POPULARITI Honda HR-V tidak boleh disangkal lagi sejak dilancarkan pada tahun 2015.
Kehadiran HR-V dengan wajah baharu baru-baru ini menghasilkan impak konsisten apabila menerima jumlah tempahan awal yang besar dengan jangkaan tempoh menuggu dikatakan sehingga hujung tahun ini untuk model dambaan itu tiba ‘ke pangkuan’ pelanggan.
Dari segi rekaan, bahagian luaran HR-V telah menerima pembaharuan menyeluruh untuk tampil lebih bergaya dan premium berbanding model yang terdahulu.
——————————————————————————————————————————————————————————————-
PADA tahun 2015, Honda Malaysia telah berjaya memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) model HR-V dan secara langsung menjadi peneraju bagi segmennya ketika dilancarkan. HR-V atau Hip & Smart Runabout Vehicle juga menjadi model paling laris sejak itu.
Baru-baru ini bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Honda Malaysia telah melancarkan model HR-V baharu.
Model baharu itu yang dibangunkan dengan konsep Amp Up Your Life telah diperbaharui dan kini hadir dengan penggayaan luar biasa, sistem janaan kuasa canggih serta ciri inovatif tetapi dalam masa sama masih mengekalkan ciri praktikal untuk kegunaan harian.
Penulis difahamkan, HR-V baharu ini direka untuk sentiasa berada selangkah di hadapan. Populariti model itu tidak dapat disangkal dan ia masih dikekalkan untuk model terbaharu ini.
Malah, sejak tempahan model terbaharu itu dibuka, ia telah menerima sambutan positif daripada orang ramai.
Honda Malaysia memaklumkan bahawa HR-V baharu telah menerima lebih daripada 20,000 tempahan setakat ini.
Dengan maklum balas menggalakkan dan permintaan tinggi itu, tempoh menunggu bagi HR-V kini ialah 12 bulan bergantung kepada varian.

KENDERAAN ini dilengkapi sistem janaan kuasa yang canggih.
Namun, kami difahamkan Honda Malaysia sedang mengambil langkah terbaik untuk menyerahkan kereta baharu pelanggan secepat mungkin.
Dari segi rekaan, bahagian luaran HR-V telah menerima pembaharuan menyeluruh untuk tampil lebih bergaya dan premium berbanding model yang terdahulu.
Wajah bahagian depan didominasi rekaan jeriji sporty baharu, manakala pada bahagian belakangnya dihiasi oleh lampu jalur LED.

Empat varian seperti RS, V, E dan S ditawarkan dengan tiga pilihan sistem enjin kepada pelanggan mengikut kepada gaya hidup dan keperluan penggunaan masing-masing.
Antara tarikan menarik lain pada HR-V ini adalah seperti lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED (untuk varian RS, V dan E).
Bagi melengkapkan lagi imej sporty untuk varian RS dan V, rim bersaiz 18 inci dan lampu isyarat sequential depan digunakan.
Varian RS menggunakan enjin e:HEV yang sebelum ini digunakan pada model City dan City Hatchback. Teknologi e:HEV telah menerima
sambutan menggalakkan daripada pasaran.
Enjin ini ditawarkan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mementingkan kecekapan sistem janaan hibrid dalam sebuah SUV kompak.
Sistem ini menggunakan enjin 1.5L e:HEV dengan dua motor menawarkan kuasa maksimum 131PS dan tork tertinggi 253Nm.
Bagi mereka yang inginkan pengalaman pemanduan berprestasi boleh memilih enjin 1.5L VTEC Turbo yang ditawarkan pada varian V dan E.
Enjin dengan sistem pengecas turbo itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 181PS dan tork tertinggi 240Nm.

Sementara itu, varian S pula menggunakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menjana kuasa maksimum 121PS dengan tork tertinggi 145Nm.
Sebagai nilai tambah dari aspek keselamatan pengguna, Honda menawarkan ciri-ciri Honda SENSING sebagai standard untuk semua varian HR-V.
Sistem bantuan pemandu Honda SENSING termasuk Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (Collision Mitigation Braking System), Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System), Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation), Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning), Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam), Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control), Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow) dan Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (Lead Car Departure Notification).
Model ini ditawarkan dalam lima warna iaitu merah (Ignite Red Metallic), kelabu (Meteoroid Gray Metallic), putih mutiara (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic) dan hitam (Ruse Black Metallic).














