fbpx
SEORANG pendaki terkejut melihat sosok lembaga putih berdiri di atas batu besar ketika mahu membuang air kecil di tepi sungai pada waktu malam. ILUSTRASI SHAH HASAN

Penunggu hutan kacau ekspedisi mendaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh RIZAM ZAKARIYA

AKTIVITI mendaki gunung memang menyeronokkan, apatah lagi setiap lokasi menyediakan pemandangan indah yang berbeza dan sukar untuk dilupakan.

Perkara itu diakui sendiri oleh Azrien, 41, (bukan nama sebenar) yang aktif dalam aktiviti lasak itu sejak menuntut di sebuah universiti awam di utara Semenanjung.

Dia yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pendakian gunung bagaimanapun berkata, di sebalik keseronokan menghayati keindahan alam di sepanjang pendakian, terdapat juga cerita-cerita seram dialaminya ketika berada di hutan.

Memulakan cerita, Azrien yang kini bertugas sebagai seorang guru berkata, antara kejadian seram yang dialaminya adalah ketika bersama rakan-rakan seuniversitinya melakukan pendakian ke puncak Gunung Tahan di Pahang sekitar 2002.

“Program pendakian itu dilakukan ketika cuti semester dengan disertai kira-kira 30 peserta terdiri daripada ahli kelab rekreasi universiti.

“Memandangkan hampir kesemua peserta merupakan mereka yang sudah banyak kali terlibat dalam aktiviti pendakian dan saling mengenali, maka trip pendakian itu boleh dikatakan sangat meriah.

“Walaupun tempoh pendakian melalui trek dari Taman Negara Kuala Tahan menuju ke Taman Negara Sungai Relau di Merapoh mengambil masa kira-kira tujuh hari, namun masing-masing sangat teruja untuk memulakan misi menawan puncak gunung tertinggi di Semenanjung itu,” katanya.

Kata Azrien lagi, fasa pertama pendakian menuju ke puncak gunung dari Taman Negara Kuala Tahan mengambil masa empat hari tiga malam.

Ujarnya, empat hari pertama pendakian, kesemua peserta perlu merentasi lima puncak gunung lain iaitu Gunung Rajah, Gunung Pondok Dua, Gunung Pangkin, Gunung Tangga Lima Belas dan Gunung Gedung sebelum tiba di puncak Gunung Tahan.

“Kejadian seram pertama berlaku pada malam kedua pendakian ketika kami berkhemah di Kem Kuala Teku yang terletak berhampiran kawasan sungai.

“Pada malam tersebut, sebahagian peserta tidur awal kerana keletihan, tetapi ada sebahagian kecil pendaki yang masih berkumpul dan bernyanyi beramai-ramai, selain ada yang berbual hingga lewat malam.

“Semasa semuanya sudah masuk tidur, tiba-tiba seorang rakan menyejutkan saya dan minta menemaninya ke tepi sungai untuk membuang air kecil.

“Namun, ketika ingin pulang semula ke khemah, dia kelihatan agak tergesa-gesa, selain mukanya kelihatan pucat.

“Keesokan harinya apabila saya bertanya apa yang berlaku, barulah dia menceritakan ternampak susuk lembaga putih berdiri di atas batu seolah-olah memerhatikannya,” katanya.

Kata Azrien lagi, kejadian kedua pula berlaku ketika mereka sudah tiba di tapak perkhemahan Kem Gedung sebelum menuju ke puncak Gunung Tahan.


PENDAKIAN ke Gunung Tahan yang memakan masa kira-kira tujuh hari melalui trek Taman Negara Kuala Tahan amat mencabar fizikal dan mental pendaki.

Dalam kejadian itu jelasnya, seorang peserta wanita memberitahu diganggu suara menyeramkan sewaktu berada dalam khemah.

“Kata rakan saya itu, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi ketika dia tidak dapat tidur disebabkan masih berasa sakit akibat terkena sengatan penyengat sewaktu dalam pendakian menuju ke tapak perkhemahan.

“Ketika itu, dia dapat mendengar suara seakan wanita mengilai dari arah luar khemah, selain terdengar seakan-akan khemahnya dilanggar sesuatu.

“Dia kemudian mengejutkan seorang rakannya, dan kedua-dua mereka turut mendengar suara tersebut yang kemudian hilang selepas mereka membacakan beberapa potong ayat al-Quran,” katanya.

Tidak cukup dengan itu kata Azrien, kejadian ketiga pula dialami oleh dirinya sendiri sewaktu kumpulannya dalam perjalanan menuruni puncak Gunung Tahan pada hari kelima pendakian menuju ke Kem Kor untuk bermalam di situ.

Ujarya, disebabkan ada beberapa rakan yang mengalami kecederaan selain masalah kesihatan, dia yang merupakan ketua peserta mengambil keputusan untuk bersama-sama kumpulan terakhir.

“Disebabkan pergerakan agak perlahan, seorang jurupandu yang mengiringi kami sudah memaklumkan bahawa kami akan tiba agak lewat malam di Kem Kor.

“Ketika waktu sudah hampir gelap, tiba-tiba seorang rakan yang berada di depan menghentikan langkah dan memanggil saya secara tergesa-gesa sambil menunjukkan jarinya ke arah laluan di hadapan.

“Ketika itu, kami melihat dengan jelas kelibat lembaga berwarna putih sedang berdiri di tengah-tengah laluan sampil mukanya yang kehitaman memandang tepat ke arah kami.

“Terkejut dengan apa yang dilihat ketika itu, tanpa berfikir panjang saya terus melaungkan azan dan disambung dengan membaca beberapa ayat al-Quran dengan harapan lembaga tersebut tidak mengganggu,” jelasnya.

Jurupandu berkenaan yang menyedari kejadian itu kemudian mengarahkan agar mereka berhenti seketika bagi menghormati waktu Mahgrib sebelum memulakan perjalanan setengah jam kemudian.

Menurut Azrien, ketiga-tiga kejadian seram yang berlaku dalam tempoh tujuh hari pendakian itu hanya diketahui peserta lain selepas mereka pulang ke universiti dan berkumpul untuk mendapat maklum balas mengenai penganjuran program tersebut.

Katanya, sebagai seorang pendaki yang meminati aktiviti lasak, kejadian seumpama itu dianggap sebagai asam garam dan cabaran yang perlu ditempuh.

Tambahnya, sebagai seorang yang berpegang kepada agama Islam, dia harus mempercayai akan kewujudan makhluk lain selain manusia di dunia ini.

“Elak bercakap sombong dan berlebihan ketika berada di dalam hutan bagi menghormati ‘penghuni’ lain yang ada di situ,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN