fbpx
Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof.

Finas bertemu penerbit bincang isu agihan untung esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan mengadakan pertemuan dengan pempamer dan penerbit filem esok bagi membincangkan semula berhubung isu agihan keuntungan jualan tiket antara kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, pertemuan itu sudah lama dirancang dan hasil daripada perbincangan, keputusan serta garis panduan yang lebih jelas akan dicapai antara pihak terlibat.

Selain itu, menurutnya, dalam usaha meringankan beban kewangan penggiat filem, pihaknya terus komited membantu tanpa mengetepikan mana-mana penerbit menerusi insentif galakan berbentuk kewangan dari semasa ke semasa.

“Ia dikenali sebagai Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sejak Julai 2011 bagi meringan beban golongan penerbit menggantikan Pemberian Galakan Pungutan Duti Hiburan yang diamalkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Md. Nasir

Ujarnya, menerusi ITFC, setiap filem yang melebihi kutipan tiket RM6 juta akan menerima pulangan maksimum RM500,000 daripada kerajaan.

Katanya, sejak Julai 2011 lagi, kerajaan sudah memperkenalkan ITCF yang banyak membantu pengkarya tempatan dari segi bantuan modal kewangan.

“Baru-baru ini juga, ITCF 2.0 turut diperkenalkan dan ia kesinambungan ITCF terdahulu.

“Ketika ramai penerbit dan penggiat industri filem mengeluh mengenai cukai hiburan sebanyak 25 peratus yang dikenakan kerajaan ke atas kutipan jualan panggung, ITCF diperkenalkan bagi menggantikan pulangan cukai hiburan yang tidak lagi dikembalikan oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Finas,” jelasnya.

Dalam pada itu, menerusi ke­nyataan rasmi semalam, Finas merakamkan penghargaan dan syabas atas kejayaan filem terbitan Studio Kembara Sdn. Bhd. yang berjaya meraih kutipan RM43.9 juta jualan tiket dalam tempoh 12 hari tayangan.

Justeru, filem Mat Kilau berpeluang menerima pulangan sebanyak RM500,000 kerana kutipan tiket melebihi RM5 juta.

Md. Nasir berkata, prestasi memberangsangkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan memberi sinar baharu kepada industri perfileman negara.

“Dengan kejayaan yang diraih itu, Finas memberikan geran Dana Produksi sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran seba­nyak RM300,000,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, penerbit filem terpaksa menelan realiti meraih untung tidak seberapa biarpun karya meraih kutipan ‘pecah panggung’.

Ini berikutan cukai hiburan dan caj pawagam yang dikenakan kepada pembikin filem termasuklah filem Mat Kilau yang me­raih kutipan tinggi.

Antara pemain filem tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki, Nam Ron dan Mawi meluahkan rasa tidak puas hati dengan cukai hiburan itu yang dianggap sebagai bebanan kepada pembikin filem dan penerbit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN