JARUM jam menunjukkan sekitar pukul 8.40 pagi dan kelihatan beberapa buah kereta mulai masuk ke pekarangan sebuah ladang nanas di Sungai Merab, Selangor untuk menikmati menu sarapan pagi.
Selesai memarkir kenderaan, beberapa orang pengunjung kemudiannya mengambil tempat duduk dan memesan menu sarapan pagi sambil menikmati suasana makan di dalam sebuah ladang nanas.
Begitulah situasi di Saudagar Nanas Agrofarm hampir setiap pagi selepas lokasi yang pada asalnya merupakan sebuah ladang nanas itu dijadikan sebagai sebuah lokasi agropelancongan.
Peminat buah berwarna kuning keemasan itu berpeluang menikmati aneka juadah berasaskan nanas di situ dan merasai sendiri pengalaman menjadi petani menerusi aktiviti memetik nanas.
Pengusaha nanas, Mohd. Noorhardy Mohd. Noorzain, 42, berkata, Saudagar Nanas Agrofarm sudah lama dibuka, namun ia mula menjadi tular pada Februari lalu selepas usahawan itu membuka sebuah kafe dengan pelbagai juadah menarik berasaskan nanas.
“Kuasa tular memang hebat, saya teruja apabila ladang yang dahulunya hanyalah lokasi penanaman nanas bertukar menjadi lokasi tumpuan pelancong selepas ia mula dijadikan lokasi agropelancongan,” katanya kepada K2.
Menurut Mohd. Noorhardy, dia mula mengusahakan ladang nanas itu sejak tahun 2018 ketika dirinya sedang murung apabila berdepan dengan beberapa cabaran dalam kerjaya.
“Saya sebelum ini pernah berkhidmat sebagai seorang pekerja kerajaan dan juga pekerja swasta.
“Saya juga ada memulakan beberapa perniagaan, namun tidak menjadi dan ketika itu saya mula hilang semangat,” ujarnya.

Mengumpul semangat untuk meneruskan hidup, Mohd. Noorhardy kemudiannya mula mencari kekuatan dan bangkit dengan mengusahakan tanaman nanas selepas mendapat bantuan benih daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Biarpun tanpa ilmu dan pengetahuan tentang dunia pertanian, Mohd. Noorhardy memberanikan diri untuk benar-benar belajar tentang kaedah penanaman nanas dan menjadikan ia sebagai mata pencariannya.
“Saya bertuah kerana bapa mentua saya pada ketika itu mempunyai tanah seluas dua ekar (0.8 hektar) yang saya gunakan untuk mula menanam nanas.
“Kemudian, saya membesarkan lagi tanaman nanas ini dengan menggunakan tanah wakaf melalui Perbadanan Wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjadikan keseluruhannya lapan ekar (3.2 hektar),” ujarnya.
Ketika ini, anak kelahiran Melaka itu menanam 15 jenis nanas di ladangnya antaranya nanas MD2, nanas Sarawak, nanas Maspine dan nanas Moris Gajah.
Namun, tanaman nanas utama di Saudagar Nanas Agrofarm adalah nanas jenis MD2. Nanas MD2 merupakan sejenis nanas hibrid yang kini menjadi tumpuan ramai pengusaha dan penanam nanas.
Nanas MD2 atau nama sebenarnya ‘Millie Dillard 2’ itu berasal daripada baka hasil kajian di Hawaii. Antara ciri buah nanas MD2 adalah rasanya manis dan tidak menyebabkan lidah terasa pedih atau gatal (lidas) apabila dimakan.
Ia merupakan buah yang sangat popular masa kini untuk pasaran domestik dan pasaran segar.

Bercerita tentang cabaran menanam nanas, lelaki itu berkata, dia bersyukur kerana nanas merupakan buah dalam kategori mudah dijaga.
“Nanas senang dijaga kerana ia tidak perlu disiram selalu. Ia cuma ‘kalah’ dengan air dan apabila musim hujan, saya terpaksa memastikan tanah tanaman nanas itu tidak dibiarkan berada dalam keadaan lembap untuk jangka masa terlalu lama kerana tanah yang lembap akan menyebabkan akarnya reput dan rosak, selain menyebabkan jangkitan kulat.
Jelas Mohd. Noorhardy lagi, Saudagar Nanas Agrofarm menyediakan aktiviti pelancongan dan pendidikan kepada pengunjung.
Pengunjung yang datang boleh melihat sendiri kaedah penanaman nanas dan merasai pengalaman memetik nanas umpama seorang petani.
“Pengunjung boleh singgah dan memetik sendiri buah nanas MD2 yang ada di sini, mengupasnya dan terus dimakan, segar dari ladang.
“Selain itu, kami juga menerima kedatangan peserta kursus perladangan daripada beberapa institusi pengajian tinggi untuk mempelajari proses menanam nanas,” jelasnya.
Tambahnya, selepas mencapai tempoh matang, nanas-nanas yang ditanam seterusnya akan dipetik dan dijadikan produk hiliran seperti sambal nanas, jus nanas dan juga sos cili nanas.

Sebagai tambahan baharu kepada ladangnya itu, Mohd. Noorhardy kemudiannya membuka sebuah kafe nanas yang menyajikan seleksi menu berasaskan nanas.
Malah, sambil menjamu selera, pengunjung juga boleh menyaksikan panorama Bandar Baru Bangi dari puncak ladang nanas, sekali gus menjadikan lokasi tersebut cukup menarik.
Jelas Mohd. Noorhardy, kewujudan kafe tersebut juga sebagai usahanya membantu usahawan lain melalui penyediaan ruang jualan.
“Saya sengaja tidak menghasilkan sendiri semua produk berasaskan nanas kerana saya mahu membantu usahawan lain di luar sana yang mahu menghasilkan menu berasaskan nanas untuk dijual di kafe saya.
“Mereka yang berminat untuk menjual produk makanan berasaskan nanas akan menghubungi saya untuk proses penilaian sebelum dibawa masuk ke kafe ini sebagai antara menu yang boleh dicuba pelanggan,” ujarnya.
Sehingga kini, kafe itu mempunyai pelbagai menu menarik berasaskan nanas seperti nanas goreng, karipap nanas, nasi lemak dan juga lempeng yang disajikan dengan sambal nanas, kopi nanas, kek keju nanas dan cream puff nanas.
“Untuk sarapan pagi, menu nasi lemak dan lempeng yang dihidangkan bersama sambal nanas istimewa merupakan menu paling laris di sini dan ia juga merupakan menu kegemaran saya sendiri,” ujarnya yang memberitahu ladang itu dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 7.30 pagi sehingga 6.30 petang.














