fbpx
Tiga pemain Liga Super Bola Jaring (NSL) 2022, (dari kiri) Pek Xian dari pasukan KL Wildcats, Firra Syuhada dari pasukan Selangor Angels dan An Najwa dari pasukan Johor Jewels. - Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

Saingan lebih hebat, mencabar NSL 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETINGGIAN 170 sentimeter (sm) yang dimiliki gadis berusia 22 tahun itu bukanlah satu kelebihan apabila bermain di posisi pertahanan pada saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022.

Ini kerana, rata-rata pemain di posisi ‘saingannya’ iaitu goal shooter dalam pasukan-pasukan dalam liga NSL pada tahun ini memiliki ketinggian yang lebih berbanding Nur Firra Syuhada Hasrin.

Meskipun begitu, ketangkasan dan kelajuan pergerakan pemain pasukan Selangor Angels itu sudah cukup untuk menangkis setiap serangan yang cuba dibuat pemain lawan.

Malah, pemain goal shooter lawan turut mengakui kesukaran membuat lebih banyak jaringan apabila berdepan pertahanan kental seperti Nur Firra Syuhada.

Reputasi besar yang ada pada gadis berasal dari Hulu Langat, Selangor itu telah berjaya membantu pasukannya memenangi dua perlawanan awal dalam NSL.

Tahun lalu, Nur Firra Syuhada berjaya membantu Selangor Angles memenangi tempat ketiga dalam NSL di belakang Kuala Lumpur (KL) Wildcats dan Johor Jewels.

“Ini tahun kedua saya mewakili pasukan Selangor Angles pada saingan NSL.

“Tahun lalu, kami berjaya mendapat kedudukan membanggakan. Saya berharap NSL 2022, kami boleh memperbaiki pencapaian sebelumnya,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Nur Firra Syuhada memaklumkan, persaingan NSL musim kedua ini menjadi lebih menarik dan mencabar berbanding edisi sulung tahun lalu selepas pihak penganjur mengubah format kejohanan.

ANTARA wajah-wajah jagoan NSL.

Terangnya, pihak penganjur telah mengubah kepada format liga sepusingan (round robin) sekali gus membolehkan kelapan-lapan pasukan beradu kekuatan masing-masing.

“Kali ini, kami berpeluang berentap dengan semua pasukan yang mengambil bahagian. Berbeza dengan tahun lalu, ia dilangsungkan secara kumpulan. Jadi, ada pasukan yang kami tidak lawan.

“Sebagai pemain pertahanan, saya sangat teruja dengan format baharu ini. Ia membolehkan saya beradu kekuatan dengan lebih ramai penjaring hebat termasuk dari luar negara,” jelasnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan NSL 2022 juga menawarkan beberapa kelainan seperti kemasukan bakat-bakat muda dan pemain import dari luar negara. Hadiah kemenangan juga meningkat kepada RM20,000 buat juara kejohanan berbanding RM10,000 pada edisi sulung.

Mengimbau minatnya dalam bola jaring, Nur Firra Syuhada berkata, ia bermula sejak usia kanak-kanak selepas terpilih mewakili sekolah. Jelasnya, sewaktu bersaing pada Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia, bakatnya telah dikesan barisan jurulatihan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Saya dilahirkan dalam keluarga yang meminati dan mengamalkan sukan. Pada usia lima tahun saya sudah dilatih oleh datuk berjalan sejauh 5 kilometer.

“Pada usia 13 tahun, saya ditempatkan di SSBJ dan berlatih bersama skuad junior kebangsaan. Selepas tiga tahun, saya berpeluang mewakili pasukan utama negara.

“Antara pencapaian terbesar saya adalah membantu negara memenangi pingat emas Asean School Games dan Sukan SEA 2019 di Filipina,” ujar gadis berperwatakan lembut itu.

Penuntut Institut Perguruan Cheras, KL itu menambah, NSL 2022 merupakan pentas terbaik baginya membuat persiapan awal sebelum mewakili negara ke kejohanan besar.

Katanya, dia bakal menyarung jersi negara ke beberapa pentas tertinggi seperti Kejohanan Bola Jaring Asia (KBJA) di Singapura pada September depan dan kelayakan Piala Dunia Bola Jaring 2023.

Nada serupa disuarakan pemain pasukan Johor Jewels yang juga penjaring utama skuad bola jaring kebangsaan, An Najwa Azizan.

Reaksi An Najwa ketika menjaringkan gol menentang pasukan Melaka Mystic pada aksi Sooka NSL 2022 di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemain berusia 25 tahun itu menganggap NSL sebagai platform terbaik mengasah ketajamannya memasukkan bola ke dalam jaring sebelum mewakili negara.

“NSL membantu saya meningkatkan prestasi semasa. Saya harap prestasi baik ketika NSL dapat diteruskan apabila mewakili skuad negara.

“Sasaran saya pada tahun ini adalah membantu skuad negara layak ke Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Cape Town, Afrika Selatan,” ujarnya lagi.

Pemain berketinggian 179sm itu menambah, NSL menjadi pentas terbaik untuk mencari bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan dalam skuad negara.

Katanya, ramai pemain muda dilihat sangat menyerlah pada NSL tahun ini dan mereka mampu menggalas tanggungjawab mewakili negara pada masa depan.

Bercerita mengenai perjalanan NSL 2022, pasukan Johor Jewels turut diperkuat dengan kehadiran pemain import iaitu Gayani Dissanayake dari Sri Lanka serta Sirima Samnaree (Thailand).

“Sudah pasti, kami ingin memenangi NSL sekali gus membaiki kedudukan di tempat kedua pada tahun lalu. Lagi pula, kami mendapat khidmat pemain import yang sangat berbakat.

“Sasaran peribadi saya pula adalah untuk meneruskan kecemerlangan tahun lalu apabila berjaya menjadi penjaring terbanyak. Setiap kali diturunkan saya mahu beri aksi terbaik,” ulasnya.

NUR FIRRA SYUHADA cuba memintas bola yang dihantar oleh pasukan lawan.

Berbeza dengan pemain KL Wildcats, Yeoh Pek Xian, 26, yang menjadikan NSL sebagai pentas untuknya mengubat kerinduan bersaing dalam kejohanan kompetitif.

Katanya, dia terpaksa berehat panjang sebelum ini selepas mengalami keretakan tulang belakang pada tahun 2016 dan memberi tumpuan pada pelajaran di Universiti Malaya.

“Selepas mengalami kecederaan, ibu bapa mahu saya mengurangkan penglibatan dalam sukan bola jaring. Jadi, saya hanya bermain suka-suka bagi mengisi masa lapang.

“Apabila NSL diwujudkan pada tahun lalu, saya terpanggil untuk kembali bermain sekali gus mengubati kerinduan bersaing secara kompetitif,” jelas pemain posisi sayap itu.

Menariknya, NSL juga memberi tuah kepada gadis dari ibu kota itu apabila bakatnya berkata-kata di depan kamera dikesan pihak produksi Astro Arena.

Disebabkan itu, Pek Xian ditawarkan peluang berkhidmat sebagai wartawan bersama Astro Arena dan turut ditugaskan membuat liputan sepanjang NSL kali ini.

“Meskipun sibuk dengan sesi latihan dan perlawanan pada NSL, tetapi saya harus bijak membahagikan masa dengan tugas sebagai wartawan di lapangan.

“Harapan saya adalah untuk menampilkan aksi terbaik pada setiap perlawanan bagi membantu pasukan mengekalkan kejuaraan pada tahun lalu,” tekadnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN