fbpx
ZUL ARIFFIN

Zul Ariffin rasa lemau, terlalu tua?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA lain bidangnya, memang sukar hendak diterjemahkan emosi kepada umum. Begitulah yang diakui aktor kegilaan ramai wanita, Zul Ariffin tatkala menceritakan pengalaman awal menjayakan watak komedi dalam filem terbaharu berjudul, Don Dukun.

Seperti setiap sukan memerlukan ge­langgang tersendiri, lelaki kelahiran Taiping Perak itu juga menyifatkan genre komedi bukan satu kelaziman untuknya beraksi, lebih lagi secara solo.

Bahkan, aktor hero Tombiruo: Penunggu Rimba itu turut mengakui memerlukan kerja secara berpasukan, terutama dengan orang berpengalaman dalam dunia untuk menjayakan watak komedi.

Bukan mudah, namun itu yang diperlukan Zul sebagai Don Arif dalam filem seram komedi terbaharu lakonannya, Don Dukun.

 

TIDAK memilih watak, Zul Ariffin sebaliknya lebih cenderung terhadap aspek jalan cerita dalam setiap tawaran yang diterimanya.

Cabaran genre komedi

Memerincikan karakter lakonannya dalam karya arahan Waan Hafiz tersebut, pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu memberitahu naskhah kali ini berbeza dengan pembabitannya dalam filem komedi terdahulu, Hantu Kak Limah (2018) arahan Mamat Khalid.

“Migrain juga bila diberi tanggungjawab untuk menggalas karakter komedi. Memang berbeza dengan karakter lawak saya sebelum ini dalam filem Hantu Kak Limah.

“Namun inilah cabaran dan tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Perlu mencuba pelbagai watak walaupun bidang komedi bukan padang saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujarnya, untuk menyampaikan sesuatu yang lucu kepada penonton juga memerlukan kerja berpasukan dan sukar, khususnya bagi pelakon yang bukan dilahirkan sebagai pelawak. Paling sukar adalah untuk menggeletek hati penonton.

“Saya rasa komedi perlukan kerja berkumpulan atau kolaborasi dengan orang lain, susah juga untuk bergerak solo. Ada juga nampak beberapa orang yang cuba berdiri sendiri tetapi nampak­lah kesukarannya.

TIDAK pernah gemuruh beraksi depan kamera biarpun melibatkan aksi lasak, namun Zul mengakui berdepan rasa bimbang dan panik ketika hendak melakonkan adegan komedi.

“Komedi ibarat tangkap ikan pakai jala, tebar beramai-ramai dan baru boleh tangkap dan dapat hasilnya,” luah Zul.

Dilayang persoalan, sama ada akan bersedia menerima lebih banyak tawaran naskhah komedi, pelakon berusia 35 tahun itu tidak akan keberatan, namun pada masa sama enggan bertindak secara sembrono.

“Semuanya bergantung dengan skrip dan jalan genre komedi sebab ada banyak jenis.

“Jika sesuai, saya terima tetapi semuanya bergantung. Bukan tak yakin tetapi perlu duduk dan bersama dengan mereka yang yakin untuk sampaikan lawak itu,” jelasnya.

Tambahnya, komedi berbeza dengan genre lain yang biasa dijayakan sebelum ini malah dia pertama kali rasa gemuruh di set penggambaran sepanjang tempoh bergelar pelakon.

“Ini bukan gelanggang saya seperti filem aksi atau romantik seperti sebelum ini tetapi untuk genre ini, rasa gemuruh seorang diri.

“Pertama kali saya rasa begini di set penggambaran. Susah saya nak gemuruh, letaklah berapa banyak kamera pun, saya tak kisah sebab memang sukar untuk rasa begitu.

“Saya pun sudah melatih diri supaya tidak dibelenggu rasa gemuruh sepanjang berlakon sebab itu musuh utama seorang pelakon.

“Namun kali ini, rasa lain macam,” ujar pelakon filem Sangkar itu.

MENGAKUI watak komedi agak mencabar, Zul tidak pernah berasa menyesal bahkan menganggap genre tersebut mencabar kemampuannya untuk menjadi seorang pelakon versatil.

Lemau

Umum tahu, Zul antara wajah ‘pelaris’ dalam setiap drama lakonannya. Berilah apa sahaja drama sejak dulu, pasti rating akan mencanak naik.

Di sebalik semua percaturan tersebut, aktor yang pernah meledak menerusi menerusi drama Rindu Awak 200% itu mendedahkan emosinya agak lemau untuk menjalani sebarang penggambaran yang mengambil tempoh selama berbulan-bulan.

“Bukan nak cakap saya memperlahankan untuk terima tawaran berlakon drama tetapi sekarang ini agak lemau jika drama yang ambil masa lama.

“Mungkin saya terlalu ‘tua’ untuk beri komitmen dengan projek yang melibatkan berbulan-bulan dan berjam-jam lamanya,” katanya lagi.

Dia juga akan lebih selektif dan mempertimbangkan mana-mana tawaran drama selepas ini terutama melibatkan tempoh yang panjang.

“Filem boleh, sebab hanya ambil masa sebulan lebih tetapi drama melibatkan dua hingga tiga bulan atau lebih. Untuk saya yang sudah berbelas tahun dalam industri, mungkin fikir banyak juga.

MELEKAT dengan filem dan drama bergenre romantik dan lasak, Zul Ariffin memasang impian untuk berlakon naskhah bersifat kekeluargaan, islamik dan persahabatan.

“Untuk pelakon baharu mungkin syok tetapi untuk saya susah sikit, agak lemau.

“Namun, mungkin sekarang saya cakap begini tetapi sebulan kemudian kembali teruja dengan penggambaran drama,” jelasnya.

Sempat bertanya tentang pemilihan heroin yang digandingkan bersama dalam mana-mana drama, pelakon yang turut digelar ‘the next hero pujaan Malaya’ itu tidak pernah meletakkan sebarang syarat mahupun kriteria dalam hal tersebut.

Sekiranya diberikan hak memilih, pas­tinya dia akan mencadangkan nama yang sudah biasa bekerjasama. Bagaimanapun, kebiasaannya dia tidak terlibat dalam hal tersebut dan terbuka untuk bekerja dengan mana-mana pelakon wanita.

“Saya tak boleh memilih pasangan dalam mana-mana drama dan filem sebab kebanyakan mereka masih muda.

“Saya layankan saja.Setakat ini, tiada masalah dengan perkara itu dan tidak terlibat pun dalam hal-hal pemilihan heroin,” katanya yang kini hangat dengan drama Tarik Aku Ke Syurga bersama Nelissa Nizam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN