fbpx

‘Kelaparan tersembunyi’ lemahkan imun badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
'Kelaparan tersembunyi adalah satu istilah kesihatan yang merujuk kepada kekurangan mikronutrien dalam tubuh individu.

RAMAI penduduk Malaysia tidak sedar bahawa kekurangan mikronutrien yang juga dikenali sebagai kelaparan tersembunyi, boleh menimbulkan ancaman kesihatan yang besar.

Malah, satu daripada tiga keluarga di Malaysia berpotensi mengalami kekurangan zat besi, kalsium, Vitamin C dan D dalam diet harian.

Satu per tiga daripada kanak-kanak Malaysia yang berumur di bawah 12 tahun tidak mengambil Vitamin D dan kalsium dalam jumlah yang disyorkan.

Tambahan lagi, dua per tiga dewasa Malaysia kekurangan vitamin D.

Bukan sahaja di Malaysia, kelaparan tersembunyi ialah masalah kesihatan global yang dialami lebih dua bilion orang, dan sekurang-kurangnya separuh daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak berumur kurang daripada lima tahun di serata dunia.

Isu ini kerap berlaku tanpa kita sedar dan ia boleh menimbulkan kesan negatif terhadap kesihatan, termasuk tumbesaran terbantut, perkembangan kognitif dan fizikal yang kurang baik selain sistem imun yang lemah.

Dengan kesan negatif kekurangan mikronutrien yang mungkin menimbulkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan, masalah ini pada hakikatnya boleh menjejaskan pembangunan sosioekonomi, terutamanya dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah yang biasanya kurang mendapat bekalan makanan berkhasiat.

Ahli Majlis Persatuan Pemakanan Malaysia yang merupakan pakar pemakanan dan Pensyarah Kanan di Universiti Monash Malaysia, Dr. Amutha Ramadas berkata, kekurangan mikronutrien adalah ancaman besar kepada aspirasi untuk membina negara Malaysia yang lebih sihat.

DR. AMUTHA

Menurutnya, walaupun mikronutrien seperti vitamin dan mineral diperlukan dalam jumlah kecil, ia merupakan blok binaan penting untuk tumbesaran, perkembangan dan kesejahteraan manusia.

“Ramai rakyat Malaysia tidak sedar bahawa mereka kekurangan mikronutrien yang penting ini. Oleh yang demikian, pendidikan pemakanan amat diperlukan untuk merapatkan jurang pemakanan,” katanya.

Tambah Dr. Amutha, dengan ilmu pengetahuan sewajarnya, rakyat Malaysia boleh memilih diet yang sihat dan seimbang serta lengkap dari segi nutrisi.

Dalam pada itu, Dr. Amutha menjelaskan, individu perlu mendapatkan makanan daripada semua kumpulan makanan di dalam Piramid Pemakanan Malaysia dalam diet harian terutamanya bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran dan hasil tenusu supaya badan boleh memenuhi keperluan mikronutrien masing-masing.

Terangnya, sebagai contoh, susu adalah sebahagian penting daripada diet yang seimbang kerana mengandungi Vitamin D dan B12, kalsium, zink serta magnesium yang boleh membantu kita menangani masalah kekurangan mikronurien yang wujud dalam kalangan keluarga di Malaysia.

“Mikronutrien yang terkandung dalam susu memberikan manfaat kesihatan penting dan kalsium diperlukan untuk membina tulang dan gigi yang kuat.

“Vitamin D penting untuk penyerapan kalsium dan fosforus dalam badan untuk membina dan mengekalkan tulang yang kuat, magnesium terlibat dalam banyak sistem enzim yang mengawal selia pelbagai tindak balas biokimia dalam badan kita seperti fungsi otot dan saraf, manakala zink menyokong tumbesaran dan sistem imun yang sihat,” katanya.

SETIAP individu perlu memastikan mengambil makanan yang kaya dengan vitamin, kalsium, zink serta magnesium.

Tambahnya, vitamin B12 memainkan peranan penting dalam penghasilan sel darah merah. Susu juga merupakan sumber protein yang baik dan penting untuk tumbesaran dan perkembangan.

Dalam pada itu, katanya, beberapa kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak mengambil susu dan produk susu yang secukupnya.

Dr. Amutha berkata, Panduan Diet Malaysia mengesyorkan pengambilan dua sajian susu dan produk susu setiap hari bagi dewasa dan sehingga tiga sajian bagi kanak-kanak.

Antara contoh satu sajian produk tenusu termasuk segelas susu, secawan yogurt atau kepingan keju.

“Sesetengah jenis susu diperkuat dengan mikronutrien seperti zat besi dan Vitamin C.

“Zat besi penting kerana merupakan komponen sel darah merah yang membantu anda membawa oksigen ke semua bahagian badan, manakala Vitamin C diperlukan untuk menghasilkan kolagen yang merupakan komponen tisu penghubung yang diperlukan bagi penyembuhan luka dan juga menyokong fungsi imun,” jelasnya.

Dia menambah, di samping diet yang sihat dan seimbang, pengambilan susu harian boleh membantu keluarga-keluarga memenuhi keperluan mikronutrien harian masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN