MENAFIKAN sedang berdepan masalah mental hanya kerana bertindak mencukur kepala sehingga botak, rapper wanita popular, Doja Cat mendedahkan, dia sudah penat berpura-pura.
Ungkapan rawak bahasa Inggeris yang berbunyi ‘fame is a dangerous drug’ (populariti itu dadah yang merosakkan) adakalanya benar.
Khalayak barangkali membuat telahan mudah bahawa populariti memberi jalan pintas untuk memperoleh segala-galanya.
Ironinya, kita tidak memakai ‘kasut’ orang popular, kita tidak merasai impak penangan jalan sebegitu, jauh sekali menanggung natijah glamor.
Alasan sama mungkin boleh diguna pakai saat menghitungkan situasi yang sedang berlaku terhadap rapper popular dunia, Doja Cat atau nama sebenarnya, Amala Ratna Zandile Dlamini.
Wanita berusia 27 itu kian membuatkan khalayak ‘bingung’ dan serba salah apabila memperlihatkan penampilannya kini yang berkepala botak, mencukur semua bulu kening dan berkongsi deretan hantaran status media sosial menjelekkan.
Ada yang mempersoalkan kewarasan mentalnya atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami, Doja Cat sudah gila.
Barangkali juga, Doja berdepan gelombang emosi tidak stabil akibat melangit dilambung populariti atau masih titik damai dengan status sebagai selebriti terkenal yang sedang digalas.

Cukur kepala, kening
Menjawab telahan ramai, pelantun lagu You Right itu menghargai keperihatinan umum tentang mentalnya yang dikatakan bermasalah.
Kata Doja, tiada apa yang perlu dirisaukan atau dikhuatirkan tentang kesihatan mentalnya. Dia tidak gila dan tidak menyusahkan orang lain.
“Saya kaya dan saya baik-baik sahaja,” demikian jawab pemenang trofi, Persembahan Duo Pop/Berkumpulan Terbaik Grammy Awards ke-64 itu menerusi satu sesi ‘live’ Instagram, baru-baru ini.
Menjelaskan lanjut, Doja berkata, dia sangat tidak suka apabila khalayak mempersoalkan tentang kesihatan mentalnya hanya kerana perubahan penampilan.
“Semua soalan tentang sama ada saya ‘okey’, tidakkah itu boleh membuatkan saya ingin mengamuk.
“Kalau sibuk sangat nak tahu mengapa saya botak atau masih ada bulu belum dicukur, sini saya jawab senang, yang tinggal hanya bulu kemaluan saya sekarang.
“Kalau boleh, saya nak cukur semuanya termasuk di bahagian sulit. Saya betul-betul sangat bencikan semua ini,” ungkapnya bersahaja dalam siaran ‘live’ tersebut.

Demi kepuasan orang
Penyanyi kelahiran Los Angeles, California, Amerika Syarikat itu bertegas mempertahankan tindakannya berbotak habis.
Dedah Doja, penampilan baharunya itu memberi kebebasan buatnya menjadi diri sendiri. Sekarang, dia berasa sangat bahagia dengan penampilan terkini.
“Saya rasa macam saya tak patut pernah memiliki rambut sebenarnya. Saya tak suka mempunyai rambut di kepala.
“Pada masa sama, saya tak tahu nak ungkapnya bagaimana atau betapa bahagianya saya sekarang. Memang dah lama, saya nak berpenampilan begini.
“Mempunyai opsyen untuk buat apa yang saya dah buat sekarang sangat-sangat menyeronokkan. Ini sangat hebat dan seronok,” ujarnya lagi.
Mengenang kisah lama, sebelum ini hidup Doja sangat memenatkan dan selalu tertekan apabila terpaksa berpura-pura demi kepuasan orang lain.

“Sangat melelahkan apabila bersenam di gimnasium tetapi terpaksa memakai rambut palsu.
“Bayangkan dengan kepala berpeluh begitu. Saya terlalu sibuk fikir kalau orang tahu saya tidak mempunyai rambut.
“Saya nak buat pengakuan yang selama ini, rambut yang kalian lihat bukanlah rambut sebenar saya. Selalunya, saya pakai rambut palsu. Ada rambut tetapi, pakai wig (rambut palsu), kalian fikirlah betapa seksa dan itu semua umpama mimpi ngeri buat saya,” terangnya.
Disifatkan antara rapper wanita paling ‘in’ dan berbakat besar era ini, Doja juga terkenal dengan kerenah yang gemar mempermainkan hati netizen dalam media sosial.
Dalam erti kata mudah, ‘trolling’ dan Doja memang berpisah tiada.
“Sekarang saya suka sekat akaun media sosial orang. Saya jarang buat begitu dan sangat teruja dengan ‘masa depan’ semua ini.
“Kadang-kadang netizen sangat dungu dan saya bersumpah atas nama Tuhan, itu memang menakutkan,” ciapnya rawak menerusi Twitter.















