fbpx
BAYI angkat yang dijaga seorang wanita dikenali Ly sejak tahun 2017 selepas diserahkan oleh ibu kandungnya dan mendapat persetujuan bersama di JKM.

‘Kami tak beli anak angkat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Ramai pasa­ngan yang masih belum memiliki cahaya mata tekad mendapatkan anak angkat menggunakan saluran yang sah tanpa melalui jalan pintas yang didalangi oleh sindiket tertentu.

Menerusi tinjauan Kosmo! Ahad, rata-rata pasangan yang ditemui mengakui, mereka berjaya mendapatkan anak angkat melalui persetujuan kedua-dua pihak termasuk ibu kandung bayi berkenaan.

Seorang pegawai eksekutif syarikat swasta dikenali sebagai Rina, 45, berkata, dia dan suami masih belum mempunyai zuriat selepas 10 tahun berkahwin dan mereka memang mahu mengambil anak angkat.

Katanya, hajat itu akhirnya termakbul apabila dia dipertemukan dengan seorang bayi angkat milik gadis tempatan berusia 20-an yang tinggal di kawasan pedalaman di Perak.

Berita berkaitan: Komplot jual bayi anak yatim, remaja terlanjur

“Saya berbincang dengan suami serta keluarga sebaik dimaklumkan rakan tentang situasi­ wanita itu yang dikatakan sedang mencari keluarga angkat untuk anak ketiganya.

“Hasil pertemuan dengan wanita itu, dia mendakwa tidak mampu lagi untuk menggalas tanggungjawab menjaga bayi bongsunya apabila lahir nanti kerana suaminya dipenjara atas hukuman kesalahan dadah.

“Selepas berbincang, dia setuju dan kami memberikan sejumlah wang sebagai bayaran kos penjagaan sepanjang menunggu tarikh bersalin selama dua bulan, urusan di hospital dan pendaftaran sijil kelahiran anak,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Gambar hiasan seorang bapa bersama anaknya.

Menurut Rina lagi, bagi memastikan masa depan bayi ber­kenaan, dia ada membuat perjanjian menerusi surat hitam putih agar tidak berlaku sebarang kemusykilan atau tuntutan hak penjagaan apabila anak itu sudah mula bersekolah.

“Alhamdulillah, hasrat kami untuk memiliki anak angkat akhir­nya tercapai lima tahun lalu. Saya ada memberi sedikit bantuan kepada ibu bayi ber­kenaan sebaik dia keluar dari hospital,” ujarnya.

Tambah Rina, dia juga bersyu­kur kerana Allah memberikan kesihatan yang baik kepada anak angkatnya yang kini sudahpun bersekolah tadika.

Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali Ty, 34, berkata, dia mengambil anak ang­kat perempuan yang kini berusia lima tahun setelah ibu kandungnya sendiri tidak mampu lagi menguruskan penjagaan sebaik bersalin pada Oktober 2017.

“Gadis itu datang ke kedai saya bertanyakan sama ada saya sanggup mengambil dan menjaga anaknya sebaik dilahirkan. Ketika itu usia kandungannya baharu tiga bulan.

“Saya mulanya sangsi dengan permintaannya itu, namun semasa usia kandungannya sudah masuk lima bulan, barulah saya buat keputusan untuk mengambil bayi tersebut.

“Urusan bersalin semua dia yang tanggung cuma dia ada minta sedikit bantuan untuk digunakan selepas bersalin nanti,” jelasnya.

Ceritanya lagi, dia mengambil bayi tersebut selepas 24 jam dilahirkan di sebuah hospital kerajaan pada 2 Oktober 2017.

“Saya berikan dia (ibu kan­dung) wang selepas urusan hak ja­gaan dan larangan tuntutan wang serta anak selesai di mahkamah.

“Ini termasuk kebenaran hak penjagaan atas persetujuan bersama di Jabatan Kebajikan Masyarakat, urusan sijil pendaftaran kelahiran dan Mykid.

“Kini, usia anak sudah menjangkau lima tahun dan saya juga sudahpun beritahunya (anak angkat) yang dia hanyalah anak angkat dan masih mempunyai ibu kandung. Bagaimanapun, dia dilihat sudah memahaminya,” tambahnya.

Kosmo! semalam mendedahkan mengenai aktiviti beberapa pusat perlindungan yang menempatkan anak-anak yatim dan remaja hamil di negara ini yang didakwa mengaut keuntungan mencecah puluhan ribu ringgit dengan ‘menjual’ bayi baru lahir kepada individu yang mahu mendapatkan anak angkat secara segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN