaja Zairi pulang, bunyi ketukan itu hilang,” jelasnya.
Namun, gangguan itu tidak berakhir di situ kerana minggu berikutnya, suami pula diganggu apabila nasi yang saya hidangkan kepadanya basi dan berbau hancing.
Alia berkata, dia amat terkejut kerana nasi tersebut baru dimasak dan masih panas, namun telah basi dan berbau seperti air kencing, menyebabkan mereka yakin ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah itu.
Ketika itu, suaminya terus melaungkan azan sekuat hati, namun tiba-tiba terdengar ada satu suara lain yang turut sama melaungkan azan, namun dalam keadaan seperti main-main disertai hilai tawa.
“Ketika itu saya sudah menggigil ketakutan dan terus menghubungi pemilik rumah dengan menceritakan hal yang berlaku.
“Namun, pemilik dalam nada sedikit tinggi memberitahu bahawa itu merupakan masalah peribadi penyewa dan mereka perlu menanganinya sendiri,” ujarnya kecewa.
Alia mulai berang dengan pemilik kediaman itu dan nekad mahu meninggalkan kediaman tersebut secepat mungkin.
Malam itu juga, dia dan Zairi mulai mengemas barangan mereka sedikit demi sedikit sambil mendengar laungan ayat-ayat al-Quran sepanjang malam.
Selepas menunaikan solat Subuh, mereka terus memindahkan barang ke kereta dan meminta semula wang deposit daripada pemilik berkenaan.
“Namun, permintaan kami tidak diendahkan dan mengatakan wang deposit tidak boleh dikembalikan dan dianggap ‘hangus’.
“Kami hanya mampu reda dan menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran dalam memilih rumah sewa untuk dihuni,” katanya.















