DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berhasrat untuk menampilkan Laluan Mat Kilau yang sebahagiannya terletak di antara Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun di sini sebagai produk pelancongan berasaskan sejarah dan alam semula jadi.
Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, laluan tersebut masih terdapat beberapa tinggalan sejarah jejak perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau sewaktu menentang penjajahan Inggeris pada lewat abad ke-19.
Beliau berkata, laluan berkenaan sehingga Tembeling, Jerantut, Pahang sepanjang lebih 120 kilometer mencabar dan amat sesuai untuk aktiviti rentas hutan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Sebagai permulaan, Ketengah telah menganjurkan Ekspedisi Laluan Emas Mat Kilau melibatkan 60 peserta dari seluruh negara baru-baru ini.
“Sepanjang perjalanan tiga hari dua malam itu, mereka mengimbau nostalgia perjuangan Mat Kilau apabila melihat tinggalan sejarah yang masih wujud seperti Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau di sini,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, Laluan Mat Kilau juga menawarkan pengalaman meneroka keindahan flora fauna di kawasan berbukit dan sungai yang sangat mempersonakan.
Beliau berkata, mengikut sejarah, Mat Kilau sering berkunjung ke Kampung Pasir Raja di sini untuk menyebar semangat perjuangannya dan mengajar ilmu persilatan kepada penduduk tempatan.
“Kampung Pasir Raja yang terletak di Hulu Dungun sering menjadi destinasi Mat Kilau mengadakan pertemuan dengan rakan seperjuangan dan ulama.
“Saya juga difahamkan sebahagian penduduk Kampung Pasir Raja mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Mat Kilau,” katanya.
Beliau berkata, Ketengah juga akan menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu dan Pahang bagi membangunkan kemudahan seperti kawasan rehat dan rawat dan pemasangan papan penerangan di sepanjang Laluan Mat Kilau.
Beliau berkata, ia merupakan komitmen Ketengah bagi memperkasakan produk pelancongan Hulu Dungun yang merupakan sebahagian daripada wilayah Terengganu Tengah.
“Ia sejajar dengan hasrat Ketengah memajukan dan memakmurkan wilayah Terengganu Tengah dan menjana pendapatan kepada komuniti setempat,” katanya.
Pahlawan Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut.














