PUTRAJAYA – Tindakan mana-mana individu yang menggunakan sindiket dengan membayar sejumlah wang semata-mata untuk mendapatkan anak angkat adalah haram berdasarkan hukum yang ditetapkan agama Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, tindakan itu seolah-olah menjual manusia dan berdasarkan pandangan Islam hukumnya adalah haram.

“Menurut Islam, manusia bukanlah barang dagangan yang boleh dijual beli dan tindakan pihak-pihak tertentu yang mendapatkan anak angkat menggunakan sindiket dilihat telah menterjemahkan perkara itu.
“Sepatutnya urusan mendapatkan anak angkat perlu dilakukan secara sukarela berdasarkan kewajiban membantu sesama anggota masyarakat untuk memenuhi naluri pasangan yang inginkan cahaya mata,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.
Katanya, tindakan individu yang mengambil anak angkat dan menukar nama bayi itu menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ kepada namanya juga disifatkan sebagai haram berdasarkan nas Al-Quran serta hadis.
“Jadi, saya mencadangkan mana-mana individu yang mahukan anak angkat agar menggunakan saluran betul seperti membuat permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bukannya menggunakan perkhidmatan sindiket.
“Selain itu, bagi pusat perlindungan pula, anak tidak sah nasab ini boleh diletakkan di bawah jagaan JKM terlebih dahulu selain boleh dibantu daripada sudut kewangan daripada Lembaga Zakat,” jelasnya.















