fbpx
Generasi muda terpegun melihat senjata dan kostum tradisional yang dipamerkan pada karnival Pembangunan Komuniti, Budaya & Warisan di Putrajaya baru-baru ini.

Budayakan pemakaian busana Melayu klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FENOMENA filem Mat Kilau yang ditayangkan sejak bulan lalu amat dirasai apabila banyak komen positif diterima daripada para penonton dan warganet yang terdiri daripada pelbagai golongan.

Filem yang menonjolkan seni persilatan tersebut bukan hanya berjaya mendapat maklum balas hebat daripada penonton, malah turut mengukir sejarah apabila berjaya mengutip jutaan ringgit dalam masa beberapa hari tayangan.

Selain kehebatan filem arahan Syamsul Yusof itu sendiri, warisan budaya Melayu seperti ilmu persilatan, busana Melayu klasik dan bahasa Melayu yang penuh maksud tersirat daripada yang tersurat turut ditampilkan.

Sesungguhnya, ia menjadi tugas orang Melayu untuk mempertahankannya selagi ada bulan dan matahari.

Sehubungan itu, budaya warisan Melayu seperti pemakaian busana, misalnya baju cekak musang, teluk belanga bersama tanjak perlu dipopularkan bagi memastikan kesinambungannya bukan sekadar menjadi pakaian pelakon filem purbawara semata-mata.

Bagi golongan lelaki, busana Melayu klasik secara umumnya terdiri daripada pemakaian baju Melayu dengan potongan leher cekak musang atau teluk belanga yang dipakai bersama seluar panjang. Penampilan dilengkapkan lagi dengan lilitan samping serta pemakaian tanjak dan adakalanya baju sikap (berupa seperti jaket).

PEMAKAIAN busana Melayu lengkap seperti baju Melayu, samping dan tanjak perlu dipromosi dengan giat bagi menarik minat orang muda mencintai budaya sendiri.

Menurut seorang usahawan busana Melayu, Abdul Rahman Tan, 60, karnival mahupun ekspo yang memasarkan busana Melayu wajar diperbanyakkan bagi memastikan pemakaian busana itu terus dipopularkan.

“Karnival jualan busana Melayu juga perlu selalu diadakan bagi memastikan warisan busana bangsa dapat didedahkan kepada generasi muda.

“Saya sebagai penjual busana Melayu ingin melihat pemakaian baju Melayu dan tanjak menjadi pakaian yang dipakai setiap masa tidak hanya semasa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja,” katanya kepada K2 ketika ditemui pada Rumah Terbuka dan Karnival Pembangunan Komuniti, Budaya & Warisan di Putrajaya baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, jika bukan orang Melayu berasa bangga dengan baju tradisi sendiri, siapa lagi yang akan memakainya.

PANGERAN NURDIAN SYAH

Katanya lagi, busana Melayu dijual pada harga yang agak tinggi disebabkan material busana tersebut sendiri yang mahal.

“Untuk menghasilkan busana Melayu memerlukan masa yang lama bagi memastikan kualitinya terpelihara.

“Kita tidak mahu busana Melayu tradisi ditenggelami busana-busana rekaan moden yang dijual dengan meluas semasa musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan jersi dan baju-T bercorak dunia persilatan, Pangeran Nurdian Syah Zainal Abidin, 28, berkata, pemakaian busana seperti tanjak pada hari ini dalam kalangan generasi muda amat menggalakkan.

Pun begitu, beliau yang dikenali sebagai Panglima Aduka berkata, ada generasi muda yang menganggap tanjak seperti topi disebabkan tidak dididik dengan busana itu sebagai sebahagian budaya Melayu.

“Justeru, saya melihat aksesori busana Melayu klasik seperti tanjak, baju Melayu dan baju bercorak pendekar serta senjata tradisional perlu dipromosikan lebih giat lagi.

“Bagaimanapun, hari ini saya turut menjual baju jersi bercorak persilatan sebagai busana moden untuk menarik minat orang muda mencintai budaya sendiri.

“Kata orang, tidak kenal maka tidak cinta. Mana tahu, daripada baju jersi bercorak persilatan ini akan memupuk mereka untuk mengetahui mengenai busana Melayu klasik dan memakainya,” kata Nurdian.

MOHD. ARIS melayan seorang peminat senjata lama yang berkunjung ke gerainya baru-baru ini.

Sementara itu, seorang usahawan senjata tradisional, Mohd. Aris Zahari, 36, berkata, beliau mahu menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak tentang keris, sundang dan lain-lain senjata lama orang Melayu.

Katanya yang mempunyai kedai di Bandar Baru Bangi, Selangor, walaupun senjata seperti keris sering dilihat di dalam filem lama seperti Hang Tuah lakonan Tan Sri P. Ramlee dan Hang Jebat lakonan Nordin Ahmad, namun generasi muda tidak mengetahui kaedah pembuatan dan jenis logam yang digunakan.

“Sebagai contoh, dalam sebilah keris terdapat pelbagai jenis logam dan besi yang diadun menjadi sebilah keris bernilai tinggi dari aspek tempaan, seni membuat ulu, sarung dan bentuknya.

“Ramai anak muda teruja mendengar cerita sejarah budaya datuk dan nenek moyang mereka yang mahir sebagai pandai besi,” katanya.

Ujarnya, satu masa dahulu, para pembesar Melayu dan pendekar memakai keris sebagai sebahagian daripada busana mereka.

Katanya, semakin tinggi pangkat seseorang pembesar semakin tinggi nilai keris yang dipakainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN