JARUM jam ketika itu menunjukkan angka 12 tengah hari dan Padang Bola Sepak Akademi KLFA, Taman Melati, Kuala Lumpur kelihatan begitu meriah dengan kehadiran orang ramai yang mahu sama-sama memeriahkan satu festival yang buat pertama kali diadakan di negara ini.
Jatuh pada tarikh 1 Muharam yang signifikan sebagai permulaan kalendar Islam, festival dikenali sebagai Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) itu merupakan medan pengunjung untuk datang sambil bergaya memakai busana Melayu klasik seperti kurung Pahang, baju Melayu cekak musang lengkap dengan tengkolok beraneka warna.
Difahamkan, seramai kira-kira 10,000 pengunjung telah hadir memeriahkan festival sehari itu yang menempatkan 20 khemah pameran dan jualan berkaitan seni budaya Melayu baru-baru ini.
Reruai permainan tradisional dan sukan rakyat juga disediakan sebagai aktiviti buat para pengunjung.

Festival anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang merupakan gabungan beberapa NGO Islam di Malaysia itu telah menjadi medan pertemuan dan pembelajaran bagi pengunjung untuk menghargai adab Melayu.
“Apa yang mengagumkan, pelbagai pertubuhan seni silat juga boleh sepentas bersama meraikan HPBM,” kongsi seorang individu dengan nama mohd_sahrularifin di Instagram.
Dalam pada itu, Pengarah media HPBM, Mohd. Khalid Yahaya berkata, acara julung kali diadakan itu adalah untuk memperlihat bagaimana bangsa Melayu berkembang menerusi pelbagai aspek kehidupan meliputi pakaian, pemikiran dan juga gaya hidup.
“Menerusi festival ini, kami selaku penganjur berganding bahu bersama beberapa NGO untuk meraikan dan menunjukkan adat tradisi Melayu yang mungkin tidak pernah kita ketahui selama ini atau sudah semakin dilupakan.
“Menerusi festival ini juga, kami menampilkan pertunjukan seperti silat makrifat, pertunjukan pakaian tradisi Melayu meliputi evolusi pemakaian selendang dan tengkolok serta permainan tradisi,” ujarnya kepada K2.
Tambah Mohd. Khalid lagi, festival itu dimulakan dengan selawat dan bacaan doa diikuti senaman silat yang mana seramai lima orang mahaguru silat Melayu turut turun padang bagi sama-sama memeriahkan acara tersebut.

Selesai acara silat, HPBM turut menampilkan acara sukan rakyat kanak-kanak yang menampilkan permainan seperti congkak, batu seremban, sukan ting ting, memanah dan juga tarik tali.
“Di sebelah dalam dewan pula menjadi ruang pameran membabitkan pakaian tradisi Melayu, makanan dan juga barangan perhiasan kuno seperti meriam buluh lama dan juga wang, barangan kemas antik yang boleh dilihat pengunjung,” kata Mohd. Khalid.
Baginya, penganjuran festival itu cukup bertepatan dengan demam filem pahlawan Melayu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menjadi fenomena selepas mencatatkan jumlah kutipan hampir RM100 juta.

Namun, jelas Mohd. Khalid, penganjuran HPBM itu bukanlah untuk menumpang populariti filem tersebut sebaliknya menjadi satu kesinambungan yang baik untuk memperkenalkan dan mendalami lagi adab serta keunikan bangsa Melayu itu sendiri.
“Saya teruja apabila melihat bangsa Melayu sendiri cukup menghargai budaya dan bangsanya serta festival ini juga boleh menjadi titik bersejarah untuk lebih mengenali siapa bangsa Melayu,” katanya.
Bagi seorang aktivis busana Melayu pula, Norliza Samningon, 43, dia cukup teruja apabila dapat memperkenalkan kepelbagaian busana Melayu mengikut zaman kepada pengunjung yang datang.
Norliza yang hadir ke festival tersebut dengan menggayakan sepasang baju kurung Riau rona merah hati bersama aksesori dokoh emas tidak lokek berkongsi ilmu tentang keunikan busana Melayu asli bersama pengunjung yang datang.
“Sebagai seorang aktivis, saya cukup gemar mengkaji pakaian orang Melayu kita sendiri dalam setiap zaman kerana setiap pakaian yang digayakan oleh wanita Melayu zaman dahulu sebenarnya ada falsafah dan sebabnya yang tersendiri.
“Sebagai contoh, wanita Melayu zaman dahulu juga mereka memakai tengkolok dan setiap tengkolok yang digayakan itu mempunyai maksudnya yang tersendiri,” ujarnya.
Norliza turut menunjukkan jenis-jenis tengkolok berbeza mengikut pangkat atau darjat seseorang.
“Tengkolok Segulung misalnya gaya tengkolok yang dipakai rakyat biasa. Tengkolok Suri pula gaya tengkolok kepala yang hanya dipakai golongan pendidik seperti guru atau ketua bagi satu-satu kumpulan bagi membezakannya dengan orang lain.
“Tengkolok jenis Siput pula iaitu gulungan kain yang disanggul pada kepala menyerupai bentuk seekor siput memberi simbolik bahawa si pemakainya berada dalam keadaan tidak sihat dan tidak mampu untuk membuat kerja-kerja rumah, seperti sedang sarat mengandung atau wanita tua yang sudah tidak larat melakukan kerja-kerja berat,” ujar Norliza.

Baginya, keunikan bangsa Melayu itu cukup banyak dan antara yang paling disukainya adalah wanita Melayu cukup terkenal dengan adat kesopanan apabila ‘bercakap’ atau menyampaikan sesuatu melalui cara berpakaian.
“Zaman dahulu, gaya lipatan kain pada baju kurung yang dipakai melambangkan status wanita tersebut.
“Sebagai contoh, wanita yang masih bujang akan memakai kain lipat depan sementara wanita yang sudah berkahwin pula akan memakai kain yang dilipat di bahagian sisi.
“Bagi wanita dengan status janda pula, mereka akan menggayakan kain yang dilipat pada bahagian belakang.
“Menarik bukan? Inilah cara mereka memberitahu status diri tanpa perlu berkata apa-apa pun memandangkan wanita Melayu cukup tinggi dengan sifat pemalunya,” ujar Norliza.














