fbpx
DUA pelakon hebat, Beto Kusyairy dan Que Haidar.

Que Haidar, Beto Kusyairy beradu emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KHALAYAK memandang dua anak wayang, insan handalan di gelanggang lakonan, Que Haidar dan Beto Kusyairy sebagai aktor yang berdiri dalam kelas tersendiri.

Reputasi yang dibina selama dua dekad menjadikan mereka antara pelakon terbaik Malaysia. Berilah apa sahaja watak, pasti meninggalkan kesan di hati penonton.

Namun, saat digandingkan dalam sebuah naskhah khas untuk terbitan Aidiladha iaitu Lebai Sampan, baik Que mahupun Beto mengakui sukar untuk membendung rasa gementar.

Kongsi Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, meskipun pernah bekerjasama dalam filem Syaitan dan Gila Baby sebelum ini, namun hanya menerusi Lebai Sampan, itulah kali pertama mereka benar-benar beradu emosi.

SALING memuja, dua aktor ini bukan sahaja pelakon bahkan memberi kehidupan dan makna manusiawi ke dalam setiap watak yang mereka jayakan dalam sebarang naskhah.

“Dalam Syaitan, saya tiada babak dengan Beto, Gila Baby pula saya hanyalah pelakon cameo. Jadi, Lebai Sampan merupakan karya pertama yang benar-benar menyatukan kami berdua.

“Pada hari pertama berkongsi babak, saya sangat berdebar. Saya sedang bersarapan nasi lemak, hanya sempat tiga kali suap, saya sudah tidak berselera kerana gementar.

“Malah, ketika Beto menghampiri meja, saya meminta dia jauh dari saya kerana kehadirannya membuatkan saya tidak keruan. Ketika bersalaman, dia sempat menegur mengapa tangan saya begitu sejuk,” kongsi Que sambil ketawa.

Amat kagum dengan bakat lakonan Beto, aktor yang diperkenalkan ke sinema Malaysia menerusi KL Menjerit 1 itu menyifatkan Beto sebagai antara pelakon gandingan terbaiknya setakat ini.

“Beto seorang pelakon yang faham dan sentiasa bersedia apabila tiba di set penggambaran. Dia juga seorang pelakon yang sangat bijak, jadi memang mudah apabila bekerja dengannya,” tutur Que.

KALI pertama benar-benar berentap soal pemikiran dan emosi dalam sebuah naskhah, Que Haidar menyifatkan kerjasama dengan Beto menerusi telefilem istimewa Lebai Sampan akan berbekas di hati semua.

Tanggungjawab

Dalam naskhah drama televisyen mahupun filem, sejak kebelakangan ini cukup sukar untuk melihat wajah Que.

Kali terakhir Qur muncul di kaca televisyen adalah menerusi telefilem Pencipta Pegang Waktu pada 2020.

Bahkan tawaran untuk Lebai Sampan yang diangkat daripada kisah benar juga hampir ingin ditolaknya kerana meragui tanggungjawab berat yang terpikul di bahunya untuk menjayakan watak Hatta.

“Setiap pelakon ada peraturan dan impian mereka sendiri. Saya seorang pelakon yang suka bawa watak yang dekat dengan manusia. Ini cita rasa dan pilihan masing-masing.

“Bagi saya, daripada berlakon 10 buah drama setahun tetapi orang tidak ingat satu pun watak kita, tiada gunanya. Saya sanggup menunggu sehingga tiga atau dua tahun untuk berjumpa naskhah yang sesuai.

“Sekarang adalah tahap saya buat apa yang menggembirakan. Zaman ‘sapu semua kerja’ sudah berlalu. Perkara yang membahagiakan adalah apabila orang ingat kerja saya,” ujar Que.

 

Amat kagum dengan bakat lakonan Beto, aktor yang diperkenalkan ke sinema Malaysia menerusi KL Menjerit 1 itu menyifatkan Beto sebagai antara pelakon gandingan terbaiknya setakat ini.

Pada usia 43 tahun juga, Que bahagia dengan cara sendiri. Populariti, kerja tanpa henti untuk mengumpul wang bukan lagi keutamaannya.

Justeru, jika tidak berlakon , bapa kepada dua orang anak perempuan, Tengku Ratu Haidar, 13, dan Tengku Cleopatra Haidar, 10, akan sibuk menguruskan keluarga, selain perniagaan bersama isterinya, Linda Jasmine.

“Saya mengadakan bengkel lakonan, sibuk dengan perniagaan pengurusan acara bersama isteri selain perniagaan rekaan dalaman untuk kediaman,” kata Que yang terbuka andai anak-anaknya terlibat dalam bidang seni.

Berkongsi pandangan yang sama, Beto yang cukup sinonim dengan naskhah yang berat menjelaskan, isu kerap atau jarang muncul berbalik kepada rezeki dan pilihan.

Kata Beto, sudah tiba masanya untuk pelakon sepertinya memilih karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi meninggalkan impak kepada masyarakat.

“Apabila berlakon, saya mahu beri sesuatu impak kepada penonton. Sebagai pemain watak, tanggungjawab saya bukan sekadar pelakon semata-mata, tetapi lebih besar iaitu memberi pilihan penonton untuk berfikir.

“Mungkin ada sesuatu isu yang tidak disedari atau diketahui, namun selepas menonton naskhah lakonan kita, memberi kesedaran kepada mereka,” tutur Beto.

AKTOR yang paling ‘juara’ menerusi Mat Kilau itu mengakui sangat berbesar hati apabila mendapat tahu, Que Haidar sebagai regu lakonannya kali ini.

Beto perlu adil

Berbicara tentang kerjasama dengan Que dalam naskhah Lebai Sampan, aktor yang paling ‘juara’ menerusi Mat Kilau itu mengakui sangat berbesar hati apabila mendapat tahu, Que Haidar sebagai regu lakonannya kali ini.

“Kita semua tahu bagaimana kualiti persembahan Que, dia bukan sekadar seorang pelakon tetapi pemain watak yang cukup hebat.

“Semestinya saya teruja apabila diberitahu akan berkongsi babak dengannya. Kami berbincang sebelum penggambaran dan tanpa dia sedar, saya mengambil ilmu daripadanya.

“Walaupun watak kecil sahaja, saya bersyukur dipertemukan dengannya dalam Lebai Sampan. Saya memang sangat berharap, akan ada lagi kolaborasi saya bersama Que,” luah Beto.

DUA lelaki yang bersahabat sejak kecil ini mempunyai dua perjuangan dan pemandangan berbeza disebabkan pendedahan sekeliling dan tahap akademik masing-masing.

Di mata Beto, Lebai Sampan yang mengangkat isu keluarga dan pengorbanan, cukup dekat dengan masyarakat hari ini.

“Cerita ini diangkat daripada kisah benar, jadi tanggungjawab saya dan barisan pelakon lain lebih besar kerana perlu adil untuk semua watak dan watak itu wujud secara realiti.

“Saya berharap penonton akan mendapat input apa yang ingin cuba disampaikan dalam Lebai Sampan,” ujar Beto.

Lebai Sampan yang akan menemui khalayak pukul 9 malam esok menerusi Astro Citra turut dibintangi Ruminah Sidek dan Puteri Balqis.

WATAK lelaki separuh usia yang masih meneruskan khidmat perahu penambang yang kini ditelan arus pemodenan lakonan Jalil Hamid ini diketengahkan secara penuh manusiawi menerusi telefilem Lebai Sampan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN