PETALING JAYA – Pengusaha kedai makan dan restoran kini hanya menunggu masa untuk menaikkan harga bagi makanan yang dijual susulan kenaikan mendadak barangan runcit ekoran penetapan harga siling ayam standard dan telur selain pemansuhan subsidi minyak masak tulen berbotol yang berkuat kuasa semalam.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, rata-rata peniaga yang ditemui mendakwa akan menaikkan harga makanan sekitar 50 sen hingga RM2 sebagai menampung kos operasi yang semakin bertambah ketika ini.
Di Pulau Pinang, pengusaha gerai makanan mengakui mereka perlu menunggu untuk tempoh seminggu lagi bagi melihat implikasi penetapan harga siling dan pemansuhan subsidi minyak masak berbotol yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Seorang pengusaha Gerai Nasi Kak Zie, Nazirah Ahmad, 64, berkata, dia sudah memaklumkan kepada pelanggannya mengenai kenaikan harga juadah nasi campur baru-baru ini.
“Saya sudah maklum kepada pelanggan yang kami bila-bila masa akan naikkan harga lauk- pauk antara 50 sen hingga RM1 nanti. Kini, kami masih kekal dengan harga lama dan belum naik lagi.
“Bayangkan, dahulu modal beli barang RM1,200, tetapi kini naik kira-kira RM1,500. Kami tunggu dan lihat dahulu dalam tempoh seminggu ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Peniaga nasi lemak, Norita Ismail, 54, pula memberitahu, memang berlaku kenaikan mendadak bagi barangan keperluan utama seperti cabai kering, ikan curut, minyak masak dan telur sejak semalam.
“Memang terasa sungguh kenaikan harga di peringkat peruncit. Harga bagi 10 kilogram (kg) cabai kering sebelum ini adalah RM180, tetapi semalam naik RM203, minyak botol 5kg daripada RM28.90 menjadi RM43, telur Gred B sebelum ini 41 sen sebiji dan hari ini 45 sen sebiji.
“Ini belum dicampur dengan harga kertas pembalut nasi yang sebelum ini RM45 tetapi kini RM59 bagi 100 helai,” katanya.
Di Ipoh, Perak, penetapan harga siling baharu bagi ayam dan telur yang berkuat kuasa semalam ternyata memberikan impak terhadap golongan peniaga dan pengguna apabila ia menjejaskan harga jualan makanan.
Antara yang paling ketara adalah kenaikan harga makanan berasaskan ayam yang mengalami kenaikan antara RM2 hingga RM3.

Peniaga nasi kukus dikenali sebagai Mustakim berkata, mereka tiada pilihan selain menaikkan harga makanan kerana harga ayam telah meningkat sebanyak beberapa kali sebelum ini.
“Dahulu nasi kukus saya harganya RM7, namun kini terpaksa jual pada harga RM7.50. Jika diikutkan, harga siling terbaharu yang berkuat kuasa hari ini (semalam) merupakan kali keempat harga ternakan itu berubah dalam tempoh terdekat ini.
“Orang ramai perlu tahu tentang kos terlibat dalam menghasilkan nasi kukus. Bukan hanya ayam, kos basuh ayam, bahan perapan dan minyak masak juga termasuk dalam pengiraan sebelum harga akhir jualan diputuskan.
“Ini tidak mengambil kira kos telur selain minyak botol yang naik mendadak sehingga mencecah RM40 bagi saiz 5 kilogram,” katanya.
Seorang pengguna, Mohd. Samsuddin Mohd. Yusof, 37, pula berkata, terdapat beberapa gerai atau warung nasi kukus yang biasa dikunjungi telah menaikkan harga makanan itu dari RM5.50 sebungkus kepada RM8.50.
“Bahkan, saiz ayam juga semakin kecil. Sebagai pengguna, kenaikan ini agak membebankan sehingga memaksa kami untuk mencari kedai makan yang lebih berpatutan,” katanya.
Bagi Nor Idzian Zulkfly, 34, pula, terdapat beberapa restoran menjual roti canai turut menaikan harga sehingga RM1.50 sekeping berbanding RM1.20 sebelum ini.
“Semua tahu, selain ayam, telur dan minyak botol juga mengalami kenaikan harga. Saya jangkakan, kenaikan harga makanan ini akan berterusan dan mungkin akan lebih tinggi selepas ini,” tambahnya.
Di Langkawi, Kedah, seorang peniaga nasi kandar, Ismail Lathif berkata, dia menaikkan harga ayam yang dijualnya daripada RM3.50 kepada RM4.50 seketul.
“Sebelum ini bekalan ayam yang diterima kami adalah bersaiz kecil, dan sekarang dapat ayam bersaiz besar, jadi kami naikkan harga ayam sebanyak RM1.
“Tetapi bekalan ayam masih belum stabil, ada kalanya pembekal sendiri tiada bekalan menyebabkan kami terpaksa mencari ayam di kedai runcit yang dijual dengan harga lebih mahal,” katanya.















