Bolehkah kita mendedahkan dosa peribadi seseorang kepada umum?
Jawapan:
Dalam Islam, perbuatan membuka keaiban peribadi sebagai senjata politik atau senjata ‘membunuh’ pesaing adalah perbuatan dilarang Allah dan rasulNya.
Ia haram dan satu dosa besar. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja menyangka itu adalah suruhan syarak.
Tuduhan atau pendedahan dosa-dosa peribadi seperti isu seks, arak, kaki judi dan seumpamanya menjadi mainan orang-orang jahat dan fasik. Mereka kononnya mendakwa, hendak mencegah kemungkaran, padahal merekalah yang melakukan kemungkaran. Mereka melanggar apa yang Nabi s.a.w sebut:
“Wahai sekelian yang Islam pada lidahnya, tetapi iman tidak memasuki jantung hatinya! Jangan kamu sakiti kaum Muslimin, jangan kamu memalukan mereka, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mencari-cari keaiban saudara Muslimnya, Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah mendapatkan keaibannya, Allah akan mendedahkannya walaupun keaiban itu berlaku di tengah rumahnya sendiri,” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dll. Sahih).
Demikian amaran Nabi s.a.w terhadap golongan ini. Nabi s.a.w juga bersabda: “Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Islam melarang kita mendedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.
Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses pendakwaan. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.
Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain.
Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat saksi, 80 sebatan. Kadar hukuman hampir sama bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat saksi, sekalipun mungkin benar adalah berat di sisi agama.
Firman Allah (maksudnya): “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).
Hampir mustahil empat orang baik menyaksikan perbuatan zina, sedangkan penzina terus berzina di hadapan mereka. Nabi s.a.w sendiri mengelakkan aib peribadi itu didedahkan, bahkan disuruh pelakunya bertaubat. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku berasmara dengan seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutup keaibanmu, mengapa tidak engkau tutup (aib) dirimu.” Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya):
“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat,” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya.”






