fbpx
HASIL karya Norazlan dianggap kreatif, berindentiti serta bebas meluahkan idea, pandangan, pengalaman dan perasaan. - Foto RAJA JAAFAR ALI

Hasilkan karya abstrak ekspresionisme habuk kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di Johor Bahru, Johor, seorang guru seni dari Sekolah Kebangsaan Mutiara Rini mencipta kelainan dalam karya masa kini. Norazlan Ahmad, 46, menjadikan kayu-kayan sebagai medium utama karya seninya.

“Pada peringkat awal, saya berkarya dengan teknik arca timbul menggunakan kayu-kayan hutan.

“Kayu-kayu ini dibentuk dan diukir mengikut idea serta emosi,” katanya.

Ditanya mengapa dia memilih kayu sebagai medium utama, Norazlan berkata, bahan itu dekat dengan dirinya.

“Saya anak peneroka Felda Kemelah, Segamat. Semasa ayah meneroka hutan untuk tanam sawit, hutan diterangkan dan pokok kayu ditebang, dari situlah idea terhasil,” katanya.

 

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

 

LUKISAN yang diukir pada dinding gua ketika zaman Paleolitik ratusan ribu tahun dahulu dikatakan permulaan kepada kewujudan seni di dunia. Lukisan pada zaman prasejarah sering dihasilkan dalam bentuk kesan tangan yang disembur pigmen.

Sesetengah teori menyifatkan, lukisan gua cara komunikasi sesama manusia, manakala teori lain menganggap ia bertujuan keagamaan atau upacara.

Lukisan-lukisan tertua jenis itu ditemui di beberapa tempat di dunia termasuk Asia Tenggara.

Di Malaysia, berdasarkan penyelidikan dijalankan Pusat Arkeologi, Universiti Sains Malaysia, zaman prasejarah dikesan wujud di negara ini sekitar 200,000 hingga 300,000 tahun dahulu turut menyimpan khazanah lukisan pada dinding gua yang ditemui di Gua Niah, Sarawak dan Gua Tambun, Perak.

Revolusi perubahan dari zaman prasejarah hingga ke zaman milenium turut mendorong kepada perubahan dan kepelbagaian seni kontemporari. Pelbagai medium digunakan dalam membina identiti sebagai penggiat seni lukisan visual.

Antaranya, media kering dan basah. Media kering yang sering digunakan adalah seperti pensel, pen, arang, pastel dan sebagainya, manakala media basah menggunakan medium catan dan berus sebagai alat bagi menghasilkan lukisan.

Penggunaan elemen-elemen semula jadi seperti kayu, batu, arang dan sebagainya tidak lagi lazim digunakan.

Norazlan menunjukkan karya yang dihasilkannya ketika Pameran Alon-Alon di Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru.

Di Johor Bahru, Johor, seorang guru seni dari Sekolah Kebangsaan Mutiara Rini mencipta kelainan dalam karya masa kini. Norazlan Ahmad, 46, menjadikan kayu-kayan sebagai medium utama karya seninya.

“Pada peringkat awal, saya berkarya dengan teknik arca timbul menggunakan kayu-kayan hutan.

“Kayu-kayu ini dibentuk dan diukir mengikut idea serta emosi,” katanya.

Ditanya mengapa dia memilih kayu sebagai medium utama, Norazlan berkata, bahan itu dekat dengan dirinya.

“Saya anak peneroka Felda Kemelah, Segamat. Semasa ayah meneroka hutan untuk tanam sawit, hutan diterangkan dan pokok kayu ditebang, dari situlah idea terhasil,” katanya.

Dalam meniti perjalanan sebagai penggiat seni hampir 20 tahun, Norazlan yang juga Penolong Kanan Kokurikulum itu juga menghasilkan cat yang diadun menggunakan habuk kayu atau dikenali sebagai ‘kayu liat’ bagi karyanya.

Ujarnya, habuk kayu yang dihasilkan merupakan resipi rahsianya berkarya.

“Saya guna habuk kayu daripada kayu berbeza yang menghasilkan warna berlainan pada lukisan.

“Cara nak adun atau buat itu, saya masih perlu rahsiakannya sebab belum mendaftarkannya untuk hak cipta,” katanya. Jenis kayu yang digunakan juga belum dapat dikongsikan.

Norazlan melakar idea dengan melukis menggunakan habuk kayu.

Menerusi penggunaan habuk kayu itu, pelbagai tona warna coklat dapat dihasilkan pada lukisan, sekali gus menghasilkan karya mengagumkan.

Norazlan yang dilahirkan Kampung Tenang, Labis, Segamat itu berkata, dia menggunakan kanvas berlapik papan lapis di belakangnya untuk keselamatan dan daya tahan karya.

Jenis kanvas pula digunakan seperti cotton, linen, guni dan sebagainya. Namun baginya, kanvas itu hanya sebagai panel untuk berkarya.

Ia tidak semestinya kanvas, boleh guna apa sahaja yang sesuai dengan media dan isi karya.

Norazlan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Seni Visual di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Hussein Onn, Batu Pahat itu kini menghasilkan 100 pelbagai jenis karya seni visual. Karya termahal pernah dihasilkan ialah Jeritan Nusantara bernilai RM25,000.

Kerana cinta dan mendalam dalam kesenian, Norazlan telah menubuhkan Komuniti Seni Rupa Artgeng.

Keahliannya melebihi 5,000 peserta yang bukan sahaja dari negara ini, malah dari Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Ini merupakan usaha saya dalam membina komuniti yang cintakan seni. Ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah mewujudkan iklim muafakat sesama kita.

“Kerana cintakan seni, saya menjadi cikgu seni. Bukan hanya berusaha jadi guru seni sekolah, tetapi sehingga jadi jurulatih utama Pendidikan Seni Visual Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan,” katanya.

Antara peralatan yang digunakan untuk melukis termasuk cat adunan habuk kayu.

Jelasnya, seni dapat mempelajari pelbagai hal, pertama berkaitan teknikal, kemahiran dan disiplin yang diamalkan oleh pengkarya.

Ia dapat diperhatikan kepada penggunaan media dan teknik yang dapat dilihat kesannya dalam karyanya.

Kedua berkaitan isi atau mesej yang cuba disampaikan oleh pengkarya.

Ketiga pula adalah apakah yang ada pada karya itu dapat menarik perhatian berkaitan teknikal dan mesej atau pentaksiran dapat menyentuh hati dan perasaan.

“Saya sebagai pengamal atau pemain seni berkarya dengan disiplin kajian dan penerokaan, bukan berdasarkan khayalan atau imaginasi.

“Walaupun karya saya kali ini berbentuk abstrak ekspresionisme yang jelas berkarya berdasarkan luahan emosi dan perasaan. Luahan emosi dan perasaan itu berpandukan kepada kajian dan penerokaan telah saya lakukan sebelum berkarya,”katanya.

Dalam usaha berkongsi idea karya seni, Norazlan menyertai pelbagai pameran di dalam negara serta antarabangsa.

Terbaharu, sebanyak 20 karyanya dipamerkan dalam Pameran Alon-Alon yang dianjurkan Yayasan Warisan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN