fbpx
LIZZO

Lizzo bangga bertubuh gempal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMILIK nama lengkap, Melissa Viviane Jefferson itu seringkali ditebak pertanyaan tentang saiz badannya yang gempal, tidakkah pernah dia terfikir untuk bersenam atau berdiet?

Jawapannya dalam kebanyakan wawancara media juga serupa, begini bunyi: “Tidak pernah, yang penting saya sihat.”

Barangkali, saiz fizikal jugalah yang membezakan penyanyi yang terkenal dengan nama pentas Lizzo itu berbeza berbanding kebanyakan bintang Hollywood lain.

Satu perkara yang menjadikan Lizzo berstatus ‘juara’ juga, keyakinannya mendepani segala situasi tanpa sekelumit curiga.

Kata Lizzo, 34, dia kadang-kadang penat membalas pertanyaan tentang saiz tubuh.

Penyanyi yang kini popular dengan single terbaharu berjudul About Damn Time itu berkata, kecantikan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Bukan hanya wanita bertubuh ramping layak dipuji sebagai cantik atau jelita.

LIZZO percaya, kecantikan tidak mengenal bentuk badan manusia. Kecil atau besar, setiap wanita berhak berasa jelita.

‘Saya cantik’

“Saya tahu saya gemuk dan itu tidak pernah memberi masalah atau mengganggu saya. Saya tak kisah orang panggil saya gemuk kerana saya percaya bahawa saya cantik dan sihat.

“Jadi, boleh tak kita semua ‘move on’ daripada terus bertanya tentang perkara ini,” katanya seperti dipetik dalam satu temu bual bersama majalah People.

Berdepan stereotaip khalayak terutama sejak mula bergelumang dalam dunia muzik, Lizzo sebenarnya terlazim dengan isu tersebut. Kata orang, alah bisa, tegal biasa.

“Orang sewenang-wenangnya melabel saya sebagai lucu dan senang berkawan dengan sesiapa pun. Di bangku persekolahan, saya adalah individu dengan sifat atau kualiti itu.

“Ataupun, seorang wanita yang akan mempertahankan rakan baiknya hanya kerana dia bersaiz besar. Kalau kawan saya kena buli, saya akan ‘turun padang’ dan pertahankannya.

“Ada juga tanggapan hanya kerana saya gemuk, saya tiada keyakinan diri untuk menyerlah. Bagi saya, mudah sahaja. Saya bukan satu-satunya wanita gemuk di luar sana.

“Ramai lagi seperti saya dan saya mahu kita semua dibebaskan daripada kotak ‘klise’ yang kita dipaksa duduk atau tinggal di dalam kotak tersebut,” ulasnya.

LIZZO hadir bersama album studio terbaharu berjudul Special yang turut memuatkan lagu paling popular global ketika ini, About Damn Time.

Kim Kardashian

Pemenang tiga trofi Grammy Awards itu bertegas, tiada sesiapa pun yang boleh melemahkan motivasinya untuk terus melakukan terbaik dalam kehidupan atau membuatkannya berasa serba kekurangan sebagai seorang wanita.

“Saya akan terus tetap berasa bangga dengan tubuh saya setiap hari. Saya seorang ikon ‘body’.

“Saya mungkin bukanlah seperti Kim Kardashian yang seringkali menjadi pujian dan dambaan kebanyakan orang khususnya, wanita. Namun pada masa sama, tak semua orang mahukan badan seperti Kim.

“Seperti Kim yang sudah meletakkan piawaian tersendiri, saya juga mahu menjadi contoh dengan menyuntik keyakinan dan pengaruh terhadap wanita lain,” ungkapnya.

Muncul dengan diskografi terbaharu berjudul Special yang turut memuatkan lagu nombor satu dunia ketika ini, About Damn Time, Lizzo berkata, tiga tahun menyepi daripada sebarang peluncuran album, kali ini, dia berasa sangat teruja berkongsi buah tangan terbaharu buat peminat.

MEMULAKAN kerjaya dalam dunia muzik sejak 2010, Lizzo sudah mempunyai empat buah album studio termasuklah, Lizzobangers (2013), Big Grrrl Small World (2015), Cuz I Love You (2019) dan terbaharu, Special (2022).

200 lagu

Untuk album studio yang diluncurkan pada 15 Julai lalu, Lizzo menulis hampir 200 lagu sebelum hadir dengan 12 trek terbaik.

“Tiga tahun saya ambil masa untuk muncul dengan album kali ini (Special). Saya tulis beratus lagu. Barangkali dalam 175 hingga 200 lagu sebelum betul-betul yakin dengan pilihan terakhir.

“Ambil masa tiga tahun sebab saya rasa banyak benda yang perlu ‘direhatkan’ sementara waktu.

“Banyak perkara yang berlaku kepada saya dan pada masa sama, di peringkat global.

“Cara saya sembuh daripada kebanyakan perkara adalah melalui penulisan muzik dan itulah yang berlaku sepanjang tempoh rehat saya,” dedahnya dalam satu wawancara menerusi YouTube,

Ujar Lizzo, ketika dunia berdepan pelbagai kebobrokan tidak terjangkau seperti peperangan yang tidak pernah pergi menjauh dan pandemik Covid-19, dia menjalankan tugasnya sebagai seorang pemuzik.

“Dunia perlukan lebih banyak kasih sayang dan disebabkan itu, saya tulis album kali ini sebagai tanda cinta kepada para peminat.

“Satu perkara yang saya ingin akui tentang perkongsian album kali ini, saya berasa sangat bangga dengan struktur kerja yang terhasil. Saya tak mahu bikin sebuah album yang hadir daripada lambakan single yang telah dikongsikan terlebih dahulu.

“Album adalah album dan itu patut dikekalkan begitu. Kalau boleh saya mahu lagu-lagu yang pernah saya hasilkan menjadi malar segar ataupun klasik di hati peminat,” ungkapnya.

MERUPAKAN graduan University of Houston, Lizzo bukan hanya hebat dalam menyanyi, dia juga pemain seruling yang luar biasa.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN