PENJEJAK kesihatan pintar atau fitness tracker kini menjadi antara salah satu peranti wajib dimiliki oleh setiap orang.
Garmin antara syarikat yang tidak pernah ketinggalan menghasilkan peranti itu.
Baru-baru ini, Garmin vivosmart 5 diperkenalkan dan ia dikuasakan dengan ciri-ciri dipertingkatkan terutama untuk fungsi tidur.
Peranti itu boleh menganalisis kuantiti dan kualiti tidur, memberikan skor berdasarkan tahap tekanan, pergerakan dan masa yang digunakan pengguna untuk tidur.
Ia juga direka untuk pengguna yang mencari penyelesaian mudah bagi memantau tahap kesejahteraan dan kesihatan diri.
Melalui peranti itu, pengguna boleh memantau statistik kesihatan sepintas lalu, pemantauan degupan jantung dan lain-lain.
Selain itu, ia turut mempunyai fungsi kesihatan dan dihubungkan dengan pelbagai jenis pilihan sukan.
Melaluinya, ia boleh menjejak aktiviti yang pengguna lakukan seperti berjalan, berlari, berbasikal dan sebagainya.
Dalam pada itu, peranti tersebut dilengkapi dengan ciri keselamatan dan penjejak terbina dalaman.
Dengan hanya menekan butang selama beberapa saat, ia akan mengaktifkan amaran bantuan.
Ia kemudian menghantar pesanan teks dengan lokasi pengguna kepada kenalan yang telah ditetapkan untuk tujuan keselamatan.
















