KETIKA menyaksikan Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang sedang berlangsung sejak 28 Julai lalu, sorotan mata penonton pastinya tidak terkecuali daripada memandang maskot lembu jantan berwarna-warni.
Ceria dan kaya dengan simbol serta nilai sejarah, ia sebenarnya merupakan cetusan idea seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, Emma Lou yang mempunyai ‘pertalian’ dengan Malaysia.
Menetap di Britain, Emma adalah anak perempuan pasangan kelahiran Malaysia, Dr. Eric Lou dan isterinya, Siao Peng yang berasal dari Ipoh, Perak.
Difahamkan ibu bapanya berpindah ke Britain pada tahun 2007 dan tiga tahun kemudian, Emma dilahirkan.
Pencapaian kanak-kanak itu ternyata membanggakan seluruh masyarakat di negara ini dan dikongsi oleh Twitter rasmi Olympic Malaysia.
Mengimbau kembali kala satu lembaga maskot berupa lembu jantan dengan corak heksagon berwarna-warni itu muncul secara mengejut di hadapan pintu kediamannya di Bolton, Greater Manchester, Mac lalu, kanak-kanak itu terjerit kecil.
Tidak disangkanya, lukisan yang dihasilkan pada sekeping kertas putih pada dua tahun lalu berjaya direalisasikan dan bertukar menjadi maskot.
Seakan tidak percaya tetapi teruja, itu reaksi Emma tatkala dimaklumkan dirinya merupakan pemenang bagi pertandingan mereka maskot Sukan Komanwel yang dianjurkan dua tahun lalu.
“Saya gembira melihat Perry sepanjang temasya berlangsung,” katanya kepada birminghammail.

Dikenali sebagai Perry The Bull, nama tersebut dipilih bersempena dengan nama kawasan di Birmingham, Perry Barr yang merupakan lokasi Stadium Alexander yang menjadi tuan rumah acara olahraga dan upacara pembukaan serta penutupan temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Menurut Emma, dia mendapat isnpirasi lembu jantan sebagai maskot rekaannya memandangkan haiwan tersebut begitu sinonim dengan Birmingham yang dikenali sebagai pusat lembu sejak abad ke-16 dan memiliki sebuah pasar yang terkenal dengan arca ikonik lembut jantan.
“Lembut jantan dipercayai memiliki sifat istimewa dan agak nakal selain baik hati serta menjadi lambang kekuatan.
“Perry melambangkan perpaduan Komanwel serta masyarakat yang pelbagai di seluruh Birmingham dan West Midlands. Penampilan Perry yang sangat bersemangat adalah salah satu cara untuk mencerminkan inti pati permainan.
“Kulitnya dilitupi corak heksagon dan tiga biji segi tiga sama melambangkan kebergantungan individu antara satu sama lain yang bergandingan untuk menjayakan sukan tersebut, manakala warna-warna itu pula diambil daripada bendera Komanwel.
“Sementara itu, di bahagian lehernya pula terkalung pingat emas yang melambangkan Jewellery Quarter, lokasi terkenal dan terbesar di Birmingham serta Eropah yang mana 40 peratus daripada barang kemas Britain dihasilkan di situ,” kongsinya.

Cerita Emma lagi, maskot tersebut direka kira-kira dua tahun lalu ketika dirinya hanya duduk di rumah apabila Britain menjalani sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.
“Saya mengambil masa hanya satu hari untuk menyiapkan lukisan ini. Pada awalnya saya sekadar mencuba nasib apabila kempen pertandingan itu diiklankan di sekolah-sekolah seluruh negara dan di radio.
“Tanpa disangka lukisan ini dipilih daripada ratusan penyertaan lain yang disertai kanak-kanak antara 5 dan 15 tahun,” kongsinya yang pernah mengakui sukakan roti canai dan nasi lemak.
Maskot Perry kelihatan berlegar-legar melakukan pelbagai aksi di sekitar Centenary Square, Birmingham, selain terdapat 17 patungnya serta lapan avatar digital sepanjang temasya sukan itu berlangsung.
Dalam pada itu, menerusi temu bual bersama BBC, bapanya, Eric Lou yang merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Manchester Metropolitan University berkata, Perry terhasil daripada kerja keras Emma.
Bukan hanya sekali, Emma sebaliknya melakukan dua percubaan untuk menghasilkan Perry.
“Saya sangat berbangga dan kagum dengan reka bentuk maskot Emma. Percubaan pertamanya ‘tidak begitu baik’, tetapi percubaan kedua ‘ternyata cukup baik’.
“Dia telah memilih lembu jantan dan menjadikannya lebih istimewa. Reka bentuknya simbolik kepada kekuatan yang datang menerusi penyatuan masyarakat. Itulah mesej yang paling bermakna yang ingin disampaikannya.
“Ini merupakan satu penghormatan buat kami sekeluarga apabila reka bentuknya dipilih untuk memberi inspirasi kepada Birmingham 2022. Ia menjadi pengalaman istimewa yang saya pasti Emma akan ingat sepanjang hayatnya,” jelas lelaki itu yang mengakui berpeluang ke stadium menyaksikan Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada tahun 1998.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Birmingham 2022, Ian Reid berkata, maskot rekaan Emma paling menonjol daripada penyertaan ratusan kanak-kanak lain di seluruh negara.
“Kami bukan sahaja melihat maskotnya yang comel, tetapi ia mampu menambat hati individu dan membuatkan mereka rasa sayang. Bahkan, maskot itu juga mewakili keseluruhan Birmingham, West Midlands dan Komanwel itu sendiri.
“Melihatkan apa yang dihasilkan Emma, jelas menunjukkan dia meletakkan usaha yang besar dalam penyertaannya. Reka bentuk maskotnya telah memberi inspirasi dan dilihat di seluruh dunia sejak minggu lalu. Kemunculan Perry ternyata memberikan kesan yang besar kepada penonton di seluruh dunia,” katanya.














