fbpx
KAWASAN perumahan jenis flat dan pangsapuri sering berdepan masalah kekurangan tempat meletak kenderaan. – GAMBAR HIASAN

Cop parking rumah flat undang rasa tak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu kekurangan parkir di kawasan perumahan jenis flat atau pangsapuri semakin me­runcing apabila ada segelintir penghuni mengambil kesempatan membolot lebih daripada satu petak parkir untuk meletakkan kenderaan milik mereka.

Situasi itu menyebabkan peng­huni lain terpaksa meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan sehingga menjejaskan keadaan lalu lintas di kawasan berkenaan terutama pada waktu puncak.

Berdasarkan tinjauan ­Kosmo!, rata-rata penduduk yang men­dia­mi kawasan flat dan pangsapuri di sekitar ibu negara meluahk­an kekecewaan dengan budaya ‘cop parking’ yang dilakukan sesetengah penghuni termasuk penduduk luar.

Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsa­puri Taman Cheras Utama Fasa 3, Faizul Zahry berkata, masalah parkir di kawasan flat lima tingkat itu telah wujud sejak lima tahun lalu.

“Sebelum ini, tiada isu berlaku mengenai parkir, tetapi sejak lima tahun lalu, terdapat segelintir penghuni luar yang mula meletakkan kenderaan di sini.

“Daripada pemerhatian pihak KRT sejak beberapa bulan lalu, dianggarkan lebih 10 kende­raan bukan milik penghuni dile­takkan di kawasan kami setiap hari. Ditambah pula dengan kereta terbengkalai, parkir memang tidak cukup dan keadaan ini membuatkan urusan harian kami terganggu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk apabila beberapa penduduk mula menanda petak parkir menggunakan kerusi, motosikal termasuk kon bagi mengelak tempat letak kende­raan itu digunakan individu lain.

“Perkara ini kerap berlaku apabila ada penghuni mengamalkan budaya ‘cop parking’.

“Bila petak parkir kurang, ba­nyak isu akan timbul dan sebab itu kami berharap pihak berkaitan menyediakan parkir tambahan.

“Kami harap mereka boleh datang dan lihat keadaan di sini dan maklumkan kepada penduduk apa penyelesaian yang perlu dibuat,” ujarnya.

Seorang penduduk, Nurashidah Mat Sum, 41 berkata, dia terpaksa meletakkan kenderaannya jauh dari kediaman gara-gara kekurangan petak parkir di kawasan perumahan.

“Masalah ini bukan masalah mana-mana pihak pengurusan, namun ia melibatkan komuniti kawasan terbabit. Ada segelintir pihak jenis tidak boleh ditegur.

“Selain itu, isunya juga adalah tiada siapa yang mahu buat laporan atas alasan ingin menjaga hati jiran dan kawan-kawan,” katanya.

Bagi Fitri Muhammad Nor, 35 pula, selain isu berebut parkir, dia juga terpaksa berhadapan dengan situasi parkir bekembar (double parking).

“Masalah ‘cop parking’ ini agak kurang, namun masalah utama adalah double parking yang menjadi kebiasaan penduduk.

“Kebanyakan penduduk sudah faham dengan situasi ini. Isunya apabila ada pemilik kenderaan terlupa melepaskan brek tangan dan ia akan mencetuskan masalah besar,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN