fbpx
VOKALIS dan pengasas Kembara, M. Nasir.

Kembara tidak ditelan zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMUANYA demi sebuah rindu. Ternyata alasan rindu itu cukup kuat, cukup untuk membuat ribuan orang membanjiri Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC tempoh hari dengan hati muda dan mata yang bersinar gembira.Melihatkan suasana awal yang riuh-rendah dengan tawa, semua itu bagaikan sebuah pesta.

Seperkara yang menarik, wajah-wajah yang hadir pada malam tersebut, rata-ratanya sudah terserlah garis usia, barangkali sebaya dengan usia ibu bapa penulis. namun masing-masing bergaya dengan cita rasa fesyen tersendiri.

Pada raut wajah mereka, terpancar keterujaan untuk menyaksikan persembahan daripada sebuah kumpulan legenda yang pernah menjadi kegilaan dengan lagu-lagu bertema rakyat, folk dan rock yang sungguh ‘kekitaan’.

M. NASIR berharap konsert yang berlangsung pada 31 Julai lalu itu tidak menjadi noktah persembahan Kembara untuk masa akan datang.

Saat tirai panggung dibuka, tepukan gemuruh penonton disertai teriakan bergema seraya kelibat vokalis utama Kembara, Datuk M.Nasir tampil di atas pentas sekali gus acara konsert Kembara: Panorama Jingga (1444 Hijrah) dimulakan.

Dengan membawakan lagu Panorama Jingga, diikuti lagu Tarian Hidup dan Duit, penonton mudah sahaja terasuk apabila turut sama menyanyikan lagu yang sebenarnya sangat asing di cuping telinga penulis.

“Terima kasih pada kalian yang datang ke konsert Kembara. Kembara tidak pernah isytiharkan bila kami ditubuhkan. Kembara juga tidak pernah membuat pengumuman kami telah pun berpecah.

“Sebahagian daripada mereka (anggota Kembara) ini bekerja di studio dan kami bergabung dan menjadi ahli Kembara ketika menghasilkan album keempat berjudul Hijrah 1400. Maka inilah Kembara hari ini,” kata M. Nasir ketika selesai menyanyikan tiga buah lagu tersebut.

TANPA rehat untuk berhenti biarpun meneguk segelas air, M. Nasir mengakhiri persembahannya menerusi lagu Gerhana sekali gus membuatkan penonton gamat dengan sorakan, menari dan menyanyi bersama.

Muzik ‘reggae’

Persembahan pada malam itu diteruskan dan semakin hangat apabila M. Nasir meneruskan persembahan menerusi lapan buah lagu tanpa henti antaranya Rindu, Kepada Mu Kekasih, Rozita, Putar Alam dan Gadis Berpurdah Hitam.

Kata M. Nasir, konsert Kembara: Panorama Jingga (1444 Hijrah) didedikasikan untuk generasi tahun 1980-an. Ujarnya, pelbagai perkara berlaku pada tahun tersebut termasuklah fenomena muzik ‘reggae’.

“Pada era 1980-an, macam-macam perkara berlaku pada ketika itu. Termasuklah fenomena muzik ‘reggae’.

“Era 1980-an, muziknya pelbagai. Selain ‘reggae’ ada campuran muzik dangdut, kemudian ada muzik rock, pop. Kemudian masuk pula sedikit elemen muzik era 1960-an.

“Orang suka muzik begitu. Maka kami tampil dengan persembahan muzik yang pendengar mahukan,” katanya sambil mengajak penonton untuk sama-sama bergoyang menghayati muzik asal Jamaica itu.

Memasuki segmen tribute, Kembara kemudiannya mendedikasikan lagu-lagu ciptaan komposer berprolifik, Allahyarham A. Ali yang juga merupakan gitaris serta vokalis kumpulan itu.

Kata M. Nasir, sepanjang hayatnya, A. Ali telah mencipta lebih daripada 500 buah lagu termasuk lagu-lagu hebat Kembara seperti Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang yang didendangkan secara medley.

PERSEMBAHAN selama tiga jam Kembara turut menyelitkan beberapa buah lagu yang jarang dimainkan seperti Rupa Tanpa Wajah, Harapan Terakhir dan Buta Kerana Cinta.

Kembara Seniman Jalanan

Saat tribute untuk insan seni hebat itu dimainkan, seluruh isi dewan diterangi sinaran lampu telefon bimbit, beralun mengikut irama lagu yang dipersembahkan.
Persembahan yang berlangsung selama tiga jam menerusi seleksi 30 buah lagu popular Kembara daripada album keempat hingga album ketujuh itu turut menampilkan penyair popular Pyan Habib yang muncul sebagai tetamu istimewa, sekali gus membawakan ingatan peminat ke zaman Kembara Seniman Jalanan dengan watak ikoniknya Osman Tikus.

“Kita kembalikan ingatan itu menerusi filem yang dikatakan adalah satu perjuangan.

“Kepada pengikutnya yang masih memandang Kembara Seniman Jalanan sebagai sebuah filem ikutan. Lagu-lagu dalam filem ini sangat istimewa kerana membangkitkan semangat kita,” katanya.

Masa seakan-akan berputar pantas apabila konsert menutup tirai dengan menyanyikan lagu ‘berhantu’ berjudul Gerhana, sekali gus mengajak penonton berdiri dan menyanyi bersama-sama.

Rata-rata penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur kelihatan puas sehingga ada yang menyapu air mata. Tidak tahu apa yang terbendung dalam benak hatinya.

Yang pasti, konsert sulung Kembara selepas pemergian Allahyarham A.Ali dan tanpa S. Sahlan, sebaliknya mempertemukan Zoul (gitar dan vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard), selain M. Nasir (vokalis) itu berjaya membuatkan peminat pulang dengan senyuman kepuasan.
Ternyata Kembara tidak perlukan lagu baharu untuk menyita khalayak. Cukup!

DEKLAMASI puisi oleh penyair popular Pyan Habib yang muncul sebagai tetamu istimewa membawa ingatan peminat ke zaman Kembara Seniman Jalanan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN