fbpx
WAN MASINDRA (kanan) ketika melakukan aktiviti ziarah terhadap seorang penduduk Orang Asli di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak

Daie Belantara sanggup tinggal di hutan demi penuhi tugas agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS mendapat maklumat lengkap mengenai pelaksanaan program Santun Mahabbah yang akan dijalankan di Kampung Bersah, salah satu penempatan Orang Asli di Pos Kuala Mu di Sungai Siput, Perak, Wan Masindra Juja, 40, mula melaksanakan tugasnya.

Sebagai pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang dilantik menjadi Penyelaras Masyarakat Orang Asli (PMOA) bagi penempatan itu, Wan Masindra menyedari dia merupakan tulang belakang dan anggota barisan hadapan dalam segala aktiviti berlangsung di situ.

Sebagai PMOA, dia turut digelar Daie Belantara yang berperanan melaksanakan tanggungjawab dakwah di perkampungan Orang Asli di negeri berkenaan.

“Sebagai seorang Daie Belantara, saya mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan program dakwah terhadap komuniti Orang Asli berjalan lancar.

“Memandangkan program kali ini agak besar berbanding kebiasaannya, saya perlu mengenal pasti semua lokasi dan keperluan berkaitan berada dalam keadaan baik dan mencukupi.

“Selain itu, saya juga harus meyakinkan komuniti Orang Asli yang tinggal di lima kampung di sekitar Pos Kuala Mu untuk turut serta pada program berkenaan.

“Saya bersyukur kerana disebabkan sudah biasa dengan penempatan Orang Asli di situ dan mengenali sebahagian besar penduduk, saya turut mendapat kerjasama daripada mereka dan akhirnya program berjaya dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Tugas seorang Daie Belantara bukan sahaja mendekati komuniti Orang Asli untuk berdakwah, tetapi juga berperanan membimbing mereka dengan kelas agama dan aktiviti pengukuhan ilmu.

Program Santun Mahabbah merupakan sebahagian daripada aktiviti rutin Daie Belantara yang dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), MAIPk dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai usaha dakwah terhadap komuniti Orang Asli di negeri itu.

Namun, bagi program yang berlangsung dari 9 hingga 11 Jun lalu itu, ia turut disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial kepada komuniti Orang Asli.

Menurut Wan Masindra, tugas sebagai Daie Belantara tidak semudah disangka dan agak berbeza berbanding kebiasaannya.

Ini kerana, masyarakat Orang Asli sangat menyanjungi budaya dan adat resam nenek moyang mereka dan perkara itu membuatkan usaha dakwah terhadap mereka perlu dilaksanakan dengan cara berbeza.

“Selama menjalankan tugas sebagai Daie Belantara, terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuhi dan ia sangat memerlukan kesabaran.

“Saya bukan sahaja perlu berkorban masa kerana tidak dapat bersama keluarga sepanjang masa, tetapi juga perlu mempunyai mental yang kuat untuk berhadapan dengan cabaran tugas yang tidak menentu.

“Malah, setiap bulan, saya perlu berada sekurang-kurangnya 15 hari di perkampungan Orang Asli yang terletak di dalam hutan untuk melaksanakan tugas-tugas dakwah dan yang berkaitan, selebihnya adalah masa untuk berada di pejabat dan di rumah.

“Mujurlah isteri dan anak-anak memahami tugas saya. Itu membuatkan saya kekal bertahan dan terus bersemangat untuk menjadi pendakwah di perkampungan Orang Asli,” jelasnya.

Tambahnya, dia bernasib baik kerana sebagai pendakwah yang berasal daripada komuniti Orang Asli suku Temiar, dia sangat memahami kehendak Orang Asli.

Sesi mini forum diadakan bagi mendengar dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi komuniti Orang Asli.

Malah, dia juga sudah faham kaedah paling berkesan untuk mendekati suku pribumi itu untuk memahami dan memeluk Islam.

Ujarnya, dia yang memeluk Islam sejak 1999 juga merupakan antara komuniti Orang Asli yang mendapat hidayah daripada Allah menerusi program dakwah dan tarbiah yang dilaksanakan oleh JAIPK, MAIPk dan Jakim sebelum ini di kampung halamannya di Sungai Siput.

Mengulas mengenai tugas sebagai seorang Daie Belantara, kata Wan Masindra, dia ditugaskan bagi menggerakkan program dakwah bagi komuniti Orang Asli di daerah Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Antara tugas rutin yang perlu dilakukan adalah menguruskan pernikahan pasangan Orang Asli, melaksanakan program pengislaman, menguruskan urusan kematian Orang Asli beragama Islam dan mengadakan kelas pengajian dan dakwah.

“Walaupun hanya saya seorang sahaja pegawai JAIPk yang ditugaskan sebagai PMOA bagi lima perkampungan Orang Asli di sekitar Pos Kuala Mu, tetapi saya bersyukur kerana turut dibantu oleh mubaligh atau pendakwah dalam kalangan Orang Asli yang tinggal di situ.

“Alhamdulillah, sehingga kini program dakwah di Pos Kuala Mu ini menampakkan hasil kerana daripada kira-kira 800 penduduk yang tinggal di lima perkampungan di situ, hampir 50 peratus daripadanya sudah memeluk Islam.

“Sebagai Daie Belantara, perkara yang menjadi kebanggaan dan kepuasan bagi diri apabila dapat melihat semakin ramai masyarakat Orang Asli memeluk Islam,” katanya.

PENYERAHAN bantuan dan sumbangan yang berterusan mampu menjadi kaedah terbaik untuk mendekati komuniti Orang Asli bagi tujuan dakwah.

Sementara itu, seorang lagi pendakwah berstatus Daie Belantara yang juga Penyelaras PMOA Negeri Perak, Mohd. Fattar Jamaluddin berkata, istilah Daie Belantara sebenarnya telah diperkenalkan di negeri itu sejak awal tahun 2000 selepas dijenamakan semula oleh Jakim.

“Sebenarnya Daie Belantara merupakan satu istilah yang merujuk kepada pendakwah yang menjalankan kerja-kerja dakwah dan agama terhadap komuniti Orang Asli. Ia bukanlah satu program baharu.

“Sebaliknya ia adalah kesinambungan kepada program dakwah sedia ada yang telah dilaksanakan sejak dahulu di kawasan penempatan Orang Asli, cuma telah dijenamakan semula,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program dakwah terhadap komuniti Orang Asli di negeri itu, katanya, seramai 58 pegawai JAIPk telah dilantik sebagai PMOA dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai Daie Belantara di lebih 100 buah perkampungan Orang Asli di Perak.

Katanya, kesemua Daie Belantara itu turut dibantu oleh mubaligh Orang Asli yang dilantik MAIPK untuk turut sama melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Tambahnya, disebabkan komuniti Orang Asli di Perak terdiri daripada pelbagai suku, antara pendekatan dakwah yang digunakan adalah dengan meletakkan mubaligh Orang Asli di setiap perkampungan.

“Kami percaya, dengan bantuan mubaligh Orang Asli, urusan dakwah menjadi lebih mudah kerana mereka lebih memahami sensitiviti, budaya dan kepercayaan Orang Asli berbanding orang luar.

“Sebab itulah, setiap kali masuk ke kampung Orang Asli untuk berdakwah, kami turut membawa anak-anak Orang Asli yang telah berjaya, selain mubaligh Orang Asli untuk membantu kami.

“Alhamdulillah, penerimaan mereka terhadap Islam sangat positif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN