KUANTAN – Menara Kuantan 188 dan Taman Esplanade Kuantan dekat Sungai Kuantan yang menjadi tarikan bandar raya itu kini dicemari najis burung layang-layang sehingga menimbulkan rasa tidak selesa orang ramai.
Keindahan Kuantan yang diisytiharkan bandar raya pada 21 Februari tahun lalu itu terus dicemari burung layang-layang yang ‘menawan’ kawasan itu setiap malam dan meninggalkan kesan najis pada siang hari.
Tinjauan Kosmo! mendapati kawasan tengah bandar sekitar Jalan Tun Ismail di sini mula dipenuhi dengan burung-burung yang kembali untuk ‘bermalam’ di pokok-pokok besar sepanjang jalan berkenaan.
Suasana bunyi burung yang bingit serta najis-najis yang mula memenuhi kawasan tempat letak kereta menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai sama ada penduduk setempat dan pelancong.
Tinjauan pada awal pagi mendapati kawasan tempat letak kereta dipenuhi najis burung, manakala ada kereta yang diletakkan di situ dipenuhi najis burung yang jatuh seperti hujan.

Seorang penduduk setempat, Amir Sulaiman, 24, berkata, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu meresahkan mereka yang tinggal dan berniaga di kawasan berkenaan kerana bukan sahaja dicemari najis burung tetapi juga bunyi bising.
“Burung ini akan penuh di pokok-pokok pada waktu malam dan hilang pada siang hari dengan meninggalkan najis yang membimbangkan akan memberikan risiko kesihatan kepada orang ramai.
“Malah kewujudan burung-burung ini bagaikan ‘perangkap’ kepada orang ramai yang lalu di bawah pokok.
“Malah kereta-kereta pengunjung yang diletakkan pada waktu malam dipenuhi najis yang jatuh bagaikan air hujan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, dia berharap isu itu akan dapat segera diatasi pihak berkaitan, bukan hanya sekadar meletak papan tanda menyatakan berhati-hati dengan najis burung.
Sementara itu seorang pengunjung, Juhel Abdullah, 25, berkata, kewujudan burung-burung berkenaan menimbulkan rasa tidak selesa orang ramai yang berkunjung di kawasan itu.
Katanya, dia yang sering datang ke Kuantan untuk bekerja dan beriadah bersama keluarga berasakan ‘tidak selamat’ apabila berada di kawasan yang dipenuhi najis burung.
“Saya pernah terkena najis burung di kepala ketika berjalan pada waktu senja di bawah pokok,
“Jadi masalah pula saya kena basuh dan tukar pakaian sebab najis burung itu,” katanya yang berasal dari Temerloh.
Jelasnya, tindakan segera perlu diambil oleh pihak berwajib. -KOSMO! ONLINE














