SELEPAS berdepan penundaan gara-gara pandemik Covid-19 dan pewartaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, penganjuran Konsert Apologia Search X Awie akhirnya mendapat tarikh baharu dengan memilih tanggal 12 Disember depan.
Selain tarikh, judul konsert berkenaan juga diubah menjadi Konsert Cinta Buatan Malaysia Search X Awie #Apologia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.
Mewakili Search, pemain bassnya Nasir Daud berkata, pertukaran nama konsert berlaku disebabkan perubahan ke lokasi lebih besar, selain maknanya amat dekat dengan situasi semasa yang melanda negara ketika ini.
“Selepas berbincang, kami dapati maksud ‘cinta buatan Malaysia’ yang diambil daripada judul album perdana Search sesuai dengan keadaan sekarang yang menuntut kita saling menjaga hubungan sesama manusia.

“Apa yang paling penting, penganjuran konsert ini kelak akan menjadi platform mengimbau kembali perjalanan karier Search yang menghampiri usia 40 tahun dalam industri pada 2021,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar konsert berkenaan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort baru-baru ini.
Terdahulu, penganjuran konsert yang pada awalnya diberi nama Konsert Apologia Search & Awie sepatutnya dijadualkan berlangsung di The Bee, Publika pada 28 Mac lalu.
Bagaimanapun, kapasiti Stadium Malawati yang sepatutnya boleh menerima kehadiran lebih kurang 8,000 orang penonton terpaksa dikurangkan demi mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada sekurang-kurangnya 2,500 orang.
Namun, jumlah itu jauh lebih besar daripada angka asal menerusi konsert yang sepatutnya berlangsung di Publika beberapa bulan lalu.
“Dengan berlakunya pertambahan jumlah penonton, mestilah kami perlu lakukan perubahan untuk jumlah lagu. Dengan durasi hampir dua jam, persembahan kami nanti akan ditambah dengan banyak lagi lagu hit Search yang lain.
“Sudah pasti lebih banyak lagu daripada album Cinta Buatan Malaysia akan dinyanyikan seperti Cinta Sepi, Kejora, Jiwa-jiwa Luka dan Isi Atau Kulit akan dinyanyikan seiring dengan konsep kami untuk mengimbau perjalanan dalam industri,” tambah Nasir.
Konsert Cinta Buatan Malaysia Search X Awie #Apologia membariskan anggota Search yang terkini iaitu Nasir, Kid (gitar), Din (gitar) dan Pae (dram) yang menampilkan vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie sebagai penyanyi.
Tiket konsert anjuran Imaginex & HS Shazlicious Trading itu dijual pada harga RM399, RM299, RM199, RM99 dan RM1,000 (VVIP).

Ruang kosong
Barangkali isu pengunduran diri vokalis kumpulan Search, Amy pada Mac lalu masih segar dalam ingatan peminat setia mereka kerana ketiadaannya menyebabkan ruang kosong yang ditinggalkan masih belum terisi sehingga kini.
Kolaborasi mereka bersama Awie mungkin boleh mengisi rongga yang terbuka, namun ironinya tiada sesiapa mampu menggantikan tempat asal penyanyi berusia 62 tahun itu.
Ujar Awie, kehadirannya yang beradu tenaga bersama Search menerusi penganjuran konsert Cinta Buatan Malaysia Search X Awie #Apologia kelak hanyalah berpaksikan kepada erti sebuah persahabatan.
Sekali gus, tidak timbul istilah ganti mengganti kerana dirinya masih menjadi milik Wings.
“Saya tidak pernah menganggap kehadiran bersama Search menerusi konsert ini sebagai menggantikan terus posisi yang ditinggalkan Amy.
“Sebab ini cuma projek sahaja. Kalau projek, sesiapa sahaja boleh buat. Mungkin selepas ini akan ada projek Search dengan orang lain pula,” jelasnya dengan harapan tiada kekeliruan akan timbul selepas ini.
Menyentuh soal hubungannya bersama Amy, penyanyi berusia 52 tahun itu menjelaskan, persahabatan antara mereka masih sama seperti dahulu.
“Jangan kerana disebabkan projek yang satu ini, kita putus kawan. Banyak lagi projek lain yang boleh dibuat selepas ini.
“Saya cuma muncul pada saat-saat genting yang dihadapi Search ketika Amy meninggalkan mereka. Selepas bertahun tiada tawaran, mestilah mereka mahu cari makan. Jadi saya cuma menghulurkan bantuan sebagai seorang rakan,” kata Awie penuh berhemah.

Tiada noktah
Sementara itu, ketika ditanya tentang situasi antara baki anggota Search dengan Amy sendiri yang barangkali menimbulkan tanda tanya dan resah dalam kalangan peminat, Nasir pantas menutup isu itu dengan jawapan matang sebagai orang lama dalam industri.
“Mungkin dia belum bersedia untuk bercakap soal ini. Kami pun tidak mahu cipta permusuhan. Ini kerjaya, jadi kerja tetap perlu berjalan,” katanya ringkas.
Bagi Search sendiri, perjuangan akan tetap diteruskan meskipun berlakunya isu pengunduran diri Amy kerana merekalah yang menjadi sendi kepada kumpulan itu sejak awal penubuhan.
“Search adalah satu entiti yang merangkumi semua anggota dan tidak mewakili mana-mana individu perseorangan semata. Jadi, apabila seorang ahli keluar, kami tetap meneruskan apa yang ditinggalkan. Tiada istilah Search akan lenyap dari radar.
“Selagi ada daya dan upaya, kami akan terus berjalan tanpa noktah. Memanglah kecewa ketika Amy pergi meninggalkan kami kerana dia adalah penyanyi kesayangan. Tapi itu tidak bermakna langkah kami akan mati,” katanya penuh yakin menutup perbualan.














