KOTA BHARU – Seorang wanita yang kehilangan anak dan tiga cucunya serentak akibat dirempuh trak pikap tidak mahu ia terjadi kepada orang lain kerana perpisahan dengan orang yang disayanginya itu sangat pedih walaupun tragedi itu sudah lama berlaku.
Siti Halipah Jusoh, 80, berkata, dia menyokong supaya kerajaan mewujudkan lesen khas atau kursus khas kepada pemandu kenderaan itu bagi mengekang lebih banyak nahas melibatkan rempuhan pacuan empat roda.
Katanya, dia amat bersetuju sekiranya kerajaan mewujudkan lesen khas kepada pemandu trak pikap bagi memastikan mereka lebih cekap mengendalikan kenderaan tersebut.
“Sejak kebelakangan ini, saya banyak mendengar kes kemalangan maut melibatkan trak pikap seperti yang terjadi kepada anak dan tiga cucu saya.
“Apabila kemalangan berlaku, jarang kita dengar pemandu trak pikap yang maut tetapi yang kerap menjadi mangsa ialah pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kampung Panchor, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, Siti Halipah kehilangan anak perempuannya, Raihan Mohamad, 43, dan tiga cucu iaitu Ahda Dalili Mohd. Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

Kemalangan pada pukul 10 pagi di lampu isyarat susur Lebuh Raya Central Spine Road, Jalan Lebu Mempaga, Bentong itu berlaku ketika kesemua mangsa menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire dipandu suaminya, Mohd. Nazri Hamid, 44.
Menurut Siti Halipah, sejak kejadian itu, dia sering berpesan kepada dua lagi anaknya yang memandu trak pikap supaya memandu dengan cermat agar tidak membahayakan nyawa orang lain.
Sementara itu, di Pulau Pinang, seorang lagi waris, Muhammad Naim Mohd. Rodhi, 26, masih bersedih kerana sehingga kini tiada seorang pun pihak yang bersalah datang untuk meminta maaf daripadanya.
“Saya reda dengan pemergian lima ahli keluarga, namun berasa terkilan kerana sehingga kini pihak yang melanggar masih belum datang.
“Bagaimana saya mahu memaafkan jika mereka tidak datang?” soalnya.
Menurut Muhammad Naim, perlu ada tindakan daripada pihak berkaitan untuk membendung perkara itu.
“Saya ada baca komen di media sosial dan rata-rata bersetuju supaya lesen khas trak pikap diwujudkan.
“Saya pernah menaiki trak pikap dan kelajuannya memang berbeza berbanding kereta biasa, namun ia terletak kepada pemanduan sebenarnya,” katanya.
Muhammad Naim kehilangan ibu bapanya, Mohd. Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; kakak, Siti Aishah, 32; abang ipar, Ahmad Khomaini Abu, 32, serta anak saudaranya, Zara Hana Ahmad Khomaini, 6, akibat dirempuh trak pikap.
Tragedi pada pukul 3.45 petang berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli 23 Julai lalu itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan ke Sungai Petani, Kedah.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, cadangan mewujudkan lesen khas untuk pemandu trak pikap merumitkan dan meningkatkan kos.
Katanya, kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan lesen khas untuk pemandu kenderaan itu seperti yang disaran pakar industri.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim pula memberitahu, pemandu trak pikap disaran mendapatkan latihan pemanduan tambahan di institut latihan memandu bagi meningkatkan kemahiran pengendalian kenderaan mengikut keperluan masing-masing.














