DOODLE seorang lelaki tua berkaca mata yang mengenakan baju makmal putih sambil menulis nota bersama beberapa ekor haiwan dapat dilihat di laman carian Google pada 21 Jun lalu.
Tidak dinafikan, bagi sesetengah rakyat negara ini yang melihat doodle itu, mereka pastinya menyangka ia hanyalah lakaran biasa yang keluar pada enjin carian tersebut.
Ironinya, di sebalik karakter yang terpampang pada paparan skrin, doodle tersebut merupakan Bapa Zoologi negara yang disegani, mendiang Dr. Lim Boo Liat. Ia dibuat bagi menghargai setiap kejayaan yang dicapainya dalam bidang tersebut.
Merupakan legenda dan inspirasi dalam industri tersebut sehingga digelar Bapa Zoologi, Dr. Boo Liat telah menemui pelbagai spesies baharu seperti ular dedaun Genting atau Macrocalamus gentingensis di Genting Highlands, Pahang yang tidak boleh ditemui di tempat lain.
Beberapa spesies haiwan turut dinamakan bersempena namanya seperti katak Alophrynus limbooliati dan ular Oligodon booliati.
Bukan itu sahaja, karya-karya yang dihasilkan mendiang juga diiktiraf dan dipetik dalam pelbagai jurnal dan penerbitan di seluruh dunia.
Tanggal 21 Jun lalu dipilih sebagai tanda penghormatan buat Dr. Boo Liat kerana pada tarikh itu juga dalam tahun 2003 beliau menjadi orang Asia Tenggara pertama dan keempat di Asia menerima Keahlian Kehormat kepada American Society of Mammalogists (ASM), sebuah anugerah yang mula dianjurkan pada tahun 1919.

Meninggal dunia pada 11 Julai 2020, namun jasa dan sumbangan yang dicurahkan kepada negara, terutama dalam bidang zoologi amat besar dan tidak terpadam di telan zaman. Kematiannya merupakan satu kehilangan besar buat negara.
“Kehilangannya begitu dirasai. Beliau memberikan sumbangan besar dalam pemuliharaan zoologi.
“Dia berpesan kepada kami supaya tidak berputus asa dalam melakukan kajian zoologi untuk kesejahteraan negara dan pemuliharaan alam semula jadi,” kata anak angkat mendiang, Tan Poai Ean yang juga Penolong Pengarah
Kanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara kepada K2.

Menyoroti kisah hidup Dr. Boo Liat, beliau dilahirkan pada 21 Ogos 1926 di Klang, Selangor dan mula terdedah kepada haiwan dan serangga kecil sewaktu di sekolah menengah apabila sering ke taman sekolah tersebut.
Memetik portal Scientific Malaysian, Dr. Boo Liat pernah memberitahu minatnya dalam bidang zoologi bermula sejak menuntut di Sekolah Menengah Klang.
“Sekolah ini mempunyai sebidang tanah kecil yang mana tukang kebun menyemai tumbuhan berbunga dan paku pakis serta deretan sayur-sayuran.
“Lokasi itu sering menjadi kunjungan haiwan seperti burung, serangga dan kadangkala tikus serta ular.
“Saya tertarik dengan kepelbagaian fauna sehingga kerap berkunjung ke sana bagi memerhati kehidupan haiwan,” katanya.

Pun begitu pada 1941, ketika Perang Dunia Kedua, Dr. Boo Liat yang baru berusia 16 tahun terpaksa meninggalkan pengajian dan melakukan pekerjaan sampingan untuk membantu keluarga.
Siapa sangka pada tahun 1944, takdir hidup membawa dirinya ke Pulau Carey yang terletak di persisiran pantai Selangor. Di sana, beliau berkawan dengan sekumpulan Orang Asli dan belajar bagaimana untuk mengenal pasti pelbagai jenis haiwan.
“Di sana, saya bergaul dengan Orang Asli yang mana mereka mengajar saya untuk mengenal pasti tikus, musang, kucing, monyet daun, ular, katak dan kura-kura,” tambahnya.
Kemudian, pada tahun 1974, Dr. Boo Liat memohon pekerjaan sebagai Pembantu Makmal di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.
Pengetahuan zoologi yang beliau terima daripada Orang Asli itu juga membawanya ke peranan pertamanya dalam penyelidikan biologi lapangan.
Beliau mendapat seliaan mentornya, mendiang Profesor J.L. Harrison yang merupakan seorang ahli zoologi perubatan dan mendiang Profesor J.R. Audy yang merupakan pakar ekologi perubatan.
Berpengetahuan dalam beberapa haiwan vertebrata, Dr. Boo Liat diletakkan untuk menjaga bahagian pengumpulan haiwan. Di situ, beliau diajar taksonomi mamalia.
Mendiang kemudian dinaikkan pangkat kepada pembantu makmal dan terlibat dalam beberapa ekspedisi saintifik pada tahun 1952.

Melihat potensi dan kepakarannya dalam bidang itu, beberapa profesor dari universiti di Eropah membuka jalan untuknya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal atau memiliki ijazah sarjana muda. Mungkin pengalaman penyelidikan, penerbitan dan penyertaannya dalam pelbagai persidangan antarabangsa memainkan peranan utama sehingga diberikan peluang tersebut.
“Dari tahun 1955 hingga 1969, saya berjaya menerbitkan 80 kertas saintifik mengenai haiwan vertebrata dan pada tahun 1965 pula, saya telah diminta mengetuai bahagian Ekologi Perubatan yang baru diwujudkan.
“Biarpun tidak mempunyai pendidikan formal dan sarjana muda, mereka juga menaja saya untuk melanjutkan pengajian dalam Medical Research Council Fellowship selama dua tahun di Scotland,” kongsinya dalam portal itu.
Beliau pulang ke Malaysia pada 1972 dan meneruskan penyeliaan sebagai seorang ahli zoologi sebenar. Beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Zoologi di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1977 dan bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Indonesia.
Beliau mengetuai Unit Penyelidikan Kawalan Biologi Vektor (VBCRU) yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan mengenai subjek seperti wabak, kawalan malaria dan tikus, sehingga persaraannya pada 1987.
“Saya ditugaskan ke sektor antara wilayah VBCRU di Geneva, Switzerland. Saya bukan saja berkhidmat di Indonesia, tetapi juga di negara Asia Tenggara dan Pasifik Selatan yang ada masalah penyakit dan aktiviti kawalan tikus,” ujarnya dipetik.














