MELUNCURKAN karya seni bersama individu yang selesa dibawa bekerjasama dan kebetulan, ‘berjabat tangan’ sebagai sahabat mampu memberi impak positif terhadap kualiti kreativiti.
Buat Yana atau nama sebenarnya, Shalma Eliana Bruhanutheen muncul dengan single baharu berjudul Hati, buah tangan kali ini agak istimewa. Dia memilih melestarikan Hati bersama rakan baiknya, Yonnyboii.
“Yonnyboii sentiasa menjadi sahabat saya dan kami ada keserasian dalam bekerjasama. Dia membimbing saya dengan pendapat peribadi dan kami sepakat bersama.
“Kami juga sentiasa bersetuju mengenai karya bagaimana yang ingin dihasilkan,” katanya.

Signifikan lagu
Berbicara tentang penghasilan nukilan bergenre R&B dan reggaeton hasil ciptaan Yonnyboii serta lirik oleh Yonnyboii dan Siqma tersebut, penyanyi berusia 22 itu berkata, Hati bercerita mengenai penghargaan seseorang dalam melalui setiap saat bersama meskipun pernah disakiti.
“Lagu Hati menghuraikan perasaan ragu, tidak tenteram dan pelbagai duka yang dilalui oleh seseorang.
“Lagu ini juga menerangkan dan meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang tidak pernah mencuba untuk menjaga hati individu lain. “Dengan harapan khalayak ramai akan memahami dan menjadi lebih peka dan sensitif menjaga hati mereka yang lain.
“Namun, menerusi lagu Hati ini, mesej utama yang ingin diketengahkan adalah berkompromi untuk seseorang yang sudah menyakiti anda, tetapi anda tahu mereka banyak memikirkan anda dalam hidup dan anda menghargai setiap saat ini.
“Walaupun disakiti, anda berkompromi untuk keamanan sendiri dan sentiasa ada untuk mereka yang memerlukan,” ungkapnya.

Pengalaman berharga
Bekerjasama dengan Yonnyboii juga satu bentuk kepercayaan Yana bahawa lelaki itu seorang komposer berbakat besar dan mampu mencernakan apa sahaja tulisan lagu dengan baik.
“Lagu ini ditulis di tempat Yonnyboii. Saya masih ingat dia mula menulis lagu ini kemudian saya memutuskan untuk menulis bahagian saya kerana saya akan dapat menghubungkannya dengan lebih lanjut.
“Penulisan lagu lancar kerana saya dan Yonnyboii duduk bersama dan melihat apa yang paling sesuai.
“Gabungan idea dalam menghasilkan lagu Hati ini memberikan satu lagi sentuhan segar agar hasilnya nanti bukan saja sedap didengar tetapi juga mampu menarik perhatian pencinta muzik tempatan dan peminat,” ujarnya.
Bukan sekadar kerjasama muzik, Yana menyifatkan kolaborasi dengan Yonnyboii merupakan satu pengalaman yang cukup berharga.
“Proses merakam lagu ini agak menarik. Saya masih ingat memasuki rumahnya dan dia terus cakap ‘Yana record’.
“Bahagian korus itu adalah sesuatu yang mengujakan. Pastinya sangat menarik dan menyeronokkan.
“Yonnyboii sentiasa sahabat baik kepada saya. Berpeluang dapat bekerja sama-sama memang satu pengalaman yang seronok dan mengujakan,” kata Yana.
Terang Yana lagi, ketika menghasilkan lagu Hati, dia berdepan dengan masalah kesihatan, namun bersyukur kerana akhirnya semuanya dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Saya rasa semuanya berjalan lancar tetapi kami menghadapi masalah sepanjang perjalanan nak menghasilkan lagu ini. Masalah itu berkaitan kesihatan dan lain-lain tetapi alhamdulillah kami berjaya menyiapkannya.
“Saya berharap lagu ini dapat memberi mesej yang baik kepada orang ramai. Saya nak orang tahu, tidak mengapa bagi anda untuk mengutamakan keperluan anda bagi ketenangan diri. Saya juga berharap orang akan menyukai lagu ini sama seperti kami,” katanya.
Berkongsi rasa yang sama seperti apa dituturkan Yana, Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin teruja kerana dapat menzahirkan sebuah karya bersama dengan penyanyi wanita tersebut.
“Saya memang sudah lama berkawan dengan Yana. Disebabkan itu, pembikinan lagu ini agak santai dan semestinya menyeronokkan.

Seronok kerja dengan Yana
“Kalau nak tahu, bahagian korus yang dinyanyikan Yana adalah ‘first take’ nyanyiannya. Itu satu kualiti yang bagus untuk seorang penyanyi sepertinya.
“Dia sampai sahaja di pintu studio rakaman, kami terus terjah (Yana) untuk rakam lirik yang kami sudah tulis,” ujar pelantun lagu Salahku itu.
Yonnyboii memaklumkan, cabaran utama yang terpaksa dihadapi adalah penukaran ‘verse’ dan beberapa perihal lain .
“Cabaran yang saya hadapi adalah penukaran ‘verse’, vokal dan ‘flow’ kerana lagu ini sebenarnya sudah siap tetapi kami susun semula menjadi satu susunan muzik yang baharu.
“Sama seperti Yana, saya berharap lagu ini dapat diterima ramai dan semoga pendengar di luar sana dapat layan lagu yang saya sifatkan sebagai ‘chill raggaeton’ ini.
“Sepertimana kami gembira dapat tulis lagu buat kalian, harapan sama juga untuk yang mendengar lagu ini,” ungkap Yonnyboii.
Lagu Hati turut mendapat sentuhan Adam Eiman, Freddie Laut dan Adam Luqman selaku penerbit, manakala Adam Eiman, Freddie Laut, Adam Luqman dan Yonnyboii sebagai ‘arranger’.
Hati boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music termasuk lirik videonya pula boleh ditonton dalam laman YouTube Universal Music Malaysia.














